JAKARTA: Pemerintah Indonesia bersama Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) telah bersetuju menetapkan kos ibadah haji 2025 sebanyak 89.4 juta rupiah ($7,505) bagi setiap anggota jemaah.
Daripada jumlah tersebut, pemerintah akan menanggung sebahagian kos, memberikan kelegaan kepada bakal jemaah haji.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Biaya Penyelenggaraan Ibadah Haji (BPIH), Encik Abdul Wachid, berkata bakal jemaah hanya perlu membayar 62 peratus daripada jumlah keseluruhan kos iaitu 55.4 juta rupiah.
Selebihnya, iaitu 38 peratus atau 33.9 juta rupiah akan ditanggung oleh pemerintah.
Kos itu meliputi tambang penerbangan ulang-alik dari Indonesia ke Arab Saudi, penginapan di Makkah dan Madinah, serta keperluan harian sepanjang ibadah haji.
Bakal jemaah boleh meletakkan bayaran ke akaun haji masing-masing di bank dan melunaskannya secara ansuran sebelum tarikh akhir pembayaran.
“Alhamdulillah, pemerintah dan DPR sejak awal memiliki semangat yang sama untuk merumuskan pembiayaan haji yang lebih terjangkau oleh masyarakat,” ujar Pengarah Urusan Penyelenggaraan Haji dan Umrah, Encik Hilman Latief.
Kos haji 2025 menunjukkan penurunan 4.28 peratus berbanding 2024. Pada tahun itu, kosnya adalah 93.4 juta rupiah.
Penurunan itu dicapai hasil daripada pelbagai langkah yang dijalankan oleh Kementerian Agama, termasuk rundingan dengan penyedia perkhidmatan di Arab Saudi.
Encik Hilman menjelaskan: “Penurunan ini dapat dilakukan terhadap berbagai komponen, baik penginapan, makanan serta biaya layanan di Arafah-Muzdalifah-Mina.
“Pemerintah beriltizam untuk memberikan layanan terbaik kepada jemaah haji Indonesia.”
Kumpulan pertama jemaah haji Indonesia dijadual berlepas antara 2 dengan 16 Mei 2025.
Menurut sistem maklumat Haji Kementerian Agama, kuota haji Indonesia pada 2024 adalah seramai 241,000 anggota jemaah.
Jumlah itu terdiri daripada 213,320 anggota jemaah haji biasa dan 27,680 anggota jemaah haji khusus.
Pada 2025, kuota yang diberikan adalah sebanyak 221,000 yang merangkumi 201,063 anggota jemaah haji biasa, 1,572 petugas haji daerah, 685 pembimbing ibadah haji dan 17,680 anggota jemaah haji khusus. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg