Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir, tanah runtuh Aceh hidupkan semula trauma tsunami 2004

Kekecewaan meningkat di Indonesia terhadap kelemahan respons bencana pemerintah
Dec 5, 2025 | 2:33 PM
Kawasan perumahan musnah akibat banjir kilat di daerah Bener Meriah, Aceh, pada 4 Disember 2025. Banjir dan tanah runtuh pada 25 November lalu meragut sekurang-kurangnya 836 nyawa, menurut pihak berkuasa pada 4 Disember, selain menenggelamkan rumah, menghanyutkan jambatan dan memutuskan rangkaian pengangkutan di seluruh pulau Sumatera.
Kawasan perumahan musnah akibat banjir kilat di daerah Bener Meriah, Aceh, pada 4 Disember 2025. Banjir dan tanah runtuh pada 25 November lalu meragut sekurang-kurangnya 836 nyawa, menurut pihak berkuasa pada 4 Disember, selain menenggelamkan rumah, menghanyutkan jambatan dan memutuskan rangkaian pengangkutan di seluruh pulau Sumatera. - Foto AFP

JAKARTA: Bagi nelayan Encik Effendi Basyaruddin, banjir dan tanah runtuh yang meragut ratusan nyawa di Aceh pada 25 November lalu mengingatkan semula trauma paling dahsyat dalam hidupnya - hari ketika ombak setinggi bangunan menerjah bandar asalnya pada 26 Disember 2004.

Hampir 200,000 orang maut di Aceh selepas gempa bumi berukuran 9.1 magnitud mencetuskan tsunami Lautan Hindi. Selepas 21 tahun kemudian, kenangan itu kembali menghantui Encik Effendi. “Saya lihat ombak setinggi 20 meter semasa tsunami,” kata beliau kepada Reuters. “Tetapi banjir kali ini lebih besar… kampung-kampung berubah menjadi sungai.”

Bencana yang disebabkan taufan itu menjejaskan tiga wilayah di Sumatera, mengorbankan lebih 800 orang di Indonesia dengan lebih 200 daripadanya di Aceh selain meragut ratusan nyawa di Thailand dan Malaysia. “Kami sangat traumatis,” kata Encik Effendi, 64 tahun, yang rumahnya sekali lagi musnah. Kini beliau tinggal di dalam khemah berhampiran laut yang dianggapnya “kawan dan lawan” dalam masa yang sama.

Di Aceh Tamiang, deretan jentera penggali dan penduduk menguis lumpur tebal di kawasan yang dulunya penempatan. Bagi Encik Adi Hermawan, 45 tahun, keperluannya jelas: “Kami perlukan air bersih dan mencari makanan,” katanya. “Penempatan ini musnah seolah-olah dilanda tsunami. Bezanya, mangsa mungkin belum ditemui dan lebih sukar dikesan.”

Pemimpin tempatan di seluruh Aceh menggesa pemerintah mengisytiharkan darurat nasional bagi membuka akses kepada dana tambahan. “Saya tidak sanggup… jumlah mangsa terlalu ramai. Rumah rakyat hilang. Tiada perhatian daripada pemerintah pusat,” kata Encik Ismail A Jalil, pemimpin Aceh Utara, sambil menangis dalam video yang tular.

Pemerintah pusat menegaskan bahawa bantuan sentiasa disalurkan, dengan bajet 500 bilion rupiah (S$38.79 juta) yang disediakan dianggap mencukupi dan boleh ditambah jika perlu. Presiden Prabowo Subianto pula berkata keadaan semakin pulih dan perisytiharan darurat masih belum perlu.

Namun, kritikan semakin memuncak dan rakyat menuduh kerajaan lambat bertindak, memberi kenyataan tidak sensitif serta membuat lawatan yang dilihat hanya untuk menunjukkan wajah.

Banjir dan tanah runtuh melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat selepas Taufan Tropika Senyar - ribut luar biasa yang terbentuk di Selat Melaka membadai pada 25 November. Ribuan rumah, bangunan, jalan dan jambatan musnah. Setakat 4 Disember, 836 orang disahkan maut dan 518 masih hilang, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB). Aceh mencatatkan kematian tertinggi berjumlah 325 orang.

Seminggu selepas ribut melanda, banyak kawasan masih terputus hubungan dan menunggu bantuan.
Di Nagan Raya, hampir 8,500 orang dipindahkan. Daerah Beutong Ateuh Banggalang kekal terputus hubungan selepas banjir kilat memusnahkan jalan dan jambatan.

“Kapasiti kami sudah tidak mencukupi dari segi bajet dan peralatan,” kata Bupati (Ketua Daerah) Nagan Raya, Teuku Raja Keumangan. “Rakyat kami menderita dan ramai masih terasing. Kita perlu bertindak segera untuk mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.”

BNPB berkata pihaknya telah menghantar bantuan logistik, namun Aceh masih memerlukan helikopter dan bantuan laut untuk mencapai kawasan terpencil.

Pakar dasar awam Encik Trubus Rahardiansah menyifatkan respons pemerintah sebagai “lambat, tidak selaras dan tidak bersedia”. Menurutnya, pemerintah tempatan tidak bersedia menghadapi bencana sebesar ini, manakala pemerintah pusat gagal menyelaras bantuan dengan cepat.

Pakar pengurusan bencana, Profesor Eko Teguh Paripurno, berkata wujud jurang besar antara harapan rakyat dan tindakan pemerintah. “Rakyat seolah-olah berkata, ‘Kami dalam keadaan darurat’, tetapi pemerintah menjawab, ‘Ini belum darurat’,” katanya. “Ketidakseragaman ini menghalang usaha menyelamat dan bantuan.”

Kemarahan awam memuncak selepas beberapa kenyataan pegawai didakwa tidak sensitif. Ketua BNPB, Encik Suharyanto, misalnya, meremehkan situasi dengan berkata keadaan “kelihatan teruk di media sosial, tetapi tidak seteruk itu di lapangan”. Beliau kemudian meminta maaf.

Percanggahan kenyataan antara agensi pemerintah juga mencetuskan kekeliruan. Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) mendakwa semua kawasan boleh diakses, tetapi tentera wilayah menyatakan 20 hingga 30 kawasan masih terasing.

Sebuah video tular menunjukkan mangsa banjir di Sumatera Utara bergelut mengutip beras yang jatuh dari helikopter selepas beg bantuan pecah mencetuskan kemarahan ramai.

Menteri Koordinator Urusan Makanan, Encik Zulkifli Hasan, turut dikecam selepas memuat naik video dirinya memikul beras dan menyodok lumpur - dianggap sebagai “gimik politik”. Netizen mengaitkan bencana terkini dengan dasar-dasar lamanya yang didakwa melemahkan perlindungan hutan. Dr Trubus berkata, “Sesetengah pegawai lebih fokus pada imej politik berbanding membantu mangsa. Ini menjejaskan kepercayaan rakyat.”

Pemerintah Indonesia sedang menyiasat sejumlah syarikat yang disyaki melakukan penebangan hutan di kawasan sekitar lokasi banjir di Sumatera, sekali gus mengaku kelemahan pengurusan hutan telah memburukkan lagi bencana alam itu.

Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni dalam ucapan di Parlimen, pada 4 Disember berkata pemerintah akan mengkaji semula aspek tadbir urus hutan, mempertimbangkan moratorium permit baharu, dan menarik balik lesen syarikat yang melanggar peraturan. Beliau bagaimanapun tidak menamakan syarikat secara khusus.

Kumpulan aktivis alam sekitar mendakwa penebangan hutan yang dikaitkan dengan kegiatan perlombongan serta pembalakan, telah menyumbang kepada kemusnahan lebih besar. Dalam konteks itu, mereka merujuk kepada imej timbunan kayu balak hanyut yang mencetuskan kemarahan orang ramai. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg