BANDAR LAMPUNG: Badan Pengelola Kewangan Haji (BPKH) menyasarkan dana pengurusan haji Indonesia pada 2025 meningkat kepada lebih 11 trilion rupiah (sekitar $894 juta).
Demikian menurut anggota pengurusannya, Encik Acep Riana Jayaprawira.
“Pada tahun-tahun sebelumnya, dana yang diraih hanya 10 trilion rupiah. Harap-harap tahun ini (2025) nilainya mencecah lebih 11 trilion rupiah,” kata Encik Acep.
Beliau berkata lebih tinggi pendapatan yang diperoleh, lebih rendah kos haji untuk jemaah haji Indonesia.
Bagi mencapai matlamat tersebut, katanya, BPKH telah mengambil beberapa langkah dalam bidang seperti menyewa hotel, menyediakan makanan, dan menyediakan pengangkutan jemaah haji Indonesia di Arab Saudi.
“Pengurusan dana haji akan dilaksanakan secara optimum kerana ini wang jemaah haji, bukan pemerintah. Justeru, ia mesti diurus dengan baik,” kata anggota BPKH itu lagi.
BPKH menyatakan dana pengurusan haji Indonesia berkembang positif dan melepasi sasaran.
Sehingga akhir 2024, jumlah dana yang diuruskan mencecah 171.65 trilion rupiah atau 101 peratus daripada sasaran 169.95 trilion rupiah.
Sementara itu, pendapatan keseluruhan meningkat daripada 11.52 trilion rupiah kepada 11.56 trilion rupiah.
Terdahulu, Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, merakamkan penghargaan terhadap peranan BPKH yang menumpukan usaha mengumpul, mengurus, memanfaatkan dan mengagihkan dana haji demi kepentingan masyarakat Islam Indonesia.
“Sejak ditubuhkan pada 26 Julai 2017, BPKH telah berjaya memperkasakan masyarakat Islam melalui program terukur dan menguruskan tabung haji secara telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Indonesia akan menghantar 221,000 anggota jemaah haji pada 2025 dan jumlah pegawai haji Indonesia dihadkan kepada 2,210 orang.
Pemerintah Indonesia bersama Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) sebelum ini telah bersetuju menetapkan kos ibadah haji 2025 sebanyak 89.4 juta rupiah ($7,505) bagi setiap anggota jemaah.
Namun, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Biaya Penyelenggaraan Ibadah Haji (BPIH), Encik Abdul Wachid, berkata bakal jemaah hanya perlu membayar 62 peratus daripada jumlah keseluruhan kos iaitu 55.4 juta rupiah kerana selebihnya akan ditanggung oleh pemerintah.
Indonesia mendapat kuota haji seramai 221,000 anggota jemaah pada 2025. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg