Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo masih pertimbang isytihar darurat nasional banjir Sumatera

Empat kampung di Aceh musnah dihanyut air bah
Dec 1, 2025 | 3:28 PM
banjir sumatera, prabowo subianto
Gambar edaran Istana Presiden Indonesia menunjukkan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto (kiri), menenangkan seorang mangsa banjir ketika melawat kawasan terjejas di Tapanuli Tengah, wilayah Sumatera Utara, Indonesia, pada 1 Disember 2025. - Foto EPA

SUMATERA UTARA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, memberi isyarat beliau tidak bercadang mengisytiharkan banjir besar di Sumatera sebagai darurat nasional buat masa ini, meskipun angka korban terus meningkat dan kemusnahan semakin meluas.

Banjir dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh telah meragut sekurang-kurangnya 442 nyawa, dengan 402 masih hilang dan 2,000 rumah musnah teruk.

Angka rasmi menyebut tragedi itu antara yang paling dahsyat sejak tsunami Aceh 2004.

Pada 1 Disember, Encik Prabowo berlepas ke Tapanuli, Sumatera Utara, untuk meninjau kawasan terjejas dan bertemu mangsa.

“Keutamaan pemerintah sekarang ialah memastikan bantuan sampai kepada semua kawasan, terutama kampung-kampung terpencil,” katanya ketika ditemui media.

Ini termasuk memastikan bekalan bahan api dan elektrik dipulihkan.

Ditanya sama ada beliau akan menaikkan status bencana kepada darurat nasional, Encik Prabowo berkata keputusan itu masih ditangguhkan.

“Kita akan terus memantau keadaan. Saya fikir keadaan sudah bertambah baik, jadi apa yang kita ada sekarang mencukupi,” katanya.

Encik Prabowo mengakui ramai penduduk masih trauma.

“Mangsa masih terkejut. Tetapi pemerintah telah melakukan yang terbaik,” katanya.

Indonesia mengklasifikasikan darurat mengikut tiga peringkat: daerah/kota, provinsi dan nasional.

Untuk mencapai peringkat tertinggi, pemerintah perlu menilai beberapa kriteria termasuk angka korban, kerugian ekonomi, kerosakan prasarana dan kesan sosial.

Pengkritik berpendapat keadaan di Sumatera jelas memenuhi syarat tersebut.

Namun Encik Prabowo dilihat memilih pendekatan berhati-hati sambil menumpukan keupayaan agensi pemerintah dalam mengendalikan tindak balas awal.

“Pemerintah mesti berfungsi sepenuhnya untuk melindungi alam sekitar dan bersedia menghadapi perubahan iklim yang semakin tidak menentu,” kata Encik Prabowo memberi amaran bencana seumpama itu mungkin berulang.

Sepanjang lawatannya ke Tapanuli Tengah, Encik Prabowo meninjau dapur umum, pusat perubatan, pusat pemindahan dan berbual dengan penduduk mengenai kehilangan anggota keluarga dan keadaan rumah mereka.

Penduduk memberitahu beliau bagaimana hujan lebat dan limpahan sungai melanda kawasan kampung pada waktu malam, menyebabkan sesetengah keluarga tidak sempat menyelamatkan diri.

Selesai meninjau Tapanuli, Encik Prabowo berangkat ke Aceh menggunakan helikopter Super Puma untuk melihat kemusnahan di Alas Leuser, sebelum mengunjungi jambatan Pantai Dona yang runtuh dan pusat pemindahan di Desa Bambel Baru.

Pemerintah kini mengerahkan 28 helikopter milik Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri), Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) untuk menghantar bantuan dan memindahkan mangsa.

Setiausaha Kabinet, Encik Teddy Indra Wijaya, berkata cuaca yang semakin baik membantu operasi udara.

“Usaha modifikasi cuaca selama tiga hari telah berjaya mengurangkan hujan di kawasan terjejas dan mempercepat penghantaran bantuan,” katanya.

Encik Teddy menambah, “semua operasi pemindahan, pengagihan bantuan dan pembukaan akses berjalan dengan cekap dan cepat”.

Gabenor Aceh, Encik Muzakir Manaf, memaklumkan empat kampung musnah sepenuhnya – Sawang, Jambuai, Bireun dan Peusangan.

Dalam video yang tular, Encik Muzakir, tidak dapat menahan sebak.

“Beberapa kampung telah hilang. Air datang secara tiba-tiba pada waktu malam dan menyapu semuanya dalam sekelip mata,” katanya.

“Tugas kita sekarang adalah membantu mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai bencana paling dahsyat sejak tsunami 2004, yang mengorbankan lebih 200,000 orang.

Walaupun keadaan semakin stabil mengikut penilaian awal Presiden, tekanan politik dan kemanusiaan semakin meningkat agar bencana Sumatera diisytiharkan darurat nasional.

Dengan ratusan korban, ribuan rumah musnah dan beratus-ratus mangsa hilang, keputusan Encik Prabowo dalam beberapa hari akan datang dijangka menjadi penentu hala tuju operasi penyelamat dan pemulihan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg