JAKARTA: Kerajaan Arab Saudi melalui Menteri Haji dan Umrah, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, pada 17 Januari memuji pemerintah Indonesia atas pendekatan perkhidmatan haji yang profesional dan berperikemanusiaan.
Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat nama Indonesia di peringkat global tetapi turut membawa cabaran baharu dalam usaha meningkatkan kualiti pengurusan haji.
Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah menyatakan bahawa perkhidmatan haji yang ditawarkan Indonesia telah mempengaruhi pelaksanaan ibadah haji secara global.
Pendekatan Indonesia yang bukan sahaja memikirkan keperluan jemaahnya tetapi juga mengambil kira aspek kemaslahatan sejagat menjadikan model pengurusan ini contoh kepada negara lain.
Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Encik Nasaruddin Umar, mengulas: “Kerajaan Arab Saudi memuji komitmen kita untuk menyediakan pengalaman haji yang selesa, aman, dan penuh kedamaian bagi semua jemaah.”
Dalam pertemuan di Jeddah itu, Encik Nasaruddin menyampaikan bahawa pendekatan Indonesia yang mengutamakan kemaslahatan global, selain daripada keperluan jemaahnya sendiri, menjadi faktor utama pujian tersebut.
Beliau menegaskan: “Kami sentiasa mengutamakan pendekatan yang berorientasikan pengalaman jemaah yang selesa dan aman. Ini adalah komitmen kami kepada umat Islam di seluruh dunia.”
Pujian ini datang pada saat yang penting kerana pengurusan haji di Indonesia kini sedang menghadapi pelbagai cabaran, termasuk peningkatan kos, pengurusan logistik, dan isu kesihatan jemaah yang semakin kompleks.
Walaupun pengiktirafan ini memberi motivasi, pengurusan ibadah haji di Indonesia tidak terlepas daripada pelbagai cabaran. Salah satu isu utama ialah tempoh keberangkatan dan kepulangan jemaah yang panjang, iaitu sekitar 40 hari.
Menurut Encik Indra Gunawan, anggota Badan Pengelola Kewangan Haji (BPKH), tempoh ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kekangan infrastruktur di lapangan terbang Jeddah dan Madinah.
“Waktu menunggu keberangkatan dan kepulangan yang panjang menyumbang kepada kos tinggi dan ketidakselesaan jemaah,” katanya.
Selain itu, Indonesia sebagai negara kepulauan menghadapi cabaran logistik yang besar.
Dengan lebih 17,000 pulau dan pelbagai bahasa, pengurusan haji menjadi lebih kompleks.
Faktor usia juga memainkan peranan penting, dengan majoriti jemaah berumur 60 tahun ke atas dan menghadapi risiko kesihatan tinggi.
“Perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan terancang amat diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan jemaah,” tambah Encik Indra.
Dalam usaha mengatasi cabaran ini, pemerintah Indonesia telah mengambil beberapa langkah reformasi penting.
Mulai 2026, pengurusan ibadah haji akan dialihkan daripada Kementerian Agama kepada Badan Penyelenggara Haji (BPH).
Langkah ini dianggap sebagai reformasi besar yang bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan ketelusan dalam pengurusan.
Encik Dadi Darmadi, seorang penyelidik haji dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah, menekankan: “Pembentukan BPH memberi peluang untuk membangunkan sistem pengurusan haji yang lebih terancang dan dipertanggungjawabkan. Namun, peralihan ini memerlukan pengawasan ketat untuk memastikan keberkesanannya.”
Langkah lain yang mendapat perhatian ialah pengurangan kos haji kepada 55.4 juta rupiah ($4,616) untuk 2025.
Walaupun ini adalah perkembangan positif, pengurangan kos tidak seharusnya mengorbankan kualiti perkhidmatan.
“Kita perlu memastikan bahawa setiap jemaah menikmati pengalaman ibadah yang terbaik walaupun dengan kos yang lebih rendah. Kita juga memerlukan reformasi menyeluruh terhadap tata kelola haji untuk memastikan keadilan dan ketelusan,” kata Encik Dadi.
Untuk menangani isu tempoh keberangkatan yang panjang, BPKH mencadangkan pembangunan lapangan terbang dan terminal baru di kawasan strategik.
Menurut Encik Ramadhan Harisman, Pengarah Pengelolaan Dana Haji dan Sistem Informasi Haji Terpadu (SIHDU), terminal baharu ini dapat mengurangkan kesesakan di lapangan terbang utama di Jeddah dan Madinah.
“Langkah ini bukan sahaja mempercepatkan mobilisasi jemaah tetapi juga menjimatkan kos logistik,” jelas Encik Ramadhan.
BPKH turut mencadangkan pembinaan “Kampung Haji Indonesia” di Arab Saudi.
Projek ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada jemaah, termasuk penginapan, makanan, dan fasiliti kesihatan.
“Dengan pelaburan strategik seperti ini, kita dapat menjadikan pengalaman haji lebih selesa dan efisien,” kata Encik Indra.
Salah satu aspek yang sering diabaikan dalam pengurusan haji ialah latihan dan pendidikan jemaah. Encik Dadi menekankan pentingnya pelatihan yang menyeluruh, termasuk aspek teknikal dan kerohanian.
“Manasik haji tidak sepatutnya menjadi sekadar formaliti. Pemahaman jemaah tentang ibadah dan cabaran di lapangan sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kelancaran ibadah mereka,” ujar beliau.
Latihan yang lebih komprehensif dapat membantu jemaah mengelakkan kesilapan semasa ibadah dan memberi mereka panduan yang jelas tentang prosedur haji.
Ini juga dapat mengurangkan tekanan ke atas petugas haji yang sering kali berhadapan dengan situasi yang memerlukan tindakan segera.
Pengiktirafan daripada Kerajaan Arab Saudi memberi motivasi kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan haji di Indonesia.
Pada 2025, kuota yang diberikan adalah sebanyak 221,000 yang merangkumi 201,063 anggota jemaah haji biasa, 1,572 petugas haji daerah, 685 pembimbing ibadah haji dan 17,680 anggota jemaah haji khusus.
Encik Nasaruddin menyatakan: “Penyelenggaraan haji 2025 adalah peluang untuk menunjukkan komitmen kita dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.”
Beliau menambah bahawa matlamat utama ialah memastikan setiap jemaah pulang dengan senyuman dan kenangan manis dari tanah suci serta mencapai haji mabrur.
Dengan langkah reformasi yang sedang dijalankan, pengurusan haji Indonesia berpotensi menjadi model global.
Bagaimanapun, keberhasilan usaha ini bergantung kepada kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, badan pengelola, dan masyarakat.
Reformasi ini harus berlandaskan prinsip ketelusan, kecekapan, dan keadilan untuk memastikan bahawa setiap jemaah mendapat pengalaman ibadah yang terbaik.
Komitmen pemerintah Indonesia dalam meningkatkan mutu pengurusan haji adalah langkah positif yang perlu diteruskan.
Dengan pengawasan yang ketat, pelaburan strategik, dan pendekatan yang berorientasikan jemaah, Indonesia berpeluang untuk terus menjadi contoh kepada dunia dalam pengurusan ibadah haji.
“Reformasi ini adalah tanggungjawab besar, tetapi dengan kesungguhan, kita mampu mencapainya,” kata Encik Dadi.
“Pengurusan haji bukan sekadar logistik, tetapi juga tentang memberikan pengalaman spiritual yang bermakna kepada setiap jemaah. Dengan visi dan perancangan yang jelas, masa depan pengurusan haji Indonesia kelihatan cerah,’‘ tambah Encik Didi. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg