Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir besar di Jakarta Raya: Mencari huraian henti kitaran

Apr 14, 2025 | 5:30 AM
Gambar dari udara menunjukkan kawasan perumahan yang dilanda banjir selepas beberapa air sungai melimpah akibat hujan lebat di Bekasi, kawasan pinggir Jakarta, pada 5 Mac.
Gambar dari udara menunjukkan kawasan perumahan yang dilanda banjir selepas beberapa air sungai melimpah akibat hujan lebat di Bekasi, kawasan pinggir Jakarta, pada 5 Mac. - Foto AFP

JAKARTA: Wilayah Jakarta Raya sekali lagi dilanda bencana besar apabila banjir terburuk sejak 2020 melanda pada awal Mac.

Dalam apa yang kini digelar sebagai ‘kitaran banjir lima tahun’, ribuan penduduk di Jabodetabek – meliputi Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang,dan Bekasi – terjejas dan ini menunjukkan betapa lemahnya sistem pengurusan risiko bencana dan perancangan bandar di kawasan metropolitan itu.

Keunikan banjir kali ini terletak pada waktu ia melanda iaitu hanya dua minggu selepas Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, dan Gabenor Jawa Barat, Encik Dedi Mulyadi, secara rasmi memulakan tugas mereka pada 21 Februari.

Meskipun kedua-duanya baru memegang jawatan, mereka kini berdepan kritikan hebat, mewarisi isu yang berlarutan sejak zaman Hindia Belanda pada 1621.

Kawasan itu dahulu bertindak sebagai ‘span semula jadi’ yang menyerap air hujan, tetapi kini dipenuhi dengan bangunan pelancongan dan hartanah mewah.

Limpahan air hujan dari kawasan hulu itu mengalir laju ke kawasan hilir seperti Jakarta melalui Sungai Ciliwung, menyebabkan sistem saliran bandar tidak lagi mampu menampung beban air yang mendadak.

Jakarta terletak di kawasan hilir, menerima limpahan air dari kawasan hulu seperti Bogor dan Puncak.

Gabungan hujan lebat, kenaikan paras air laut akibat perubahan iklim dan penebatan tanah secara besar-besaran telah menjadikan kawasan itu amat mudah dilanda banjir.

Namun begitu, kelemahan dalam perancangan bandar tetap menjadi faktor utama.

Kawasan tadahan air diubah menjadi perumahan dan pusat komersial.

Prasarana seperti sistem saliran, benteng dan takungan tidak dibina atau diselenggara secukupnya.

Akibatnya, banjir bukan sahaja kerap berlaku, malah kini merosakkan.

Encik Pramono menuding kepada aliran air dari kawasan hulu sebagai punca utama.

“Banjir berpunca sepenuhnya daripada limpahan dari hulu,” katanya.

Kenyataan itu walaupun berasaskan fakta, memberi gambaran pihaknya enggan mengambil tanggungjawab penuh, sebaliknya menyalahkan pihak luar.

Namun begitu, beliau menunjukkan daya usaha dengan menghantar bantuan termasuk lori bomba dan makanan asas ke kawasan yang tidak berada dalam bidang kuasa wilayahnya seperti Bekasi.

Namun tindakannya disusuli kenyataan yang membangkitkan keraguan.

Beliau berkata: “Yang penting, jangan sampai kita bantu tapi nanti jadi masalah untuk kita pula.”

Dari sudut lain, Encik Dedi melawat kawasan Puncak dan secara emosional menzahirkan kesedihannya apabila melihat tanah hutan ditukar menjadi tarikan pelancongan.

Beliau kemudian mengumumkan rancangan untuk mengeluarkan peraturan gabenor bagi menghalang penukaran guna tanah secara komersial.

Namun tindakan itu dilihat sesetengah pihak sebagai sekadar publisiti.

“Yang diperlukan bukan sekadar air mata, tetapi dasar yang melindungi rakyat daripada penderitaan dan dasar yang benar-benar memihak kepada rakyat, bukan perniagaan,” tegas ensyarah kanan undang-undang di Universiti Andalas, Sumatera Barat, Encik Feri Amsari.

Banjir besar kali ini dianggarkan menyebabkan kerugian sekitar 960 billion rupiah ($375 juta) dalam sektor perumahan dan perdagangan, jauh lebih tinggi berbanding banjir pada 2020, yang hanya mencatat kerugian sekitar 700 bilion rupiah dalam sektor runcit.

Angka itu belum mengambil kira kerosakan fizikal kediaman, kesihatan dan kehilangan sumber pendapatan.

Anggaran itu juga mencerminkan betapa lambatnya penambahbaikan dilakukan walaupun peruntukan belanjawan untuk pengurusan banjir meningkat dari tahun ke tahun.

Perbelanjaan pengendalian banjir oleh pentadbiran Jakarta meningkat daripada 1.8 trilion rupiah (2021) kepada 2.4 trilion rupiah (2022); dan seterusnya 3.6 trilion rupiah (2023), sebelum sedikit menurun ke 2.84 trilion rupiah pada 2024 dan melonjak ke 5.6 trilion rupiah pada 2025.

Namun, peningkatan peruntukan belanjawan itu tidak semestinya diterjemahkan kepada penyelesaian konkrit kerana pendekatan berasaskan masyarakat masih kurang diberi perhatian.

Masalah utama bukan sahaja pada hujan atau sungai, malah bagaimana tanah digunakan dan siapa yang membenarkannya.

Menurut dua pegawai pemerintah, hasil perbincangan antara Menteri Agraria dan Tata Ruang, Encik Nusron Wahid, dengan Encik Dedi memutuskan bahawa kawasan tepian sungai yang telah dipecahkan untuk pembangunan akan diambil semula pemerintah.

Kawasan yang telah digunakan secara komersial, khususnya berhampiran sungai, akan dikenakan sekatan baru.

Turut dirancang ialah pembinaan benteng dan pembersihan sungai, dengan pembiayaan dikongsi antara pemerintah pusat denga daerah.

Namun semua itu bergantung kepada pelaksanaan sebenar.

Tanpa ketegasan, dasar akan terus gagal.

Selain itu, penglibatan masyarakat sangat penting dalam pengurusan risiko bencana.

Setiap Rukun Tetangga (RT) dan Rukun Warga (RW) patut dilengkapi dengan sistem amaran awal (EWS) dan mereka perlu tahu siapakah yang bertanggungjawab untuk menjaganya, kata aktivis persekitaran dari Tangerang, Cik Rina Marlina.

Menurut beliau, EWS, dapat memberi isyarat awal kepada penduduk agar mengambil langkah berjaga-jaga, sama ada untuk memindahkan barangan penting atau menyelamatkan kenderaan ke tempat tinggi.

Lebih penting lagi, Cik Rina menekankan perlunya pemahaman yang mendalam tentang perancangan ruang dan pengurusan sumber semula jadi di peringkat akar umbi.

“Kalau komuniti sendiri tidak tahu tanah mereka di kawasan tadahan air, bagaimana mereka hendak tolak pembangunan yang merosakkan ekosistem?” katanya.

Banjir bukan masalah baru dan bukan semata-mata masalah alam.

Ia adalah gejala kepada dasar ruang yang lemah, penguatkuasaan yang longgar dan kepentingan ekonomi yang mengatasi kesejahteraan rakyat.

Jika pemimpin baru ingin benar-benar memutuskan kitaran bencana ini, mereka harus melangkaui publisiti, menolak permainan saling menyalahkan dan mula membina kerangka kerjasama antara wilayah, masyarakat dengan pemerintah pusat, ujar Encik Feri.

“Yang diperlukan sekarang bukan lagi janji-janji manis, tetapi keberanian politik untuk menyelesaikan masalah yang diwarisi dan akan diwariskan lagi jika kita gagal bertindak,” ujarnya lagi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg