Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantahan di Indonesia: Parti politik batalkan hak istimewa wakil rakyat

Aug 31, 2025 | 6:17 PM
prabowo subianto, bantahan, indonesia
Bercakap dalam satu sidang media di Istana Presiden pada 31 Ogos bersama barisan pemimpin pelbagai parti politik, Presiden Prabowo Subianto berkata beliau telah mengarahkan pihak tentera dan polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap perusuh dan perompak. - Foto AFP

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengumumkan bahawa parti politik negara itu telah bersetuju untuk membatalkan beberapa hak istimewa yang dinikmati wakil rakyat, susulan tunjuk perasaan besar-besaran yang telah meragut lima nyawa.

Gelombang tunjuk perasaan tercetus pada 25 Ogos, dengan penunjuk perasaan mengecam gaji dan elaun mewah wakil rakyat.

Keadaan menjadi lebih tegang pada 28 Ogos apabila seorang penunggang teksi motosikal terkorban ekoran dirempuh kenderaan polis di tapak tunjuk perasaan.

Penunjuk perasaan juga telah menyerbu dan merompak rumah beberapa anggota parti politik.

Bercakap dalam satu sidang media di Istana Presiden pada 31 Ogos bersama barisan pemimpin pelbagai parti politik, Encik Prabowo berkata beliau telah mengarahkan pihak tentera dan polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap perusuh dan perompak.

“Pemimpin Parlimen telah menyampaikan komitmen untuk membatalkan beberapa dasar yang sedia ada, termasuk jumlah elaun bagi wakil rakyat dan menggantung lawatan kerja ke luar negara.

“Saya telah arahkan pihak polis dan tentera untuk bertindak sekeras mungkin terhadap sebarang tindakan merosakkan kemudahan awam, merompak rumah individu dan pusat ekonomi, selaras dengan undang-undang,” kata beliau.

Kejadian tunjuk perasaan ini disifatkan sebagai ujian terbesar terhadap pentadbiran Encik Prabowo yang baru berusia hampir setahun dan setakat ini tidak berdepan cabaran politik yang besar sejak mengambil alih tampuk pentadbiran pada Oktober 2024.

Encik Prabowo juga telah membatalkan rancangan mengadakan lawatan ke China, dengan kemarahan rakyat berhubung berhubung gaji dan elaun mewah wakil rakyat semakin memuncak.

Didorong kemarahan, sesetengah penunjuk perasaan menjejak rumah pegawai pemerintah dan wakil rakyat, dengan alamat rumah sesetengah daripada individu ini telah didedahkan di dalam talian.

Antara sasaran berprofil tinggi ialah Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani Indrawati.

Pada awal pagi 31 Ogos, sekumpulan orang memecah masuk kediaman Cik Mulyani di kawasan mewah Bintaro, di luar Jakarta. 

Video yang tular di dalam talian menunjukkan penunjuk perasaan memecahkan harta benda dan membawa keluar barangan berharga seperti alat elektronik, lukisan, pakaian dan perabot.

Kemarahan rakyat semakin membara terhadap Cik Mulyani susulan video ‘deepfake’ tular yang memaparkan beliau seolah-olah menyifatkan para guru sebagai ‘beban’, selain kenyataan kontroversi beliau yang menyamakan cukai dengan zakat.

Rumah wakil rakyat lain turut menjadi sasaran, termasuk rumah Encik Ahmad Sahroni, yang terkenal kerana gemar mempamerkan koleksi kereta mewahnya.

Sebelum ini, beliau pernah melabelkan rakyat Indonesia sebagai sebagai orang yang ‘tolol (bodoh) sedunia’.

Video yang tular dalam talian menunjukkan sekumpulan orang memecahkan kereta mewah milik beliau dan mengagihkan barangan mewah miliknya termasuk beg tangan Louis Vuitton dan jam tangan Richard Mille. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg