Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Letusan gunung berapi Lewotobi: Penerbangan ke Bali disambung semula

Nov 14, 2024 | 2:31 PM

Penumpang yang penerbangannya dibatalkan menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai selepas letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki yang terletak berhampiran, meletuskan abu yang menjulang tinggi ke udara, di Tuban, berhampiran Denpasar, di pulau peranginan Bali, Indonesia pada 13 November 2024.
Penumpang yang penerbangannya dibatalkan menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai selepas letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki yang terletak berhampiran, meletuskan abu yang menjulang tinggi ke udara, di Tuban, berhampiran Denpasar, di pulau peranginan Bali, Indonesia pada 13 November 2024. - Foto AFP

BALI: Bali kembali dibuka untuk penerbangan antarabangsa pada 14 November selepas beberapa syarikat penerbangan utama menggantung penerbangan ke pulau pelancongan terkenal itu akibat letusan besar Gunung Lewotobi Laki-laki di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, meletus dan menyelubungi kawasan itu dengan abu.

Kejadian ini menyebabkan ribuan pelancong terperangkap di Bali, sementara ramai yang terpaksa membatalkan rancangan percutian mereka.

Pada 13 November lebih 3,900 penumpang terjejas akibat pembatalan penerbangan domestik dan antarabangsa dari Bali, Lombok, dan Labuan Bajo.

Letusan gunung berapi mengakibatkan muntahan abu setinggi 9 kilometer ke udara, dengan beberapa penerbangan antarabangsa, termasuk dari Australia, Singapura dan Malaysia, dibatalkan.

Penerbangan Qantas dan Jetstar akhirnya menyambung semula beberapa penerbangan antara Bali dengan Australia pada 14 November. Virgin Australia turut meneruskan penerbangan yang dijadualkan selepas beberapa hari penangguhan.

“Kami memahami kesulitan yang dihadapi penumpang dan berusaha memastikan semua berjalan dengan lancar,” kata jurucakap Qantas.

Garuda Indonesia, yang tidak terjejas oleh akibat abu dari letusan gunung berapi, terus beroperasi dan menawarkan pilihan kepada pelancong yang terperangkap untuk menukar penerbangan mereka.

Pihak berkuasa tempatan terus memantau keadaan cuaca dan ancaman dari gunung berapi.

Pengurus Besar Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai, Encik Ahmad Syaugi Shahab, berkata pihaknya berusaha memulihkan keadaan secepat mungkin. “Kami berharap situasi ini akan kembali normal dalam masa terdekat,” ujarnya.

Seorang penganalisis pelancongan, Encik Dedi Sasmita, mengatakan: “Bali merupakan destinasi utama bagi pelancong antarabangsa, dan walaupun letusan ini memberi kesan besar, saya yakin sektor pelancongan akan kembali pulih dengan sokongan penuh dari pihak berkuasa.”

Pemerintah Indonesia mengambil langkah drastik dengan memperluas zon bahaya sekitar 9 kilometer dari puncak Lewotobi selepas letusan pada 3 November yang menyebabkan lebih 80,000 orang terpaksa dipindahkan.

Bencana ini turut menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan kematian dan 31 cedera parah, kebanyakannya akibat batu apung yang dihantar dari kawah gunung.

Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat, Encik Maruarar Sirait, berkata pihak berkuasa kini merancang memindahkan lebih 16,000 penduduk yang tinggal dalam lingkungan 7 kilometer dari gunung berapi ke lokasi yang lebih selamat.

“Kami sedang mencari kawasan baru yang tidak terlalu jauh dari sumber pendapatan mereka, terutamanya petani,” jelas Encik Maruarar. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg