Nahdlatul Ulama bahas penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan
Nahdlatul Ulama bahas penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan
Tokoh ulama terkemuka Indonesia daripada Nahdlatul Ulama (NU) mengemukakan pandangan yang berbeza, namun berlandaskan keprihatinan yang sama, mengenai keputusan Presiden Prabowo Subianto untuk menyokong kemerdekaan Palestin melalui penyertaan Indonesia dalam lembaga keamanan yang diterajui Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Lembaga itu melibatkan Israel, namun tidak merangkumi Palestin, sekali gus mencetuskan perbincangan awam yang meluas.
Pengerusi NU, Encik Yahya Cholil Staquf, yang dilantik semula pada 29 Januari selepas pertikaian kepimpinan selama sebulan, menyatakan sokongan terhadap langkah pemerintah tersebut.
Menurut beliau, penyertaan Indonesia merupakan pendekatan strategik yang bertujuan membuka ruang dan peluang bagi memajukan agenda kemerdekaan Palestin dalam persekitaran global yang semakin kompleks dan tidak menentu.
Namun, seorang lagi tokoh NU, Encik Cholil Nafis, yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI), mengambil pendirian berbeza dengan menggesa Encik Prabowo mempertimbangkan semula penyertaan itu.
Beliau berpandangan bahawa lembaga keamanan tersebut tidak secara jelas memihak kepada Palestin, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanannya dalam memperjuangkan keadilan.
Menjawab perbahasan awam yang tercetus, Menteri Pertahanan Encik Sjafrie Sjamsoeddin menegaskan bahawa penyertaan Indonesia dalam lembaga keamanan selari dengan mandat negara untuk menyumbang kepada keamanan dunia, seperti yang termaktub dalam mukadimah Perlembagaan Indonesia.
“Yang penting sekarang ialah bagaimana ia diatur. Dalam pelaksanaannya, kita perlu bekerjasama dengan negara-negara yang benar-benar mahu kemerdekaan Palestin direalisasikan dan mahu krisis di Gaza diselesaikan,” kata Encik Sjafrie kepada wartawan pada 31 Januari di Bogor, Jawa Barat.
Sebelum itu, Encik Cholil Nafis turut menyuarakan pendirian institusinya agar Indonesia menarik diri daripada forum berkenaan.
Pandangan tersebut seiring dengan kenyataan Pengerusi MUI bagi Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa, Profesor Sudarnoto Abdul Hakim, selepas Encik Prabowo menandatangani dekri penyertaan Indonesia di Davos, Switzerland, pada 22 Januari.
Profesor Sudarnoto menyifatkan lembaga keamanan itu sebagai satu bentuk pendekatan yang tidak berteraskan keadilan, dan menegaskan keperluan memastikan sebarang usaha keamanan benar-benar berpaksikan prinsip keadilan sejagat.
Menurut Encik Cholil Nafis, penyertaan Indonesia dilihat sebagai langkah yang “janggal” kerana struktur keanggotaan lembaga keamanan tersebut tidak melibatkan Palestin.
“Ia diilhamkan oleh Presiden Trump dan antara ahlinya ialah Perdana Menteri Israel, Encik Netanyahu, sedangkan tiada wakil negara Palestin dalam lembaga itu,” katanya pada 28 Januari.
Encik Cholil Nafis turut membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan kewajipan membayar bayaran keahlian sebanyak AS$1 bilion ($1.27 bilion) sekiranya Indonesia menjadi ahli tetap.
Menteri Luar, Encik Sugiono, menjelaskan selepas sesi pendengaran bersama ahli Parlimen pada 27 Januari bahawa yuran tersebut hanya terpakai kepada negara yang memilih untuk menjadi ahli tetap.
Menurutnya, Indonesia belum membuat sebarang komitmen ke arah itu, memandangkan penyertaan sebagai ahli pengasas hanya menjamin tempat keahlian sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Dalam pada itu, Encik Yahya menekankan bahawa langkah tersebut mencerminkan diplomasi pragmatik yang diperlukan dalam landskap antarabangsa yang sentiasa berubah.
Menurutnya, kehadiran Indonesia dalam pelbagai forum global adalah penting bagi memastikan suara negara terus didengari, khususnya dalam memperjuangkan kemerdekaan Palestin.
“Dalam keadaan dunia yang penuh ketidaktentuan ini, jika kita benar-benar mahu membantu Palestin mencari jalan keluar daripada masalahnya, kita mesti hadir di semua medan yang ada. Apa jua platform yang tersedia, kita perlu berada di sana untuk memainkan peranan,” katanya.
“Lembaga keamanan ialah platform yang ada ketika ini. Kita sedar bahawa terdapat pelbagai kepentingan di dalamnya, termasuk kepentingan Israel dan Amerika. Namun, keamanan hanya boleh dicapai melalui dialog antara kepentingan yang berbeza,” tambahnya.
Encik Sjafrie turut menegaskan komitmen berterusan Indonesia untuk menyumbang kepada usaha keamanan di Gaza dan Palestin, termasuk melalui kemungkinan pengerahan pasukan pengaman bersama beberapa negara Arab.
Walaupun butiran lanjut belum didedahkan, komitmen itu selaras dengan kenyataan Encik Prabowo di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September lalu, apabila beliau menyatakan kesediaan Indonesia mengerahkan sehingga 20,000 anggota tentera ke kawasan konflik.
“Pada akhirnya, Indonesia akan terus hadir sebagai sebahagian daripada pasukan penstabilan antarabangsa. Kita akan melaksanakan peranan itu dengan mematuhi semua peruntukan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata Encik Sjafrie.

