Agamawan sokong Indonesia sertai Lembaga Keamanan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agamawan sokong Indonesia sertai Lembaga Keamanan

Prabowo adakan pertemuan dengan 50 organisasi Islam di tengah kritikan, bantahan terhadap Lembaga Keamanan
Feb 4, 2026 | 12:48 PM

Agamawan sokong Indonesia sertai Lembaga Keamanan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Ketua Umum Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU), Encik Yahya Cholil Staquf (tengah), berkata Presiden telah memberi penjelasan menyeluruh mengenai usaha serta komitmen Indonesia dalam membantu perjuangan rakyat Palestin.
Ketua Umum Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU), Encik Yahya Cholil Staquf (tengah), berkata Presiden telah memberi penjelasan menyeluruh mengenai usaha serta komitmen Indonesia dalam membantu perjuangan rakyat Palestin. - Foto SEKRETARIAT KABINET REPUBLIK INDONESIA

JAKARTA: Pemerintah Indonesia dilihat berjaya meredakan kritikan utama daripada kelompok Islam terhadap penglibatan negara itu dalam Lembaga Keamanan yang dipimpin Amerika Syarikat, susulan pertemuan tertutup antara Presiden Prabowo Subianto, dengan hampir 50 tokoh ulama kanan di Istana Merdeka pada 3 Februari.

Pertemuan yang digambarkan sebagai “rutin” itu berlangsung ketika pemerintah berusaha mengubah persepsi awam mengenai pelan pembinaan semula Gaza serta masa depan kenegaraan Palestin di bawah pendudukan Israel.

Antara yang hadir ialah wakil Nahdlatul Ulama (NU), Muhammadiyah, Majlis Ulama Indonesia (MUI), serta para ulama dan pimpinan pondok pesantren dari pelbagai wilayah, lapor The Jakarta Post.

Setiausaha Negara Indonesia, Encik Prasetyo Hadi, sebelum pertemuan itu berkata antara agenda utama Presiden ialah menjelaskan rasional penglibatan Indonesia dalam Lembaga Keamanan yang sebelum ini dikritik hebat kerana tidak melibatkan wakil Palestin secara langsung walaupun kononnya bertujuan membangunkan semula Gaza.

Muhammadiyah dan MUI merupakan antara pengkritik paling lantang, dengan MUI sebelum ini menggesa Indonesia menarik diri daripada lembaga itu, dengan alasan peranan besar Israel di dalamnya bercanggah dengan sokongan rakyat Indonesia terhadap perjuangan Palestin.

Indonesia, sebagai prinsip dasar luar, tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Encik Prabowo sejak 2025 mencetuskan perdebatan apabila melunakkan nada terhadap Israel, termasuk menyebut keperluan keselamatannya dalam ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Sejak itu, beliau mengesahkan komitmen Indonesia menyertai Lembaga Keamanan, meskipun berdepan penentangan awam dan keraguan terhadap cadangan bayaran penyertaan tetap AS$1 bilion ($1.27 bilion) yang ditawarkan Presiden Trump kepada negara anggota.

Menurut Encik Prasetyo, pertemuan pada 3 Februari itu bertujuan memastikan kelompok Islam “menerima dan memahami pertimbangan Presiden”.

“Masih terdapat perbezaan pandangan kerana asas pertimbangan Presiden sebelum ini belum dijelaskan secara menyeluruh kepada kelompok Islam,” katanya seperti dipetik Kompas TV.

Dalam kenyataan Sekretariat Kabinet Indonesia, Encik Prabowo menegaskan bahawa penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan tidak menjejas komitmen negara itu terhadap kemerdekaan Palestin.

Malah, katanya, penglibatan aktif dalam lembaga tersebut adalah satu daripada saluran strategik untuk terus memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Presiden turut memberi penjelasan terperinci mengenai pendekatan realistik dan strategik Indonesia, termasuk usaha menyelaraskan langkah dengan negara Islam dan Asia Barat yang turut menyertai Lembaga Keamanan.

Ketua Umum PBNU, Encik Yahya Cholil Staquf, berkata penjelasan Presiden bersifat menyeluruh dan menegaskan bahawa dari segi nilai dan prinsip, pendirian Indonesia tidak pernah berubah.

“Pada landasan nilai, semua sepakat bahawa menolak penjajahan dan memperjuangkan kemerdekaan untuk semua bangsa adalah amanat Proklamasi.

Berlandaskan sudut prinsip, semua sepakat bahawa Indonesia mesti membantu dan membela Palestin sehingga merdeka,” katanya.

Beliau menambah bahawa penyertaan dalam Lembaga Keamanan disertai dengan penyelarasan bersama negara-negara Islam, supaya tindakan dalam lembaga itu benar-benar selari dengan tujuan membantu Palestin.

“Langkah-langkah dalam Lembaga tersebut akan menjadi langkah yang diselaraskan antara negara-negara yang motivasinya memang untuk membela dan membantu Palestin,” katanya.

Encik Yahya turut memetik penegasan Presiden bahawa setiap tindakan Indonesia akan dilakukan dengan penuh kewaspadaan agar tidak merugikan rakyat Palestin.

“Prinsip itu tidak boleh ditawar-menawar, khususnya dalam melindungi rakyat Gaza, dan akan diperluaskan kepada rakyat Palestin di Tebing Barat,” katanya.

Nada yang lebih terbuka turut disuarakan MUI. Ketua MUI, Encik Anwar Iskandar, memberi isyarat perubahan pendirian selepas mendengar penjelasan Presiden.

“Apa yang saya faham daripada penjelasan Presiden ialah komitmen beliau untuk benar-benar berjuang dalam Lembaga Keamanan demi Palestin yang berdaulat sepenuhnya,” katanya kepada wartawan.

Ditanya sama ada MUI kini menyokong penyertaan Indonesia, Encik Anwar berkata: “Selagi ia membawa manfaat, tentu sahaja. Mengapa tidak?”

Beliau turut menyatakan bahawa penyertaan Indonesia juga didorong pertimbangan keselamatan negara.

“Keselamatan Indonesia adalah pertimbangan paling penting. Presiden mahu mencegah perang, dan itu bermakna menyelamatkan kita semua,” katanya.

Menteri Luar, Encik Sugiono, selepas pertemuan itu menegaskan bahawa prinsip utama penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan ialah pencapaian penyelesaian dua negara.

Menurutnya, Indonesia tidak teragak-agak untuk menarik diri jika lembaga itu tidak lagi selari dengan matlamat negara.

Namun, langkah tersebut terus menimbulkan keraguan dalam kalangan pemerhati. Pakar Asia Barat Universiti Indonesia, Encik Yon Machmudi, berkata kemampuan Indonesia mempertahankan prinsip kemerdekaan Palestin dalam Lembaga Keamanan masih diragui, memandangkan kawalan Amerika dan penglibatan Israel.

“Kekurangan pengaruh Indonesia jelas apabila Israel terus mengebom Gaza dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berulang kali menolak pengiktirafan negara Palestin,” katanya.

Mantan Timbalan Menteri Luar, Encik Dino Patti Djalal, pula menggesa pemerintah lebih berhati-hati dan telus.

“Pemerintah perlu bercakap secara terbuka mengenai risiko dan pelan Indonesia. Ramai mungkin terbuka kepada penyertaan, tetapi majoriti besar pasti menolak pembayaran AS$1 bilion untuk menjadi anggota tetap,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg