Jumlah korban di Bandung naik ketika banjir, tanah runtuh lumpuhkan Jawa
Jumlah korban di Bandung naik ketika banjir, tanah runtuh lumpuhkan Jawa
25 mayat ditemui dalam kejadian tanah runtuh, lebih 80 masih dilaporkan hilang
JAKARTA: Hujan lebat berterusan sejak awal Januari terus mencetuskan bencana banjir dan tanah runtuh di beberapa wilayah di Pulau Jawa, mengakibatkan gangguan besar terhadap trafik, perkhidmatan awam dan kehidupan penduduk, dengan kejadian paling buruk dilaporkan di Bandung Barat, Jawa Barat.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Kampung Pasir Langu, Bandung Barat, diteruskan pada 26 Januari meskipun berdepan cabaran cuaca tidak menentu dan keadaan muka bumi yang berisiko.
Menurut kenyataan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, sehingga lewat malam 25 Januari pasukan SAR berjaya mengeluarkan 14 mayat, menjadikan keseluruhan 25 mayat ditemui sejak operasi bermula pada 24 Januari.
“Semua jenazah telah diserahkan kepada pasukan polis untuk proses pengecaman,” menurut kenyataan BNPB yang dimuat naik di Facebook.
Selain mangsa terkorban, seramai 23 orang dilaporkan selamat, manakala 81 lagi masih dilaporkan hilang.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan angka korban akan berubah susulan usaha pencarian dan pengecaman yang masih berjalan.
Pasukan SAR yang diketuai Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), dengan kerjasama Tentera Nasional Indonesia (TNI), polis, BNPB dan Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) , menumpukan operasi di dua sektor utama dengan lebih 250 anggota digerakkan dalam operasi tersebut.
Mereka dibantu jentera berat, pencarian manual serta penggunaan dron bagi mempercepatkan usaha mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan tanah sedalam sehingga lapan meter.
Bagaimanapun, operasi pencarian terpaksa dihentikan sementara pada 25 Januari sekitar 10.41 pagi selepas dikesan risiko berlakunya tanah runtuh susulan di lokasi kejadian.
Operasi disambung semula pada 11.10 pagi selepas pemeriksaan keselamatan menggunakan dron mendapati kawasan tersebut selamat untuk dimasuki.
Tanah runtuh yang berlaku kira-kira 2.30 pagi 24 Januari itu bukan sahaja meragut nyawa, malah turut menimbus sekurang-kurangnya 30 rumah di kampung yang terletak berhampiran laluan Gunung Burangrang, kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar Bandung.
Bagi mengelakkan risiko kejadian susulan, seramai 232 penduduk di sekitar kawasan terjejas telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di gelanggang sukan dan balai desa.
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB,Encik Abdul Muhari, berkata kejadian tanah runtuh itu berpunca daripada hujan lebat berterusan yang melemahkan struktur tanah di kawasan berbukit.
Pentadbiran Bandung Barat telah mengisytiharkan tempoh tindak balas kecemasan selama dua minggu dan berikrar melaksanakan langkah mitigasi secara menyeluruh di kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi.
“Tumpuan utama kami adalah mencari mangsa yang masih hilang dan memastikan semua penduduk terjejas dapat diselamatkan. Semua elemen digerakkan bagi mempercepatkan proses pemindahan dan bantuan,” kata Bupati (Ketua Daerah) Bandung Barat, Encik Jeje Ritchie Ismail, dalam satu kenyataan.
Bencana bukan hanya tertumpu di Jawa Barat.
Di Karawang, hujan lebat telah mencetuskan banjir di 13 daerah sejak awal minggu lalu, dengan tujuh daerah tambahan terjejas pada 24 Januari.
Lebih 2,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan, manakala pihak berkuasa menasihatkan penduduk lain supaya bersiap sedia memandangkan air banjir terus memasuki ribuan rumah.
Di daerah Subang, air banjir mencecah paras sehingga 150 sentimeter, menenggelamkan lebih 3,300 rumah dan 27 hektar sawah padi di 21 kampung merentasi sembilan daerah.
Hampir 960 penduduk masih berlindung di pusat pemindahan.
Di Jawa Tengah, banjir kilat dan tanah runtuh melanda empat daerah di lereng Gunung Slamet iaitu Pemalang, Purbalingga, Brebes dan Tegal, memutuskan akses beberapa jalan dan jambatan.
Sekurang-kurangnya satu kematian dilaporkan di Pemalang, manakala limpahan Sungai Soso di Purbalingga masih mengasingkan dua dusun dan memaksa ratusan penduduk berpindah.
Sementara itu, di Jakarta, hampir 1,600 penduduk masih berada di pusat perlindungan selepas kediaman mereka dinaiki air sejak 22 Januari lalu.
Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, membenarkan kakitangan kerajaan bekerja dari rumah dan melaksanakan pembelajaran maya sehingga 28 Januari.
“Disebabkan hujan lebat, kami meluluskan dasar bekerja dari rumah dan pembelajaran jarak jauh,” katanya.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memberi amaran hujan lebat dan angin kencang dijangka berterusan sehingga 29 Januari, dengan kemuncak musim hujan diramal berlaku pada penghujung Februari. – Agensi berita.

