JAKARTA: Pemerintah Indonesia tidak akan membenarkan penyanyi gospel Amerika Syarikat, Israel Houghton, dan kumpulannya, Israel & New Breed, mengadakan konsert di Jakarta lewat Oktober ini susulan kebimbangan keselamatan serta kontroversi berhubung sokongan terbuka penyanyi itu terhadap Israel.

Houghton bersama Israel & New Breed dijadual membuat persembahan di Dewan Muzik di Bangunan Grha Pengharapan, Jakarta, pada 24 Oktober sebagai sebahagian daripada jelajah, ‘Til The Whole World Knows Tour 2026.

Tiket bagi konsert itu dilaporkan masih dijual secara dalam talian setakat 5 Oktober, meskipun pemerintah kini memutuskan acara berkenaan tidak boleh diteruskan.

Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Encik Yusril Ihza Mahendra, berkata keputusan itu dibuat selepas pemerintah mengadakan penyelarasan dengan beberapa kementerian, institusi dan agensi berkaitan.

“Keputusan ini dibuat susulan penyelarasan kami dengan beberapa kementerian, institusi dan agensi berkaitan mengenai rancangan penganjuran, ‘Til The Whole World Knows Tour,” katanya dalam sidang media di Jakarta.

Menurut Encik Yusril, rancangan membawa Houghton ke Indonesia telah menarik perhatian ramai dan mencetuskan perbincangan dalam kalangan masyarakat, selain kontroversi berkaitan konsert penyanyi itu di negara jiran, Malaysia.

Keadaan tersebut mendorong pemerintah Indonesia menilai kemungkinan timbulnya masalah keselamatan sekiranya persembahan di Jakarta diteruskan.

Antara perkara yang menjadi perhatian pihak berkuasa ialah laporan mengenai kenyataan atau kegiatan Houghton yang didakwa menunjukkan sokongan terhadap Israel.

Encik Yusril berkata pemerintah menerima maklumat bahawa ungkapan, ‘I stand with Israel’ (Saya berdiri bersama Israel) pernah dikaitkan dengan kegiatan penyanyi itu di luar negara.

Menurutnya, mesej politik sedemikian dianggap sangat sensitif di Indonesia memandangkan negara itu sejak sekian lama menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan kemerdekaan dan menubuhkan sebuah negara berdaulat.

Indonesia juga tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel dan secara tekal menyatakan sokongan terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Kontroversi mengenai Houghton turut tercetus di Malaysia, tempat penyanyi itu dijadual mengadakan konsert di Kota Kinabalu, Sabah, pada 22 Oktober, dua hari sebelum persembahannya yang dirancang di Jakarta.

Beberapa pertubuhan Islam di Sabah dilaporkan membantah konsert berkenaan kerana mendakwa Houghton secara terbuka menyokong Israel.

Laporan media Malaysia turut merujuk kepada satu hantaran media sosial yang dikaitkan dengan penyanyi itu yang mengandungi kenyataan, “I stand with Israel”.

Bagaimanapun, Encik Yusril menegaskan keputusan pemerintah Indonesia tidak mempunyai kaitan dengan agama Kristian yang dianuti Houghton atau hakikat bahawa beliau terkenal sebagai penyanyi muzik gospel.

Menurutnya, Indonesia tidak menghalang persembahan muzik atau kegiatan keagamaan berdasarkan agama seseorang.

“Kami tidak melarang persembahan muzik dan kami juga tidak mempertikaikan agama seseorang. Orang ramai bebas mengadakan kegiatan keagamaan di sini.

“Tetapi jika terdapat motif politik yang menjejaskan perjuangan rakyat Palestin, maka perkara itu tidak selaras dengan pandangan dan aspirasi masyarakat kita,” katanya.

Kenyataan itu menunjukkan bahawa pemerintah Indonesia mahu membezakan antara kebebasan mengadakan kegiatan keagamaan dengan mesej politik yang dianggap boleh mencetuskan sensitiviti dalam masyarakat.

Isu Palestin mempunyai sokongan luas dalam kalangan masyarakat Indonesia dan pendirian Jakarta mengenai konflik Israel-Palestin sejak sekian lama menekankan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

Indonesia berulang kali menyatakan bahawa penyelesaian konflik itu perlu berasaskan pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Dalam perkembangan berkaitan, Encik Yusril berkata penganjur konsert di Jakarta sebenarnya belum mengemukakan permohonan rasmi kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kebenaran menganjurkan acara tersebut.

Houghton juga belum mengemukakan permohonan visa yang diperlukan untuk memasuki Indonesia bagi tujuan mengadakan persembahan.

Ini bermakna persiapan konsert itu belum mendapat kelulusan rasmi pemerintah walaupun tiket sudah ditawarkan kepada orang ramai.

Keputusan pemerintah untuk tidak membenarkan konsert itu diteruskan dibuat sebelum proses permohonan permit dan visa berkenaan dilengkapkan.

Pemerintah Indonesia bagaimanapun menegaskan bahawa pendiriannya bukan bertujuan menyekat muzik gospel atau kegiatan masyarakat Kristian, sebaliknya berdasarkan pertimbangan keselamatan serta sensitiviti politik berkaitan konflik Israel-Palestin.

Bagi Jakarta, sebarang mesej yang dilihat sebagai sokongan politik terhadap Israel berpotensi mencetuskan bantahan, terutama ketika sentimen masyarakat Indonesia terhadap perjuangan Palestin kekal kuat.

“Jika terdapat motif politik yang menjejaskan perjuangan rakyat Palestin, maka perkara itu tidak selaras dengan pandangan dan aspirasi masyarakat kita,” tambah Encik Yusril. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti