BALI: Awal tahun 2025 menandakan penghujung atau pemberhentian sementara perkhidmatan pengangkutan awam di beberapa bandar Indonesia termasuk Bali dan Yogyakarta – akibat kekurangan dana daripada pemerintah pusat dan tempatan.
Situasi ini menimbulkan persoalan besar mengenai masa depan pengangkutan awam di Indonesia, terutamanya di tengah-tengah kesesakan trafik yang semakin memburuk.
Di Bali, perkhidmatan bas Trans Metro Dewata (TMD) terpaksa dihentikan mulai 1 Januari berikutan ketiadaan subsidi Buy The Service (BTS) dari Kementerian Pengangkutan, yang sebelum ini menampung kos operasi sejak 2020 dengan anggaran dana 90 bilion rupiah ($7.5 juta) setahun.
Penghentian ini mencetuskan kemarahan awam.
“Penutupan ini akan memperburuk kesesakan trafik dan memaksa lebih ramai penduduk bergantung kepada kenderaan persendirian,” kata Encik Ngurah Termana, penyelidik dari World Resources Institute (WRI) Indonesia.
Menurut data daripada WRI, sebanyak 95 peratus mobiliti di Bali bergantung kepada kenderaan persendirian.
Kesesakan trafik yang kritikal seperti yang ditunjukkan dalam video tular di mana pelancong terpaksa meninggalkan teksi dan berjalan kaki ke Lapangan Terbang Ngurah Rai, dijangka menjadi lebih buruk akibat penghentian perkhidmatan TMD.
Sementara itu, rancangan untuk membina Transit Rel Ringan (LRT) di Bali dijadualkan beroperasi hanya pada 2028, terlalu jauh untuk menangani masalah segera.
Pemotongan besar-besaran dalam bajet Kementerian Pengangkutan turut menyumbang kepada krisis ini. Bajet untuk pembangunan pengangkutan awam daerah dipotong kepada 177 bilion rupiah pada 2025, berbanding 437 bilion rupiah pada 2024.
Menurut jurucakap kementerian, Encik Budi Raharjo, penguasa daerah kini perlu mengambil alih tanggungjawab pembiayaan selepas tempoh kontrak lima tahun subsidi BTS tamat. Namun, banyak daerah seperti Bali dan Yogyakarta masih bergelut untuk mencari sumber dana alternatif.
Pengangkutan awam di beberapa daerah juga menghadapi cabaran kadar penggunaan pengangkutan awam yang rendah.
Di Bali, faktor muatan TMD hanya mencapai purata 26 peratus, sementara di Yogyakarta 33 peratus. Sebaliknya, bandar seperti Surabaya dan Makassar mencatatkan penggunaan lebih tinggi dengan purata melebihi 50 peratus.
“Pemerintah perlu menilai semula keberkesanan operasi pengangkutan awam secara berkala, termasuk memperbaiki kemudahan di stesen, menyediakan perkhidmatan penghubung ke kawasan penduduk, dan akses pejalan kaki di kawasan pusat,” kata Encik Ngurah.
Ketiadaan pengangkutan awam bukan sahaja meningkatkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian tetapi juga mendorong kenaikan penggunaan bahan bakar, kemalangan trafik dan kesesakan yang akhirnya menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Encik Djoko Setijowarno, penganalisis dari Masyarakat Pengangkutan Indonesia (MTI), menegaskan bahawa kurangnya komitmen politik pihak pentadbiran tempatan menjadi punca utama kejatuhan perkhidmatan pengangkutan awam.
Beliau juga mencadangkan langkah seperti pelaksanaan dasar nombor pendaftaran ganjil-genap, seperti yang dilakukan di Jakarta, untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.
Dasar nombor pendaftaran ganjil-genap adalah satu sistem kawalan trafik di mana kenderaan dibenarkan menggunakan jalan raya tertentu berdasarkan nombor akhir pada plat kenderaan mereka.
Sebagai contoh, kenderaan dengan nombor pendaftaran yang berakhir dengan angka ganjil (1, 3, 5, 7, 9) hanya dibenarkan berada di jalan tertentu pada hari-hari ganjil, manakala kenderaan dengan nombor pendaftaran yang berakhir dengan angka genap (0, 2, 4, 6, 8) hanya dibenarkan pada hari-hari genap. Langkah ini bertujuan mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, mengurangkan kesesakan trafik di samping menurunkan pencemaran udara.
Di tengah-tengah krisis ini, beberapa daerah berusaha mencari penyelesaian.
Surabaya, Makassar, dan Palembang telah mengambil alih operasi koridor transit utama, manakala Bogor berjanji untuk menyambung semula perkhidmatan pada akhir Januari. Bali pula merancang untuk menghidupkan kembali satu daripada enam koridor TMD mulai Julai.
Namun, langkah ini memerlukan komitmen jangka panjang dari pemerintah daerah dan pusat, serta sokongan masyarakat untuk beralih kepada pengangkutan awam.
Seperti yang ditegaskan oleh Encik Ngurah: “Kita memerlukan strategi khusus untuk menarik lebih ramai pengguna, termasuk peningkatan perkhidmatan dan kemudahan.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg