Agensi antirasuah teliti unsur salah guna kuasa Menteri Agama Indonesia guna jet peribadi
Agensi antirasuah teliti unsur salah guna kuasa Menteri Agama Indonesia guna jet peribadi
JAKARTA: Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia sedang meneliti dakwaan bahawa Menteri Agama Encik Nasaruddin Umar menerima kemudahan tidak wajar selepas menggunakan jet peribadi milik ahli perniagaan dan tokoh politik Encik Oesman Sapta Odang (OSO).
Kontroversi tercetus selepas gambar ketibaan menteri menggunakan pesawat tersebut tular di media sosial, sekali gus mencetuskan perbahasan awam mengenai ketelusan dan etika penjawat awam.
Menurut laporan, Encik Nasaruddin menaiki pesawat itu pada 15 Februari ketika lawatan kerja ke Takalar, Sulawesi Selatan bagi merasmikan bangunan Balai Sarkiah, sebuah pusat agama dan pendidikan di bawah Yayasan Pendidikan OSO.
Ketua KPK Encik Setyo Budiyanto berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat bagi menentukan sama ada penggunaan pesawat tersebut tergolong sebagai gratifikasi atau pemberian tidak sah. “Kita perlu pastikan dahulu sama ada terdapat unsur penyalahgunaan kuasa atau kedudukan jawatan,” katanya.
Beliau menjelaskan siasatan awal itu bukan kes jenayah, namun setiap pemberian berkaitan jawatan awam wajib dilaporkan bagi mengelakkan pertuduhan.
Enncik Nasaruddin hadir sendiri ke pejabat KPK di Jakarta pada pagi Isnin, 23 Februari bagi memberikan keterangan berhubung isu tersebut. Beliau tiba sekitar 9.28 pagi dan meninggalkan bilik Direktorat Gratifikasi kira-kira 10.06 pagi selepas menyerahkan penjelasan rasmi.
Beliau berkata penggunaan pesawat itu berlaku ketika menjalankan tugas rasmi di Sulawesi Selatan.
“Saya datang untuk menjelaskan perjalanan saya menjalankan tugas di Makassar dengan menggunakan pesawat khas itu,” katanya kepada wartawan.
Menurutnya, keadaan masa tidak mengizinkan beliau menggunakan penerbangan komersial kerana jadual terlalu lewat dan beliau perlu segera kembali ke Jakarta bagi menghadiri Sidang Isbat. “Pada jam 11 malam memang sudah tiada penerbangan dan keesokan paginya saya perlu kembali untuk persiapan sidang, jadi saya menaiki pesawat itu,” katanya.
Beliau menegaskan laporan kepada KPK dibuat secara sukarela sebagai contoh kepada penjawat awam lain. “Saya mahu menjadi teladan kepada kakitangan kami dan juga penyelenggara lain supaya perkara ini menjadi pembelajaran,” katanya.
Kementerian Agama sebelum ini menjelaskan pesawat tersebut disediakan oleh OSO yang menjemput menteri merasmikan bangunan Balai Sarkiah. Ketua Biro Perhubungan dan Komunikasi Awam kementerian Encik Thobib Al Asyhar berkata penyediaan pesawat bertujuan memastikan kehadiran menteri di tengah jadual rasmi yang padat. “OSO secara khusus mengundang menteri dan menyediakan jet peribadi supaya beliau dapat hadir,” katanya. Beliau menambah semua pengangkutan disediakan oleh pihak penganjur bagi menjimatkan masa perjalanan.
Isu tersebut mula hangat pada 16 Februari selepas beberapa pengguna media sosial memuat naik dokumentasi perjalanan mewah menteri tersebut. Perbincangan awam tertumpu kepada etika penggunaan kemudahan oleh pegawai pemerintah serta kemungkinan konflik kepentingan. Pertubuhan masyarakat sivil turut menggesa penjelasan menyeluruh diberikan bagi mengekalkan kepercayaan awam terhadap integriti pentadbiran.
Isu itu turut dilaporkan kepada KPK oleh pertubuhan Masyarakat Antirasuah Indonesia (MAKI). Penyelarasnya Encik Boyamin Saiman berkata laporan telah difailkan pada 20 Februari. Beliau menegaskan langkah tersebut penting bagi memastikan ketelusan penjawat awam.
“Jika kemudian KPK mengesahkan tiada gratifikasi, laporan ini membantu membersihkan nama menteri,” katanya.
Badan Pemantau Rasuah Indonesia (ICW) menggesa siasatan menyeluruh dijalankan kerana bimbang berlaku konflik kepentingan. ICW mendedahkan pesawat berdaftar PK-RSS itu dimiliki Natural Synergy Corporation yang berpangkalan di Kepulauan Virgin British, wilayah luar pesisir yang sering dikaitkan dengan perlindungan cukai.
Menurut jurucakap ICW, Encik Oesman pengasas OSO Group dan pengerusi Parti Hanura disenaraikan sebagai pemegang saham sejak 2008 berdasarkan data Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa.
Aktivis ICW Zararah Azhim Syah berkata seorang pegawai pemerintah sepatutnya menolak pemberian berisiko. “Sebagai pegawai negara, menteri agama perlu menolak sebarang pemberian yang jelas berpotensi menimbulkan konflik kepentingan,” katanya.
ICW turut menyatakan kos perjalanan jet peribadi pergi balik selama lima jam dianggarkan sekurang-kurangnya 566 juta rupiah (S$47,966), jauh melebihi had tiket kelas perniagaan domestik rasmi 22.1 juta rupiah yang ditetapkan Kementerian Kewangan.
Aktivis Trend Asia Encik Zakki Amali menambah penerbangan jet peribadi dianggarkan menghasilkan kira-kira 14 tan karbon dioksida. “Jet peribadi sangat mahal, mewah dan mencemarkan alam sekitar,” katanya.
Encik Nasaruddin menafikan menerima gratifikasi dan berkata beliau tidak mengetahui lebih awal mengenai penyediaan jet tersebut. “Apabila pesawat sudah ada, bagaimana saya tidak pergi? Saya hanya menaikinya,” katanya.
Beliau menjelaskan kehadirannya juga kerana hubungan kekeluargaan dengan penganjur.
“Isteri OSO sebahagian daripada keluarga besar saya. Jika keluarga menjemput merasmikan sekolah agama mereka, bagaimana saya boleh menolak?” katanya.
KPK menegaskan siasatan masih di peringkat pengumpulan maklumat dan belum membuat sebarang kesimpulan. Keputusan sama ada wujud pelanggaran undang-undang hanya akan ditentukan selepas semua keterangan diteliti. Buat masa ini, pihak berkuasa berharap kerjasama menteri dalam memberikan penjelasan dapat meredakan spekulasi serta memastikan proses penilaian berjalan secara telus. - Agensi berita

