Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bali hentikan projek lif kaca di pantai Kelingking atas risiko keselamatan, alam sekitar

Nov 3, 2025 | 4:40 PM
Pihak berkuasa di Bali menggantung pembinaan lif kaca setinggi 182 meter di Pantai Kelingking selepas ahli parlimen mendapati projek tersebut melanggar undang-undang guna tanah dan peraturan zon pantai.
Pihak berkuasa di Bali menggantung pembinaan lif kaca setinggi 182 meter di Pantai Kelingking selepas ahli parlimen mendapati projek tersebut melanggar undang-undang guna tanah dan peraturan zon pantai. - Foto Instagram vacationinbali

DENPASAR: Pihak berkuasa di Bali telah mengarahkan penghentian sementara pembinaan lif kaca kontroversi di Pantai Kelingking, salah satu destinasi pelancongan paling terkenal di pulau itu, selepas menerima kritikan meluas berhubung risiko alam sekitar, isu keselamatan, dan dakwaan pelanggaran permit.

Pantai Kelingking, terkenal dengan tebing berbentuk dinosaur yang menghadap laut biru turquoise, telah menjadi ikon pelancongan semula jadi Bali. Namun, projek lif kaca setinggi 182 meter yang sedang dibina untuk memudahkan pelancong turun ke pantai kini mencetuskan perdebatan hangat.

Keputusan menghentikan pembinaan dibuat oleh Jawatankuasa Khas Perancangan Ruang, Aset dan Perlesenan (TRAP) Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Bali pada 31 Oktober, selepas mendapati projek tersebut melanggar peraturan kebangsaan mengenai guna tanah dan zon pantai.

“Struktur itu dibina di kawasan mitigasi bencana yang diwartakan sebagai zon larangan pembinaan besar-besaran,” kata pengerusi jawatankuasa berkenaan, Encik Made Supartha, seperti dipetik media tempatan.

Beliau turut menegaskan bahawa reka bentuk lif kaca itu bertentangan dengan tradisi seni bina Bali dan boleh mencemarkan keindahan semula jadi yang menjadi tarikan utama kawasan tersebut.

Projek bernilai 200 bilion rupiah (S$16 juta) itu, disokong oleh pelabur China dan dibangunkan oleh PT Bangun Nusa Properti, bermula pada Julai 2023 dengan matlamat meningkatkan akses ke pantai.

Pengarah projek, Encik Komang Suantara, menafikan sebarang pelanggaran undang-undang dan menegaskan bahawa pihaknya telah mematuhi semua keperluan teknikal serta kajian alam sekitar.

“Semua permit kami dikeluarkan berdasarkan peraturan spatial dan bangunan terkini. Namun, kami menghormati keputusan pihak berkuasa untuk menangguhkan pembinaan,” katanya sambil menambah bahawa kerja-kerja pembinaan telah siap sekitar 70 peratus sebelum digantung.

Rakaman video yang tular di media sosial awal tahun 2025 menunjukkan kren dan struktur besi besar di kawasan tebing berkenaan, sekali gus mencetuskan kemarahan penduduk tempatan yang mendakwa pemaju mengabaikan garis panduan perlindungan alam sekitar Bali.

Perdebatan mengenai projek lif kaca ini turut mencetuskan perbezaan pandangan dalam kalangan pelancong. Sebahagian menganggap lif tersebut merosakkan keaslian dan cabaran semula jadi Pantai Kelingking yang terkenal dengan pendakian curamnya.
“Pergilah dengan tenaga sendiri, bukan guna lif. Cabaran itulah yang menjadikan Kelingking istimewa,” kata seorang pelancong dari Switzerland kepada laman berita Kumparan.

Namun, ada juga yang melihat projek itu sebagai keperluan untuk keselamatan dan kemudahan. “Saya hampir menyesal turun ke bawah kerana curamnya luar jangkaan. Kalau ada lif, tentu lebih mudah dan selamat,” kata Cik Eva, pelancong domestik berusia 24 tahun dari Jakarta.

Pihak berkuasa daerah Klungkung telah menyita dan menutup tapak pembinaan, selepas mendapati projek tersebut tidak mempunyai permit lengkap dan berisiko dari segi keselamatan.

Ketua Polis Penguat Kuasa Awam (Satpol PP) Bali, Encik Dewa Nyoman Dharmadi, berkata kelulusan yang diberikan hanya untuk penggunaan terhad kawasan tebing, bukan untuk pembinaan struktur kekal berskala besar.

“Projek ini terletak dalam zon perlindungan dan melanggar peraturan sempadan pantai. Kami sudah menghentikan pembinaan dan menutup kawasan itu atas faktor keselamatan,” katanya.
Beliau menambah bahawa jika pelanggaran disahkan, tapak itu boleh ditutup sepenuhnya secara kekal.

Bupati (Ketua Daerah) Klungkung, Encik Made Satria, menjelaskan bahawa kelulusan projek itu diberikan sebelum beliau memegang jawatan awal tahun ini. Beliau turut mendakwa bahawa pemaju menunjukkan dokumen permit yang sah dan menyatakan telah melalui beberapa sesi konsultasi dengan masyarakat setempat.

“Penduduk tempatan memberitahu saya bahawa mereka telah diberi taklimat beberapa kali dan menyokong projek ini. Namun, kami sedang menyemak semula semua dokumen dan kelulusan berkaitan,” katanya kepada media tempatan.

Sambil pelancong mencari kemudahan, dan pelabur mengejar keuntungan, banyak pihak mengingatkan bahawa keindahan semula jadi dan nilai budaya Bali tidak boleh digadaikan atas nama kemajuan.

“Kalau tebing itu runtuh, kita bukan sahaja kehilangan tarikan pelancongan, tapi juga maruah Bali sebagai pulau yang seimbang antara manusia dan alam,” kata seorang aktivis alam sekitar tempatan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg