Topik diikuti
Pergi ke BHkuBantahan pro-Palestin, anti-Israel gagal halang konsert opera Italy di Indonesia
Bantahan pro-Palestin, anti-Israel gagal halang konsert opera Italy di Indonesia
Konsert pertama penyanyi opera pop terkenal Italy, Andrea Bocelli, di kawasan Candi Borobudur, Magelang, Jawa Tengah, pada 31 Oktober berlangsung lancar dan mendapat sambutan penonton dari seluruh Indonesia serta luar negara, meskipun terdapat bantahan daripada kumpulan yang mendesak persembahan itu dibatalkan.
Kumpulan penunjuk perasaan cuba menghampiri kawasan candi tersebut bagi membantah konsert berkenaan kerana Bocelli pernah membuat persembahan dalam beberapa acara yang dikaitkan dengan sokongan terhadap Israel.
Beberapa minggu sebelum dua konsert Bocelli yang dijadualkan berlangsung di Magelang dan Jakarta pada 3 November, Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Muhammadiyah, pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia, menyuarakan bantahan terhadap kehadiran penyanyi itu.
Bantahan tersebut dibuat kerana Bocelli pernah mengadakan persembahan dalam acara mengumpul dana bagi Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada 2010, selain beberapa kali membuat persembahan di Tel Aviv sepanjang kerjayanya.
Seolah-olah menjawab tuduhan tersebut, Bocelli menyampaikan mesej keamanan kepada penonton sebelum menyanyikan salah satu lagu paling terkenalnya, The Prayer.
Beliau berkata lagu itu didedikasikan kepada semua orang yang tidak bersalah dan sedang menderita akibat peperangan, tanpa merujuk secara khusus kepada mana-mana konflik atau kumpulan masyarakat.
“Ketika saya menyanyikan lagu ini, saya berharap ingatan dan doa saya sampai kepada semua yang sedang menderita, khususnya mereka yang tidak bersalah tetapi terpaksa menghadapi kekejaman peperangan atau kehilangan nyawa kerananya.
“Pada saat ini, The Prayer adalah satu-satunya yang dapat kami persembahkan kepada mereka, dan saya menyampaikannya dengan sepenuh hati.
“Semoga semua negara bebas daripada peperangan. Keamanan, keamanan, keamanan,” kata Bocelli sebelum menyanyikan lagu itu secara duet bersama penyanyi soprano Indonesia, Lea Simanjuntak.
Persembahan tersebut berlangsung dengan berlatarbelakangkan Candi Borobudur yang diterangi lampu berwarna-warni, selain pertunjukan dron khas yang memaparkan imej membawa mesej keamanan dan kemanusiaan.
Bocelli sebelum ini pernah membuat persembahan di beberapa mercu tanda terkenal dunia, termasuk Patung Liberty di New York, Piramid Giza di Mesir dan Menara Eiffel di Paris.
Beberapa jam sebelum konsert bermula, sekurang-kurangnya 1,000 penunjuk perasaan cuba menuju ke kompleks Candi Borobudur.
Menurut seorang pegawai polis yang bertugas mengawal keselamatan konsert itu, hanya beberapa ratus orang berjaya menghampiri jalan lingkaran berhampiran taman candi untuk mengadakan bantahan dan menuntut pembatalan persembahan.
Penunjuk perasaan membawa bendera dan lambang Palestin berwarna merah, hijau, hitam dan putih, selain sepanduk memaparkan gambar Bocelli dengan tulisan seperti “Jangan sediakan pentas kepada simbol yang mempunyai kaitan dengan Zionis”.
“Jika kita masih mempunyai sedikit rasa empati dan kemanusiaan dalam hati, sudah tentu kita akan menolak kehadiran seorang Zionis seperti Andrea Bocelli,” kata pendakwah Islam yang mewakili Jamaah Ansharu Syariah di Semarang, Jawa Tengah, Encik Danang Setyadi, kepada Berita Harian.
Beliau merupakan antara individu yang berucap dalam perhimpunan bantahan tersebut.
Bagaimanapun, penunjuk perasaan dihalang daripada menghampiri kawasan konsert oleh pasukan polis yang memasang sekatan keselamatan menggunakan kenderaan berperisai sejak 30 Oktober.
Perhimpunan itu berlangsung secara aman sebelum semua peserta bersurai menjelang 6 petang.
Pada masa yang sama, seramai 20 pendakwah Islam berkumpul di sebuah kafe berhampiran untuk mengadakan sidang media bagi menyatakan penerimaan mereka terhadap konsert tersebut.
Jurucakap kumpulan itu, Encik Muhammad Rofik Mualimin, berkata mereka menghargai keputusan Bocelli memilih Indonesia sebagai salah satu destinasi jelajah konsert sempena ulang tahun ke-30 album antarabangsa pertamanya, Romanza.
Dua persembahan di Indonesia itu merupakan satu-satunya konsert Bocelli yang dijadualkan berlangsung sepenuhnya di Asia setakat ini sehingga Oktober tahun depan.
Antara destinasi lain dalam jelajah tersebut di luar Eropah dan Amerika ialah Istanbul pada Mei, Kaherah pada Jun, Petra di Jordan pada November dan Abu Dhabi pada Disember.
Kumpulan pendakwah itu turut menggesa masyarakat supaya mengekalkan perpaduan, mengelakkan provokasi yang boleh memecahbelahkan rakyat dan mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan mana-mana kumpulan tertentu.
Mereka kemudian menerima undangan daripada penganjur untuk menghadiri konsert tersebut.
Encik Rofik, yang juga ketua Pondok Pesantren Latifah Mubarokiyah di Bantul, Yogyakarta, memberitahu Berita Harian pada 2 November bahawa mereka diberikan tempat duduk di bahagian Platinum dan Diamond.
Kedua-duanya merupakan kategori tiket paling mahal, masing-masing berharga 17.5 juta rupiah ($1,300) dan 15 juta rupiah selepas mengambil kira harga bersih.
“Saya menyukai dan boleh menikmati muzik serta seni. Walaupun sebelum ini saya tidak pernah mendengar lagu Bocelli, saya dapat menikmati persembahannya dan berpendapat lagu-lagunya sangat bagus,” katanya.
Beliau turut menghargai seruan Bocelli mengenai kasih sayang, keamanan dan kemanusiaan serta gesaan supaya peperangan dihentikan.
Konsert tersebut turut menarik kehadiran golongan berada dan masyarakat kelas atasan dari Jakarta serta beberapa bandar besar lain di Indonesia.
Ramai penonton hadir dengan pakaian malam yang elegan, termasuk busana batik berkualiti tinggi dan pakaian tradisional Indonesia yang diperbuat daripada fabrik mewah.
Sebelum memasuki kawasan konsert, mereka menikmati jamuan bufet terbuka di taman sebuah hotel peranginan dan pusat kebudayaan dalam kawasan Borobudur, dengan pemandangan candi yang diterangi lampu sebagai latar belakang.
Kehadiran beberapa lelaki berbadan tegap berpakaian biasa yang berkawal di sekitar kawasan bufet dan ruang makan memberi gambaran bahawa terdapat tetamu penting atau pegawai kanan dalam kalangan penonton.
Sementara itu, MUI menyatakan rasa kesal terhadap keputusan pemerintah Indonesia meneruskan konsert Bocelli meskipun terdapat bantahan daripada pertubuhan tersebut.
Pengerusi MUI bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa, Encik Sudarnoto Abdul Hakim, berkata beliau mengakui Bocelli sendiri mungkin bukan seorang Zionis dan lirik lagu-lagunya mempunyai mesej yang indah.
Namun, katanya, keputusan penyanyi itu membuat persembahan dalam acara mengumpul dana anjuran Rakan IDF menunjukkan sokongannya terhadap apa yang disifatkannya sebagai “jentera pembunuhan” Zionis.
“Saya benar-benar hairan bagaimana Indonesia boleh menjadi tempat mengadakan konsert bagi seseorang yang jelas pernah memberikan sokongan kepada kuasa penjajah,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 Oktober.
Dalam pada itu, Menteri Pelancongan Indonesia, Cik Widiyanti Putri Wardhana, berkata kedua-dua konsert berkenaan berpotensi menjana kegiatan ekonomi bernilai sekitar AS$44 juta ($56 juta).
Menurut beliau, kira-kira 7,000 penonton di Magelang dan 9,000 lagi di Jakarta dijangka berbelanja besar untuk perjalanan, makanan, penginapan dan pengalaman menghadiri konsert tersebut.
Ketua kakitangan Watu Agung Guesthouse, Cik Hikmatul Khoiriyah, berkata kadar penginapan di rumah tamu yang terletak betul-betul bertentangan dengan Taman Lumbini, tempat konsert itu diadakan, sentiasa tinggi apabila terdapat acara di Candi Borobudur.
Beliau berkata konsert Bocelli juga memberikan kesan positif kepada perniagaan penginapan di kawasan tersebut.
“Tiga hari sebelum persembahan, kesemua 10 bilik standard di rumah tamu kami telah ditempah sepenuhnya oleh kru dan kakitangan penganjur acara.
“Pada hari konsert pula, semua bilik kami ditempah oleh penonton yang datang menghadiri persembahan itu,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau mengakui pihaknya pada mulanya bimbang perhimpunan bantahan terhadap konsert tersebut mungkin bertukar menjadi kejadian yang tidak diingini.
“Kami agak bimbang dengan perhimpunan bantahan itu sekiranya keadaan menjadi lebih buruk, tetapi syukur kepada Tuhan, semuanya berlangsung secara aman,” tambahnya.