Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bali perkenal cukai pelancongan, aturan ketat bagi warga asing

Mar 26, 2025 | 11:14 AM
Penduduk Bali membawa patung gergasi yang dikenali sebagai ‘Ogoh-ogoh’ semasa perarakan menjelang Hari Nyepi, iaitu Hari Senyap bagi masyarakat Hindu Bali yang menandakan Tahun Baru Hindu Bali, di Denpasar, Bali, Indonesia, pada 21 Mac 2025. Ogoh-ogoh melambangkan unsur-unsur kejahatan dalam kepercayaan tempatan. Masyarakat Bali akan menyambut Hari Nyepi pada 29 Mac 2025, di mana penganut Hindu di pulau itu tidak dibenarkan keluar dari rumah, bekerja, menyalakan lampu, memasak atau melakukan sebarang aktiviti lain.
Penduduk Bali membawa patung gergasi yang dikenali sebagai ‘Ogoh-ogoh’ semasa perarakan menjelang Hari Nyepi, iaitu Hari Senyap bagi masyarakat Hindu Bali yang menandakan Tahun Baru Hindu Bali, di Denpasar, Bali, Indonesia, pada 21 Mac 2025. Ogoh-ogoh melambangkan unsur-unsur kejahatan dalam kepercayaan tempatan. Masyarakat Bali akan menyambut Hari Nyepi pada 29 Mac 2025, di mana penganut Hindu di pulau itu tidak dibenarkan keluar dari rumah, bekerja, menyalakan lampu, memasak atau melakukan sebarang aktiviti lain. - Foto EPA-EFE

DENPASAR: Pelancong asing yang mengunjungi Bali kini diwajibkan membayar levi sebanyak 150,000 rupiah ($12.10) sebagai sebahagian daripada langkah terbaru pemerintah tempatan untuk melindungi warisan budaya dan alam semula jadi pulau itu.

Levi ini mula dikuatkuasakan pada Februari lalu dan hanya dikenakan sekali bagi setiap kemasukan pelancong asing ke Bali. Bayaran boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi Love Bali, sama ada sebelum ketibaan atau semasa berada di Bali.

Menurut Gabenor Bali, Encik Wayan Koster, kutipan levi ini adalah penting bagi menyokong usaha pemeliharaan dan pemuliharaan budaya setempat yang semakin terancam akibat gelombang pelancongan yang tidak terkawal.

“Kami tidak menolak pelancong, tetapi kami mahu mereka memahami bahawa Bali bukan hanya destinasi, ia adalah tempat suci yang kaya dengan tradisi dan adat,” tegas Encik Koster ketika mengumumkan Pekeliling Baharu (SE) Nombor 7 Tahun 2025 di Denpasar, pada 24 Mac lalu.

Setakat 4 Februari tahun ini, Bali telah mengumpul hampir 24.3 bilion rupiah daripada levi pelancong asing. Sepanjang tahun 2024, jumlah kutipan mencecah 318 bilion rupiah, menurut laporan media tempatan.

Pekeliling terbaharu ini turut memperincikan garis panduan khusus untuk pelancong asing, termasuk etika berpakaian, larangan kelakuan tidak sopan dan peraturan lalu lintas. Pelancong juga diwajibkan menghormati kesucian kuil, patung dan lambang keagamaan, selain hanya dibenarkan memasuki bahagian tertentu tempat suci jika bertujuan untuk berdoa.

Antara peraturan ketat yang diumumkan termasuk keperluan berpakaian sopan dan bersesuaian, khususnya ketika melawat tempat-tempat suci, tarikan pelancongan, kawasan awam, restoran serta jalan raya.

“Pelancong asing harus sedar bahawa setiap langkah mereka diperhatikan. Menghormati adat Bali bukan pilihan, ia kewajipan,” ujar Encik Koster lagi.
Pelancong juga dikehendaki diiringi oleh pemandu pelancong bertauliah yang memahami alam sekitar, budaya dan tradisi Bali bagi memastikan mereka tidak tersasar daripada norma tempatan.

Satu lagi ketetapan penting dalam pekeliling itu ialah larangan menggunakan mata wang asing dalam sebarang transaksi. Semua pembayaran mesti dilakukan dalam mata wang Rupiah, sama ada secara tunai atau melalui sistem pembayaran digital seperti QRIS (Kod Respon Pantas Standard Indonesia).

Bank Indonesia telah menghubungkan sistem QRIS ini dengan beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia, Thailand dan Singapura, bagi memudahkan transaksi tanpa perlu menukar kepada Dolar Amerika sebagai perantara.

Pelancong juga digalakkan menukar mata wang mereka di pengurup wang yang sah bagi mengelakkan penipuan.

Gabenor Bali turut mengingatkan pelancong asing agar mematuhi undang-undang lalu lintas, termasuk memiliki lesen memandu antarabangsa atau sah, memakai topi keledar semasa menunggang motosikal, tidak memandu dalam keadaan mabuk, dan tidak membawa penumpang melebihi kapasiti.

Pelancong hanya dibenarkan menggunakan kenderaan yang disewa secara rasmi daripada syarikat berdaftar atau persatuan pengangkutan.
Dalam aspek penginapan pula, pelancong digesa untuk menginap di premis yang mempunyai lesen sah dan mematuhi peraturan khas yang ditetapkan di setiap tempat pelancongan.

Pemerintah Bali juga menegaskan larangan terhadap perbuatan mencemarkan sumber air, membuang sampah sesuka hati, menggunakan plastik sekali guna, memanjat pokok suci atau menunjukkan tingkah laku biadab di kawasan suci.

Perbuatan mengeluarkan kata-kata kesat, berkelakuan tidak sopan, menjalankan aktiviti perniagaan atau bekerja tanpa dokumen sah juga dilarang sama sekali.
“Mana-mana pelancong asing yang melanggar ketetapan ini akan dikenakan tindakan tegas, termasuk hukuman undang-undang mengikut peraturan Indonesia, jelas Encik Koster.

Seorang pemandu pelancong tempatan, Encik Kadek Wiratma, menyambut baik peraturan baharu ini:
“Kami mahu pelancong menikmati keindahan Bali, tetapi dalam masa yang sama, menghormati tanah yang mereka pijak. Ini bukan Disneyland — ini tanah adat kami.”

Sementara itu, seorang pelancong dari Jerman, Cik Elena Schmidt, yang sedang melancong ke Ubud berkata:
“Saya tiada masalah membayar cukai pelancong. Jika ia untuk melindungi budaya dan alam semula jadi Bali, saya sangat menyokong. Saya cuma berharap semua pelancong lain juga menghormati tempat ini.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg