JAKARTA: Ketika rakyat Indonesia bersiap menyambut Hari Kemerdekaan ke-80, satu fenomena luar jangka menarik perhatian ramai – bendera lanun daripada siri anime Jepun terkenal, One Piece, kelihatan berkibar di beberapa lokasi dan acara, menggantikan bendera rasmi Merah Putih.
Tindakan itu mencetuskan perdebatan nasional, dan pemerintah kini bertindak tegas dengan menyatakan larangan pengibaran bendera cereka tersebut.
Bendera yang digelar ‘Jolly Roger’ menampilkan tengkorak bertopi jerami berlatar belakang hitam, dan telah digunakan oleh segelintir rakyat sebagai lambang ketidakpuasan hati terhadap demokrasi negara yang menurut mereka kian pincang.
“Bendera Merah Putih terlalu suci untuk dikibarkan saat ini, ketika rakyat masih dijajah oleh kuasa tertentu,” kata seorang pengguna wadah X pada 28 Julai lalu.
Menurutnya, bendera One Piece mewakili “semangat perlawanan terhadap ketidakadilan”.
Sentimen itu turut dikongsi ribuan pengguna media sosial lain, termasuk yang mencipta semula logo rasmi Kemerdekaan ke-80 dalam gaya visual, One Piece, sekali gus menjadikan fenomena itu satu gerakan budaya yang berani dan bersifat kritikal.
Namun, pihak pemerintah menolak sekeras-kerasnya penggunaan lambang cereka sebagai pengganti bendera kebangsaan dan menganggap tindakan itu sebagai cabaran terbuka terhadap maruah negara.
“Kami menerima maklumat daripada agensi keselamatan bahawa wujud usaha sistematik untuk memecahbelahkan perpaduan negara melalui gerakan bendera, One Piece ini,” kata Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Encik Sufmi Dasco Ahmad, pada 31 Julai seperti dipetik agensi berita, Antara.
Sehari kemudian, Menteri Penyelaras Politik dan Keselamatan, Encik Budi Gunawan, memberi amaran tegas kepada mana-mana individu yang mengibarkan bendera, One Piece, sempena Hari Kemerdekaan.
“Tindakan tersebut boleh membawa akibat jenayah,” katanya dalam kenyataan media, sambil merujuk Undang-Undang 2009 mengenai bendera kebangsaan yang mengkategorikan penghinaan terhadap bendera Merah Putih sebagai satu kesalahan jenayah.
Beliau turut menuduh segelintir kumpulan cuba mencemarkan maruah negara dengan menggantikan simbol nasional dengan lambang cereka yang tiada kaitan dengan sejarah perjuangan bangsa.
Namun, tidak semua pihak bersetuju dengan pendirian pemerintah.
Masyarakat sivil, termasuk aktivis hak asasi, tampil mempertahankan pengibaran bendera anime itu sebagai bentuk ekspresi sah dan kritikan demokratik.
“Selagi ia dikibarkan di bawah bendera Merah Putih, tidak ada yang perlu dibimbangkan,” kata Encik Muhamad Isnur dari Yayasan Lembaga Bantuan Hukum Indonesia (YLBHI) pada 2 Ogos.
“Bendera itu merupakan lambang kecintaan rakyat kepada negara serta keterlibatan dalam demokrasi. Ia perlu dihormati, bukan dituduh sebagai pengkhianatan,” tambah beliau.
Encik Isnur turut menyamakan bendera, One Piece, dengan bendera kelab bola sepak atau pertubuhan massa yang biasa dikibarkan oleh peminat mereka sebagai tanda kesetiaan.
Malah, Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, sendiri pernah memakai pin berbentuk lambang One Piece semasa debat pemilihan pada 2024.
Ketua Badan Siber Ansor, Encik Ahmad Luthfi, menegaskan bahawa bendera, One Piece, bukan ancaman.
“Semangat pengembaraan, keberanian dan perpaduan dalam siri One Piece selari dengan nilai perjuangan dan kesatuan bangsa Indonesia,” katanya dalam kenyataan rasmi pada 3 Ogos 2025 seperti dilaporkan oleh Tempo.co.
“Budaya pop bukan ancaman selagi ia diurus dengan bijaksana.
“Malah, ia boleh menjadi medium memperkukuh semangat gotong-royong, persaudaraan dan nasionalisme,” ujar Encik Ahmad Luthfi.
Bagaimanapun, Menteri Hak Asasi Manusia, Encik Natalius Pigai, menegaskan bahawa pemerintah berhak penuh untuk melarang pengibaran bendera itu.
“Tindakan ini boleh dikategorikan sebagai pelanggaran undang-undang dan berpotensi kepada pengkhianatan,” katanya seperti dipetik Antara.
Beliau menjelaskan larangan itu sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang memberikan kuasa kepada negara untuk bertindak dalam isu yang menyentuh kedaulatan dan kestabilan nasional.
“Larangan ini selari dengan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik yang telah disahkan melalui Undang-Undang Nombor 12 Tahun 2005.
“Ia memberi hak kepada negara untuk bertindak demi keselamatan nasional,” ujarnya.
Encik Pigai menekankan bahawa larangan itu bukanlah bentuk penindasan terhadap kebebasan bersuara, malah langkah strategik demi menjaga kepentingan negara, terutama menjelang detik bersejarah seperti sambutan kemerdekaan.
“Ini bukan soal budaya pop atau animasi, tetapi soal menghormati simbol negara. Di tengah suasana merdeka, maruah Merah Putih mesti diangkat, bukan diganti,” tegasnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg