Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agensi antirasuah Indonesia siasat dakwaan seleweng projek Whoosh

Oct 29, 2025 | 12:21 PM
Whoosh, jakarta-bandung, selewengan, rasuah
Keretapi laju Jakarta–Bandung ‘Whoosh’ dirakam di Stesen Padalarang, Jawa Barat, selepas perasmiannya pada 2 Oktober 2023. Projek yang menjadi simbol kemajuan negara itu kini berdepan siasatan berhubung dakwaan salah laku pengurusan kos. - Foto AFP

JAKARTA: Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia mengumumkan siasatan awal terhadap dakwaan penyelewengan projek Kereta Api Laju Jakarta-Bandung (HSR) Whoosh, yang kini mendapat perhatian kerana beban hutang besar yang ditanggung sejak pelancarannya.

Jurucakap KPK, Encik Budi Prasetyo, berkata siasatan telah bermula sejak awal 2025 dan pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat penting bagi mengenal pasti unsur salah laku.

“Siasatan kami telah berjalan sejak awal tahun ini (2025), dan kami masih mengumpulkan maklumat yang diperlukan untuk membuka kes ini,” ujar beliau kepada wartawan pada 27 Oktober.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkembangan lanjut siasatan tersebut termasuk individu yang mungkin terlibat, lapor The Jakarta Post.

Projek Whoosh sepanjang 142 kilometer dari Stesen Halim di Jakarta ke Stesen Tegalluar di Bandung, dilancarkan pada 2023 sebagai salah satu Projek Strategik Nasional (PSN) di bawah pentadbiran mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Ia dikendalikan PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC), usaha sama antara konsortium Indonesia dengan China.

Mengulas siasatan KPK, Setiausaha Korporat KCIC, Cik Eva Chairunisa, berkata pihaknya akan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan KPK dalam siasatan ini,” katanya pada 28 Oktober.

Data terkini menunjukkan syarikat operator kereta api nasional Indonesia, PT Kereta Api Indonesia (KAI), pemegang saham terbesar melalui konsortium PT Pilar Sinergi BUMN Indonesia (PSBI) mencatat kerugian 2.23 trilion rupiah ($173.6 juta) hasil penglibatan dalam projek itu pada 2024.

Dakwaan rasuah mula menjadi tumpuan selepas mantan Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Encik Mahfud MD, membangkitkan kecurigaan mengenai kemungkinan berlaku kos melambung dalam projek tersebut.

Encik Mahfud mendakwa kos pembinaan bagi setiap kilometer landasan mencecah AS$52 juta ($67.3 juta), jauh lebih tinggi berbanding anggaran AS$17 juta, untuk projek seumpama itu di China.

“Siapa yang menaikkan kos hampir tiga kali ganda, dan ke mana wang itu pergi?” soal Encik Encik Mahfud dalam satu podcast dimuat naik di saluran YouTube miliknya pada 14 Oktober.

Beliau turut menggesa KPK menjalankan siasatan segera dan tidak menunggu laporan rasmi.

Isu beban hutang projek kembali mencetuskan perdebatan awam selepas Kementerian Kewangan menolak penggunaan bajet negara untuk menampung hutang Whoosh.

Encik Jokowi mempertahankan projek itu dengan menekankan manfaat sosialnya berbanding keuntungan kewangan.

“Prinsip asas pengangkutan awam adalah perkhidmatan kepada rakyat, bukan keuntungan.

“Ia harus diukur dari manfaat sosial, bukan keuntungan kewangan,” katanya, dipetik media tempatan, Kompas

Penasihat ekonomi pemerintah sebelum ini, Encik Luhut Binsar Pandjaitan, mengakui terdapat masalah sejak peringkat awal perancangan projek, namun pemerintah sedang menanganinya melalui audit dan rundingan lanjutan dengan China.

Siasatan KPK dialu-alukan kumpulan antirasuah, Badan Pemantau Rasuah Indonesia (ICW) yang berpandangan projek Whoosh tidak terkecuali daripada risiko yang sering berlaku dalam PSN lain.

Menurut penyelidik ICW, Encik Yassar Aulia, projek strategik kebangsaan sering dilaksanakan secara tergesa-gesa dengan kelulusan peraturan yang longgar, menjadikan pemantauan dan ketelusan terabai.

“Penetapan projek sedemikian boleh dilakukan secara sepihak melalui arahan presiden atau dekri, yang akhirnya menghakis kebertanggungjawaban,” katanya pada 28 Oktober.

ICW sebelum ini melaporkan antara 2022 dengan 2024, terdapat sekurang-kurangnya enam kes rasuah melibatkan projek PSN dengan 34 suspek, menyebabkan kerugian negara 2.7 trilion rupiah dan suapan 58.2 bilion rupiah.

Penilaian risiko Transparency International Indonesia (TII) pada 2023 turut mendapati projek kereta api laju itu berdepan kerentanan tinggi terhadap pengaruh tidak wajar serta salah guna kuasa, khususnya akibat kos lebihan yang berpunca daripada faktor luar jangka seperti pembebasan tanah dan pelarasan harga sepanjang pembinaan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg