Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Artis, pelajar Indonesia kibarkan lambang lanun manga sebagai simbol protes

Aug 8, 2025 | 2:49 PM
Kemas Muhammad Firdaus, 28 tahun, melukis mural yang menggambarkan lambang Jolly Roger daripada siri anime dan manga Jepun terkenal ‘One Piece’ di Bekasi, wilayah Jawa Barat, Indonesia, 7 Ogos 2025.
Kemas Muhammad Firdaus, 28 tahun, melukis mural yang menggambarkan lambang Jolly Roger daripada siri anime dan manga Jepun terkenal ‘One Piece’ di Bekasi, wilayah Jawa Barat, Indonesia, 7 Ogos 2025. - Foto REUTERS

BEKASI/KARANGANYAR, Indonesia: Di bawah terik panas tengah hari, artis Indonesia Encik Kemas Muhammad Firdaus tekun menyembur cat pada dinding batu bata di sebuah halaman kosong, melukis imej tengkorak bertopi jerami di atas latar belakang hitam, merujuk kepada siri manga Jepun One Piece tentang lanun pemburu harta karun.

Dalam sebulan kebelakangan ini, pelajar dan aktivis di Indonesia, negara demokrasi ketiga terbesar di dunia, telah menggunakan lambang lanun watak One Piece, Monkey D. Luffy, sebagai simbol protes terhadap beberapa dasar pemerintah menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos.

Sebahagian pegawai mengkritik penggunaan lambang itu, malah seorang ahli parlimen menyamakannya dengan perbuatan khianat. Pejabat Presiden Prabowo Subianto pula berkata, walaupun negara menghormati kebebasan bersuara dan mengkritik, penggunaan lambang itu boleh menjejaskan kedudukan bendera negara sekiranya dikibarkan bersebelahan.

Encik Kemas, 28 tahun, seorang pelukis mural di daerah Bekasi, Jawa Barat, berkata beliau melukis lambang lanun itu sebagai bentuk protes terhadap rasuah pemerintah dan masalah pengangguran.

“Ramai rakyat Indonesia mengibarkan bendera One Piece kerana mereka mahu pemerintah mendengar suara mereka,” katanya dalam satu temu bual sambil menyiapkan muralnya yang turut meminjam beberapa elemen rekaan logo rasmi ulang tahun ke-80 Indonesia.

Di daerah Karanganyar, Jawa Tengah, penjual bendera tempahan khas, Enck Dendi Christanto, berkata beliau menerima terlalu banyak tempahan bendera One Piece sepanjang bulan Julai sehingga terpaksa menghentikan penerimaan pesanan.

Lambang lanun itu kini menjadi fenomena di media sosial Indonesia, dengan popularitinya susulan siri protes pelajar pada Februari lalu di beberapa bandar terhadap pemotongan bajet dan dasar lain, termasuk peningkatan peranan tentera dalam kehidupan awam. Pelajar dan aktivis menamakan demonstrasi itu sebagai “Indonesia Gelap”.

Indonesia mempunyai sejarah panjang aktivisme pelajar dan protes yang kadangkala bertukar ganas. Pada 1998, pelajar mengadakan siri demonstrasi membantah rasuah, kekurangan makanan dan pengangguran besar-besaran yang berakhir dengan rusuhan berdarah pada Mei dan kejatuhan Presiden Suharto selepas puluhan tahun pemerintahan autoritarian.

Minggu ini, media tempatan melaporkan pihak berkuasa di Jawa Timur merampas beberapa bendera One Piece, tindakan yang dikritik Amnesty International sebagai keterlaluan.
“Mereka tidak perlu sampai begitu, menuduh kami memecahbelahkan Indonesia, itu salah,” kata Encik Kemas. “Ini hanya seni.”

Pejabat Presiden Prabowo menegaskan pemerintah tidak mengarahkan sebarang serbuan. - REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg