Tanah runtuh Bandung: 34 terkorban, 23 anggota marin antara mangsa tertimbus
Tanah runtuh Bandung: 34 terkorban, 23 anggota marin antara mangsa tertimbus
BANDUNG BARAT: Angka korban akibat kejadian tanah runtuh di kawasan perkampungan Cisarua, Bandung Barat, Jawa Barat, meningkat kepada 34 orang setakat malam 26 Januari, ketika pasukan penyelamat Indonesia mempergiat usaha mencari puluhan lagi mangsa yang dipercayai masih tertimbus di bawah lumpur tebal dan runtuhan tanah.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Bandung, Encik Ade Dian Permana, berkata sembilan mayat lagi ditemukan sehingga jam 5 petang waktu tempatan, sekali gus menjadikan jumlah korban meningkat secara mendadak berbanding hari sebelumnya.
“Berdasarkan data pentadbiran kampung setempat, kami menganggarkan seramai 46 orang lagi masih tertimbus di lokasi kejadian,” katanya dalam satu sidang media.
Daripada keseluruhan 34 mayat yang ditemukan setakat ini, 17 telah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian, manakala baki mangsa masih melalui proses pengecaman oleh pasukan forensik.
Tanah runtuh yang berlaku awal pagi 24 Januari lalu itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan selama hampir dua malam, menyebabkan cerun curam di kawasan pergunungan Cisarua menjadi tepu dengan air sebelum runtuh secara tiba-tiba.
Kejadian tersebut meranapkan kira-kira 30 buah rumah, memusnahkan kawasan kediaman, ladang serta hutan di sekitarnya, dan memaksa sekitar 200 penduduk dipindahkan ke kawasan lebih selamat.
Dalam perkembangan berkaitan, 23 anggota tentera marin Indonesia turut dilaporkan antara mangsa yang tertimbus dalam kejadian berkenaan. Perkara itu disahkan oleh Ketua Staf Tentera Laut Indonesia, Muhammad Ali, yang berkata setakat ini empat mayat anggota marin telah ditemukan, manakala 19 lagi masih hilang.
“Anggota tentera marin berkenaan dikerahkan ke Cisarua untuk menjalani latihan sebelum penugasan di sempadan Papua-Papua New Guinea,” katanya, seperti dilaporkan media tempatan.
Menurut Encik Muhammad Ali, hujan lebat yang berterusan dipercayai menjadi faktor utama berlakunya tanah runtuh yang menimpa sebuah kampung berhampiran kawasan latihan anggota marin berkenaan.
“Hujan lebat hampir dua malam berturut-turut. Keadaan itu mungkin menyebabkan tanah runtuh yang kebetulan menimpa kawasan di mana anggota kami sedang menjalani latihan,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat kini memasuki hari ketiga dengan melibatkan lebih 250 anggota daripada pelbagai agensi, termasuk Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Indonesia, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) serta agensi pengurusan bencana wilayah.
Encik Ade Dian Permana berkata, operasi pencarian masih berdepan cabaran besar akibat cuaca buruk dan akses jalan yang sempit, menyebabkan jentera berat sukar memasuki kawasan runtuhan.
“Buat masa ini, jentera berat masih belum boleh masuk sepenuhnya. Kami menjalankan pencarian menggunakan dron, sensor haba dan unit anjing pengesan bagi mengenal pasti lokasi mangsa,” katanya.
Pihak berkuasa turut mengesahkan penemuan bahagian tubuh manusia di celah runtuhan, yang dimasukkan ke dalam 25 beg mayat. Proses pengecaman, menurut BNPB, bergantung kepada keadaan jasad dan ketersediaan rekod peribadi mangsa.
“Bagi mangsa yang ditemui hanya dalam bentuk bahagian tubuh, proses pemadanan data akan mengambil masa lebih lama,” kata jurucakap BNPB, Encik Abdul Muhari, dalam satu kenyataan.
Beliau sebelum ini memaklumkan bahawa pasukan Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI) telah berjaya mengenal pasti 11 mayat, manakala enam lagi masih dalam proses pengecaman ketika angka korban masih lebih rendah sebelum penemuan terbaharu.
Operasi menyelamat sempat dihentikan sementara pada malam 24 Januari akibat hujan lebat, namun disambung semula pada pagi 25 Januari selepas keadaan cuaca bertambah baik. Pasukan penyelamat kini menggunakan imejan dron bagi memetakan lokasi keutamaan pencarian.
Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Encik Pratikno, yang melawat Kampung Pasirlangu pada 25 Januari menegaskan bahawa operasi menyelamat dijalankan tanpa henti.
“Kami mengutamakan usaha menyelamatkan nyawa. Operasi mencari dan menyelamat dijalankan 24 jam tanpa henti kerana puluhan penduduk masih hilang,” katanya.
Beliau menambah bahawa pemerintah juga memberi perhatian kepada kebajikan penduduk yang dipindahkan, termasuk penyediaan tempat perlindungan sementara dan bantuan asas.
Di luar usaha menyelamat, Kementerian Alam Sekitar Indonesia bersama Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) telah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, di tengah-tengah petunjuk awal bahawa penukaran guna tanah mungkin menyumbang kepada ketidakstabilan cerun.
Menteri Alam Sekitar, Encik Hanif Faisol Nurofiq, berkata penilaian terperinci bersama pakar akademik dan BRIN dijangka mengambil masa antara satu hingga dua minggu. “Kami memerlukan sekitar satu hingga dua minggu untuk menyiapkan penilaian terperinci dengan penglibatan pakar,” katanya ketika melawat lokasi kejadian.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa tempoh tindak balas kecemasan selama 14 hari masih dikuatkuasakan, manakala keberkesanan operasi mencari dan menyelamat akan dinilai selepas tujuh hari.
Indonesia sememangnya kerap dilanda banjir dan tanah runtuh ketika musim hujan, yang lazimnya berlangsung dari Oktober hingga Mac, khususnya di kawasan berbukit dan pergunungan yang terdedah kepada hujan lebat berpanjangan. - Agensi berita

