Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angka korban banjir Sumatera meningkat lebih 700 orang

Dec 3, 2025 | 2:11 PM
banjir, sumatera, kampung tukka
Penduduk meredah air banjir selepas banjir kilat melanda Kampung Tukka di Tapanuli Tengah, wilayah Sumatera Utara, pada 2 Disember. - Foto AFP

JAKARTA:  Jumlah korban akibat banjir besar dan tanah runtuh di Pulau Sumatera meningkat kepada 708 orang pada lewat 2 Disember, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).

Angka itu diumumkan dalam sidang media lewat petang 2 Disember, sedikit berbeza daripada laporan awal di laman web agensi itu yang menyebut 753 korban.

BNPB tidak menjelaskan sebab perbezaan tersebut.

Bencana yang melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat itu turut menyaksikan 507 orang masih hilang, lebih 2,500 cedera, dan 3.3 juta penduduk terjejas.

Menurut pecahan wilayah, Aceh mencatat 218 kematian, Sumatera Utara (301), manakala Sumatera Barat (193).

Kerosakan juga sangat besar, dengan ribuan rumah musnah di lebih 50 daerah.

Bencana itu dianggap antara yang paling dahsyat dalam dekad ini.

Jurucakap BNPB, Encik Abdul Muhari, berkata pasukan penyelamat kini memberi tumpuan kepada penghantaran bantuan melalui darat, laut dan udara.

“Kami berharap pengedaran logistik dapat dipercepatkan,” katanya.

Dengan ribuan penduduk masih hilang tempat tinggal dan banyak kawasan masih terputus hubungan, proses pemulihan dijangka mengambil masa berbulan-bulan.

Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios) menganggarkan kerugian ekonomi mencapai 68.67 trilion rupiah ($5.3 bilion) termasuk kerosakan rumah, jambatan, jalan raya, kerugian hasil sawah dan pendapatan isi rumah.

Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (Walhi) menegaskan bahawa tragedi ini bukan sekadar akibat cuaca ekstrem, malah berpunca daripada penerokaan tanah berskala besar sejak 2016.

Analisis Walhi mendapati lebih 1.4 juta hektar hutan hilang di tiga provinsi tersebut, dengan 631 lesen operasi komersial dikeluarkan kepada syarikat perlombongan, perladangan sawit, pembalakan dan tenaga.

“Hujan hanyalah pemicu. Tetapi ekologi kita sudah terlalu rapuh akibat eksploitasi tanah,” kata Pengurus Kempen Hutan dan Kebun Walhi Nasional, Encik Uli Arta Siagian.

Di Aceh, sebahagian besar kawasan ditimbus lumpur dan runtuhan.

Jalan yang rosak menyukarkan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan.

Seorang penduduk, Cik Nurkasyah, 70 tahun, berkata beliau kehilangan hampir semua barangan rumah.

“Mesin basuh, peti sejuk, periuk nasi, beras semuanya rosak,” katanya kepada wartawan.

“Bukan hanyut, tapi semuanya ditenggelami air. Mungkin katil saja yang boleh diselamatkan kalau saya jemur beberapa hari,” tambah beliau.

Beliau berkata air mula naik pada 25 November, kemudian surut sedikit sebelum melimpah masuk menerusi tingkap selepas hujan lebat sepanjang malam.

Cik Nurkasyah dan 300 penduduk lain berlindung di sebuah pusat komuniti selama lima hari.

“Kami hanya makan nasi, mi segera, dan beberapa biji telur. Makanan memang tak cukup,” katanya.

Rumahnya kini dipenuhi lumpur dan tidak lagi boleh didiami.

Anaknya, Encik Nasir, turut terperangkap selama lima hari dalam perjalanan bas dari Banda Aceh ke Medan.

Perjalanan yang biasanya mengambil 12 jam menjadi mimpi ngeri apabila banjir menutup semua laluan.

Bencana di Sumatera berlaku ketika Asia Tenggara berdepan cuaca ekstrem berpanjangan.

Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Nasional (NOAA), banyak negara termasuk Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina, Vietnam, Myanmar, Kemboja, Laos serta hampir seluruh Sri Lanka mencatat jumlah hujan tertinggi dalam lebih satu dekad.

Taufan dan ribut tropika yang semakin kerap dan kuat akibat perubahan iklim menyebabkan banyak kawasan merekodkan hujan bulanan sehingga satu meter melebihi purata November 1991–2020.

Di Sri Lanka, 410 orang terbunuh dan 336 hilang akibat banjir dan tanah runtuh.

Di Thailand dan Malaysia, ribut besar menyebabkan sekitar 178 kematian.

Namun bagi ramai pemerhati alam sekitar, situasi di Sumatera adalah unik kerana gabungan perubahan iklim dan penebangan hutan menyebabkan angka korban meningkat terlalu tinggi.

“Ya, ada faktor ribut. Tapi kalau hutan kita masih utuh… kerosakannya tak akan seteruk ini,” kata Encik Gus Irawan Pasaribu, pemimpin daerah Tapanuli, kepada Reuters.

Beliau pernah membantah lesen pembukaan hutan kepada kementerian tetapi tidak dipedulikan.

Pihak berkuasa kini menyiasat kemungkinan aktiviti haram yang memburukkan bencana.

Media tempatan melaporkan bahawa pejabat peguam negara sedang menyemak sama ada pembalakan haram dan perlombongan tidak berlesen memainkan peranan.

Kementerian Alam Sekitar turut menyatakan bahawa lapan syarikat akan dipanggil untuk disoal siasat selepas kayu balak hanyut ditemui di beberapa lokasi.

Menurut sebuah kumpulan pemantauan hutan antarabangsa Global Forest Watch, Sumatera Utara telah kehilangan 1.6 juta hektar litupan pokok antara 2001 hingga 2024.

Secara keseluruhan, Sumatera kehilangan 4.4 juta hektar hutan, bersamaan kawasan lebih besar daripada Switzerland.

“Ini merupakan pulau dengan kadar penebangan hutan paling tinggi di Indonesia,” kata pakar pemetaan hutan, Encik David Gaveau.

Beliau menegaskan bahawa pemanasan global menjadi punca utama banjir besar, manakala deforestasi “mempercepatkan kemusnahan”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg