Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ancaman radikalisme digital kekal wujud di Indonesia meski JI bubar

Kandungan radikal, pengganasan di media sosial potensi cetus kemunculan pelaku tindak sendiri dalam kalangan anak muda
May 19, 2025 | 5:30 AM
Mayndra Wardhana, Solahudin, Densus 88, Indonesia
Panel perbincangan menampilkan jurucakap skuad antipengganas polis nasional, Densus 88, Encik Mayndra Eka Wardhana (dua dari kiri, menghadap kamera) serta pakar antipengganasan, Profesor Solahudin (dua dari kanan), dalam satu taklimat media anjuran bersama Densus 88 dan Kelab Wartawan Asing Jakarta (JFCC). - Foto TOTO SANTIKO BUDI/JFCC

Satu berjaya, banyak lagi yang menanti – itulah gambaran paling tepat mengenai usaha memerangi pengganasan di Indonesia selepas pembubaran kumpulan militan Asia Tenggara yang pernah dikaitkan dengan Al-Qaeda, Jemaah Islamiyah (JI), yang mendapat pujian ramai pada 2024.

Namun, ancaman baru muncul melalui penyebaran kandungan radikalisme dan pengganasan di media sosial serta pembiayaan pengganas melalui teknologi kewangan.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan kekurangan bajet pemerintah yang diperlukan untuk menampung kos operasi agensi awam yang terlibat dalam usaha bersama untuk meminda kurikulum sekolah pondok yang berkaitan dengan JI.

Sekolah-sekolah itu telah berikrar untuk meninggalkan ajaran ekstremisme dan beralih kepada pendekatan kesederhanaan agama.

“Penyebaran kandungan berkaitan penolakan toleransi, radikalisme, ekstremisme dan pengganasan di media sosial masih berleluasa,” kata jurucakap skuad antipengganas polis nasional, Densus 88, Encik Mayndra Eka Wardhana, dalam satu taklimat media pada 14 Mei.

Tangkapan berkaitan pengganasan menurun sejak mencapai angka tertinggi sebanyak 370 orang pada 2021, kepada 55 orang pada 2024, dan tiada tangkapan direkodkan setakat ini bagi 2025.

Tiada serangan dilaporkan dalam dua tahun kebelakangan ini, namun menurut Encik Mayndra, kandungan radikal dan pengganasan di media sosial berpotensi mencetuskan kemunculan pelaku ‘lone wolf’ atau tindakan individu secara sendirian terutama dalam kalangan anak muda yang kurang pendedahan terhadap ideologi tersebut.

Data yang dikumpul oleh pasukan itu pada 2024 menunjukkan terdapat 168,058 kandungan sebegitu, dengan hampir 85,000 daripadanya ditemui di Instagram, iaitu wadah media sosial paling meluas digunakan di Indonesia.

Facebook berada di tempat kedua dengan 43,242 kandungan berkaitan ekstremisme, diikuti TikTok dan platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter) yang masing-masing dengan 23,594 dan 9,535 kandungan yang menyebarkan fahaman radikal dan pengganasan.

Perkara itu membimbangkan dalam usaha mengekang pengganasan memandangkan pengguna Instagram merangkumi 84.8 peratus atau 173.59 juta daripada 204.7 juta pengguna Internet di Indonesia, menurut perangkaan media sosial Indonesia yang dikumpul oleh The Global Statistics.

Facebook merupakan wadah kedua paling popular, dengan 81.3 peratus pengguna, termasuk 166 juta anak muda, terutama golongan remaja.

TikTok dan X pula masing-masing berada di kedudukan ketiga dan keempat paling popular, dengan kadar penggunaan masing-masing sebanyak 63.1 peratus dan 58.3 peratus.

Dunia yang semakin digital juga menjadikan keadaan lebih rumit kerana pembiayaan kegiatan pengganasan kini turut beralih ke alam digital.

“Keadaan kini menjadi lebih kompleks dengan munculnya crowdfunding atau pendanaan awam dalam talian berasaskan agama, penyalahgunaan perkhidmatan pinjaman dalam talian dan penggunaan teknologi kewangan seperti mata wang kripto,” ujar Encik Mayndra.

Namun, usaha untuk mempromosikan kesederhanaan beragama dan mencegah radikalisme dalam kalangan belia melalui pemindaan kurikulum sekolah pondok yang dikaitkan dengan JI kini terhalang berikutan pemotongan bajet kementerian selepas Presiden Prabowo Subianto mengarahkan pengurangan drastik 306 trilion rupiah ($26.15 bilion) pada akhir Januari 2025.

“Sekolah-sekolah yang dikaitkan dengan JI sebenarnya bersedia untuk mengubah kurikulum mereka dan telah memohon bantuan daripada pemerintah.

“Tetapi tiada maklum balas kerana institusi pemerintah yang sepatutnya membantu kini mengehadkan operasi mereka akibat pemotongan bajet,” kata pakar antipengganasan, Profesor Solahudin, yang juga merupakan bekas sarjana penyelidik undangan di Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Kyoto, kepada Berita Harian ketika ditemui di luar sesi taklimat media.

Kekangan bajet turut menjejas pelaksanaan program penyepaduan semula bekas anggota JI ke dalam masyarakat, walaupun mereka telah berikrar taat setia kepada negara dan menolak fahaman ekstremisme.

“Ini adalah usaha yang amat besar, melibatkan kira-kira 8,000 bekas anggota JI.

“Dengan bajet yang ada sekarang, Indonesia tidak mempunyai prasarana mencukupi untuk melaksanakan program pemulihan radikalisasi secara menyeluruh.

“Mengekalkan usaha ini, yang berjalan agak baik sehingga akhir 2024, bakal menjadi cabaran besar,” tambah beliau.

Encik Mayndra bagaimanapun tetap optimis pasukannya masih mampu meneruskan pelan penyepaduan semula yang dijadual berlangsung sehingga 2028 walaupun dengan bajet terhad.

Beliau menjelaskan bahawa proses pemilihan pelajar di sekolah-sekolah JI untuk mengenal pasti mereka yang terpengaruh dengan ajaran ekstremisme dan mereka yang tidak terlibat adalah antara langkah yang boleh diambil kerana bukan semua pelajar di sekolah itu merupakan anggota JI.

“Kami hanya perlu lebih kreatif mencari jalan untuk memastikan usaha melawan pengganasan ini tidak terhenti.

“Kami harap ini bersifat sementara, tetapi kami sedar ini bukan hanya isu nasional, ia juga isu sejagat.

“Kami akan terus mengiringi proses penyepaduan semula bekas anggota JI untuk beberapa tahun akan datang,” kata Encik Mayndra.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg