JAKARTA: Pada suatu petang awal 2025, Encik Fajar, seorang jurutera perisian berusia 24 tahun dari Surabaya, duduk di sebuah kafe yang suram sambil menatap senarai pekerjaan di Singapura.
Walaupun beliau menamatkan pengajian sebagai pelajar cemerlang, gajinya kini hanya cukup untuk menampung keperluan asas, jauh sekali untuk membeli rumah impiannya.
Kecewa, beliau memuat naik ciapan dengan tanda pagar, #KaburAjaDulu – ungkapan yang menggambarkan keinginannya untuk mencari kehidupan lebih baik di luar negara.
Dalam beberapa jam, ciapannya menjadi sebahagian daripada ribuan luahan serupa di media sosial, mencerminkan keresahan generasi muda terhadap masa depan mereka di Indonesia.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tanda pagar, #KaburAjaDulu, semakin tular di wadah media sosial X.
Ia bukan sekadar trend media sosial, malah, satu perbincangan serius mengenai ketidakpastian ekonomi dan sosial di Indonesia.
Banyak ciapan yang mengandungi perbandingan kehidupan dalam negara dengan peluang di luar negara, disertakan maklumat mengenai biasiswa, tawaran kerja serta cabaran yang mungkin dihadapi dalam proses migrasi.
Memetik laporan akhbar, Jawa Pos, pengguna media sosial menggunakan tanda pagar itu sebagai bantahan dan cara mereka untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pelbagai dasar di Indonesia.
Ia semakin meluas apabila wujudnya perdebatan mengenai keadaan ekonomi, dasar pemerintah dan cabaran sosial yang dihadapi oleh generasi muda.
Ramai pengguna media sosial mengaitkan trend tersebut dengan keinginan mereka untuk meninggalkan Indonesia dan mencari kehidupan yang lebih baik di luar negara.
Antara negara lain yang menjadi pilihan adalah Singapura, Malaysia, Australia, Canada atau Amerika Syarikat.
Pada awalnya, tanda pagar tersebut bersifat jenaka sahaja. Namun ia berkembang menjadi sindiran lebih serius mengenai keadaan sosiopolitik di negara itu.
Menurut pengamat sosial di Universiti Gadjah Mada (UGM), Profesor Dr Tadjuddin Noer Effendi, fenomena itu adalah refleksi kepada rasa tidak puas hati terhadap ekonomi negara yang tidak berkembang dengan baik.
“Mereka bukan tidak mencintai Indonesia, tetapi mereka mahu kehidupan yang lebih baik. Ramai juga yang berhasrat kembali apabila keadaan bertambah baik,” ujarnya kepada Liputan 6.
Punca utama trend itu adalah keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan.
Harga barang keperluan meningkat, peluang pekerjaan terhad serta kadar gaji tidak setimpal menjadi faktor utama ramai anak muda mempertimbangkan untuk meninggalkan Indonesia.
Data daripada Badan Pusat Statistik (BPS) menunjukkan pada 2024, kadar pengangguran belia di Indonesia masih tinggi, dengan 7.2 peratus siswazah universiti masih menganggur selepas enam bulan menamatkan pengajian.
Walaupun kadar pengangguran nasional berkurang kepada 4.91 peratus pada Ogos 2024, kadar pengangguran belia masih membimbangkan, dengan 15.34 peratus bagi mereka yang berusia 20 hingga 24 tahun dan 7.14 peratus bagi kumpulan umur 25 hingga 29 tahun.
Selain itu, menurut data BPS, sekitar 10 juta rakyat Indonesia telah mengalami kemerosotan daripada status kelas menengah kepada kelas menengah bawah antara 2019 dengan 2024.
Bukan itu sahaja, beban cukai yang semakin meningkat turut menyebabkan ramai rakyat berasa pendapatan mereka semakin mengecil.
Seorang pengguna X menulis: “Gaji 5 juta rupiah ($410) sebulan tak cukup untuk hidup selesa. Harga rumah makin tinggi, harga makanan makin mahal. Nak simpan duit pun susah. Lebih baik cari peluang di luar negara.”
Bagi sesetengah individu, keputusan untuk berpindah ke luar negara bukan semata-mata kerana ekonomi, bahkan juga kerana faktor sosial dan politik.
Ketidakstabilan dasar, birokrasi yang kompleks, serta sistem pendidikan dan kesihatan yang masih mempunyai banyak kekurangan turut mendorong keinginan untuk mencari kehidupan yang lebih baik di luar negara.
Fenomena itu turut menarik perhatian pihak berkuasa.
Namun, gerakan itu mendapat reaksi keras daripada pegawai pemerintah.
Timbalan Menteri Tenaga Kerja, Encik Immanuel Ebenezer, secara sinis mengulas: “Kalau mahu lari, lari sahaja. Jangan kembali, kalau perlu,” katanya kepada kompas.com.
Walaupun kenyataan tersebut menimbulkan kontroversi dalam kalangan netizen yang menganggap kenyataan itu sebagai tidak sensitif terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat, Menteri Tenaga Kerja, Profesor Yassierli, mengambil pendekatan berbeza.
Beliau menganggap fenomena itu sebagai cabaran pemerintah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di dalam negara.
“Sebenarnya, bekerja di luar negara itu bukan melarikan diri. Ia adalah satu peluang,” katanya.
Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Encik Bahlil Lahadia, yang sebelum ini dikritik kerana mengubah sistem penjualan gas gas petroleum cecair (LPG) subsidi secara tiba-tiba, turut mempertikaikan nasionalisme rakyat yang memilih bekerja di luar negara.
Nada yang sama turut disuarakan oleh Menteri Agraria dan Tata Ruang, Encik Nusron Wahid, yang mempersoalkan semangat patriotisme rakyat yang memilih untuk berhijrah.
“Kalau mereka menyokong #KaburAjaDulu, mereka ini rakyat Indonesia atau bukan?” katanya kepada agensi berita, Antara, pada 17 Februari.
“Kalau kita benar-benar patriot, kita akan berusaha menyelesaikan masalah yang ada bersama-sama,” ujarnya seperti yang dilapor akhbar,The Jakarta Post.
Di pihak lain, Ketua Majlis Perwakilan Daerah (DPD), Sultan Bachtiar Najamudin, menganggap trend itu sebagai satu panggilan untuk belia mengembangkan kerjaya mereka ke peringkat antarabangsa.
“Kita percaya #KaburAjaDulu sebenarnya adalah satu peluang untuk anak muda mengembangkan bakat mereka di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pada 16 Februari.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Ekonomi Negara (DEN), Luhut Binsar Pandjaitan, meminta rakyat agar tidak terburu-buru menilai prestasi pentadbiran baru di bawah Presiden Prabowo Subianto.
“Baru 100 hari pentadbiran baru, jangan cepat sangat membuat kesimpulan,” katanya kepada media selepas Sidang Puncak Ekonomi Indonesia 2025.
Fenomena brain drain iaitu penghijrahan golongan cerdik pandai ke luar negara, merupakan salah satu kebimbangan utama dalam isu ini.
Jika semakin ramai golongan karyawan muda meninggalkan Indonesia, negara akan kehilangan modal insan yang penting untuk pembangunan ekonomi dan teknologi tempatan.
Menurut laporan Bank Dunia, Indonesia telah mengalami peningkatan jumlah karyawan yang berpindah ke luar negara sebanyak 18 peratus sejak 2020, terutama ke negara seperti Singapura, Jerman, Jepun dan Australia.
Dalam satu wawancara dengan Kompas, pakar akademik dan penyelidik, Encik Fajar Setyaning Dwi Putra, berkata fenomena #KaburAjaDulu mencerminkan jurang yang semakin melebar antara harapan rakyat dengan realiti ekonomi negara.
“Ungkapan ini bukan sekadar sindiran, bahkan juga seruan agar pemerintah lebih bertanggungjawab dalam membangunkan negara,” katanya.
Bagi sesetengah anak muda, penghijrahan bukanlah petanda putus asa, tetapi satu bentuk strategi untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Bukan bermaksud saya tak sayang Indonesia, tapi saya nak kehidupan lebih stabil,” kata seorang pengguna X yang kini menetap di Melbourne, Australia.
Profesor Arief Budiman dari Universiti Indonesia berkata: “Jika pemerintah benar-benar ingin mengekalkan tenaga kerja mahir dalam negara, mereka perlu menyediakan ekosistem yang lebih baik dari segi gaji, peluang kerja dan kestabilan ekonomi.”
Dalam satu hantaran di media sosial, seorang netizen merumuskan sentimen yang dirasakan oleh ramai generasi muda Indonesia.
“Kami tak mahu lari, tapi kami mahu peluang yang lebih baik. Jika Indonesia dapat memberikannya, kami pasti akan pulang.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg