Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beberapa penerbangan ke Bali dibatal susulan letusan Gunung Lewotobi

Mar 21, 2025 | 11:53 AM
Gunung Lewotobi Laki-laki menghamburkan abu vulkanik ke udara semasa letusan yang berlaku pada 1 Mac 2025, seperti yang dirakam dari Kampung Nobo di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur.
Gunung Lewotobi Laki-laki menghamburkan abu vulkanik ke udara semasa letusan yang berlaku pada 1 Mac 2025, seperti yang dirakam dari Kampung Nobo di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur. - Foto AFP

JAKARTA: Letusan Gunung Lewotobi Laki-laki di Nusa Tenggara Timur pada malam 20 Mac menghamburkan awan debu setinggi lebih 8 kilometer ke udara, memaksa pihak berkuasa menaikkan status amaran kepada tahap tertinggi. Susulan insiden itu, syarikat penerbangan dari Australia membatalkan beberapa penerbangan ke Bali pada pagi 21 Mac sebagai langkah berjaga-jaga.

Letusan besar itu berlaku selepas lebih 30 letusan kecil direkodkan sejak 13 Mac, menurut kenyataan rasmi dari Agensi Geologi Nasional Indonesia. Kejadian tersebut turut menyebabkan sekurang-kurangnya seorang cedera ketika proses pemindahan penduduk, menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB). Butiran penuh mengenai jumlah penduduk terlibat masih belum diketahui.

“Letusan kali ini jauh lebih kuat berbanding yang sebelum ini. Penduduk diminta berjaga-jaga kerana risiko aliran lahar dan hujan abu masih tinggi,” kata kenyataan agensi tersebut pada 21 Mact.

Letusan ini turut memberi kesan kepada sektor penerbangan. Syarikat penerbangan Jetstar, subsidiari tambang rendah Qantas Airways, membatalkan beberapa penerbangan ke dan dari Bali pada pagi 21 Mac akibat debu gunung berapi yang menyukarkan laluan udara.

Menurut laman web Lapangan Terbang Changi, beberapa penerbangan antara Bali dan Singapura telah ditunda atau dijadualkan semula. Ini termasuk penerbangan yang dikendalikan oleh Singapore Airlines, Scoot dan Jetstar.

Namun, syarikat menjangkakan penerbangan akan bersambung semula pada sebelah petang.

Jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali, Cik Andadina Dyah, memaklumkan bahawa tujuh penerbangan antarabangsa dibatalkan setakat jam 9.45 pagi, termasuk enam penerbangan Jetstar ke Australia dan satu penerbangan AirAsia ke Kuala Lumpur. Beberapa penerbangan lain, termasuk ke Thailand, Singapura dan bandar-bandar di Australia, turut mengalami kelewatan.

Bagaimanapun, Lapangan Terbang Maumere di Flores – yang paling hampir dengan gunung berapi – masih beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas oleh abu letusan, menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan.

Pihak berkuasa kini memberi amaran tentang risiko aliran lahar serta kemungkinan letusan susulan, selepas beberapa letusan kecil turut direkodkan pada awal pagi 21 Mac

Pada November 2024, sekurang-kurangnya sembilan penduduk terbunuh dan ribuan lagi terpaksa dipindahkan apabila Gunung Lewotobi Laki-laki meletus dengan dahsyat, memuntahkan batu panas dan aliran lava ke kawasan perkampungan sekitar.

“Kami masih dalam proses mengenal pasti jumlah sebenar penduduk yang terkesan kali ini, dan sedang menilai keperluan pemindahan jangka panjang seperti yang telah dicadangkan tahun lalu (2024),” kata jurucakap BNPB. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg