Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bedah tulang belakang dengan potongan 2 sentimeter sahaja

Jun 23, 2025 | 5:30 AM
Sakit pinggang boleh disebabkan oleh ketegangan atau kecederaan, yang mungkin berlaku akibat postur yang tidak baik, mengangkat barang berat atau pergerakan yang tersasar.
Sakit pinggang boleh disebabkan oleh ketegangan atau kecederaan, yang mungkin berlaku akibat postur yang tidak baik, mengangkat barang berat atau pergerakan yang tersasar. - Foto ISTOCKPHOTO

Sakit pinggang yang pada awalnya hanya sekadar rasa tidak selesa telah menjadi mimpi ngeri buat Abdul Fidaus (nama samaran), 44 tahun, seorang pekerja gudang.

Ketika mengangkat kotak berat dua minggu sebelumnya, beliau berasa satu sengatan tajam di bahagian bawah belakangnya yang kemudian menjalar ke kaki kanan.

Sejak itu, beliau tidak lagi dapat berjalan seperti biasa, dan tidur malamnya terganggu akibat kesakitan yang mencengkam.

“Rasa dia macam urat kena tarik dari belakang sampai ke betis. Duduk lama pun tak boleh, apatah lagi nak memandu,” kata Encik Fidaus ketika ditemui di sebuah hospital.

“Saya cuba bertahan. Dah makan ubat tahan sakit, pergi fisioterapi, tapi tak banyak perubahan.

“Apabila doktor cakap mungkin perlu pembedahan, saya mula takut. Kawan saya kata, pembedahan tulang belakang boleh menyebabkan lumpuh,” katanya dengan wajah jelas menunjukkan kerisauan.

Pemeriksaan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) yang dijalankan mendapati beliau mengalami prolaps cakera intervertebra, iaitu keadaan apabila cakera tulang belakang membonjol dan menekan saraf, menyebabkan rasa sakit menjalar atau dikenali sebagai skiatiks.

Setelah mendapat keputusan MRI, Encik Fidaus dirujuk kepada pakar bedah saraf tulang belakang, dan beliau diberitahu bahawa tahap keadaannya sederhana ke teruk.

Menurut penjelasan doktor, jika tekanan pada saraf berterusan, Encik Fidaus mungkin mengalami kelemahan otot yang kekal atau masalah mengawal pundi kencing.

Pada awalnya Encik Fidaus berasa takut untuk menjalani pembedahan kerana temannya pernah memberi amaran bahawa pembedahan tulang belakang boleh menyebabkan kelumpuhan.

Ketakutan itu membuatkan Encik Fidaus menangguhkan keputusan.

Tetapi selepas mendapat penjelasan terperinci daripada doktor yang merawatnya, beliau mula memahami bahawa rawatan moden kini jauh lebih selamat dan kurang invasif.

Namun doktor memaklumkan kepada Fidaus bahawa ketakutan itu sebenarnya berpunca daripada salah faham.

Pembedahan tulang belakang moden kini telah berkembang secara besar-besaran dan tidak lagi seperti dahulu.

Salah satu pilihan yang ditawarkan kepada Encik Fidaus ialah pembedahan endoskopik tulang belakang – teknik terkini yang hanya memerlukan bukaan kecil pada kulit, sekitar satu hingga dua sentimeter sahaja.

Doktor menjelaskan kepada Encik Fidaus bahawa terdapat pilihan rawatan lain yang lebih konservatif seperti fisioterapi, ubat antiradang, serta suntikan penahan sakit.

Namun, berdasarkan keadaan cakera yang membonjol hampir 80 peratus dan menekan saraf dengan kuat, beliau dinasihatkan mempertimbangkan prosedur pembedahan endoskopi.

Doktor menjelaskan kepadanya bahawa pembedahan endoskopi kini dilakukan melalui bukaan kecil kira-kira satu hingga dua sentimeter, dan pesakit biasanya boleh pulang pada hari yang sama.

Risiko lumpuh adalah sangat rendah, dan kebanyakan pesakit menunjukkan pemulihan yang baik dalam tempoh dua hingga empat minggu.

Doktor memberitahu bahawa cakera intervertebra yang mengalami hernia boleh dikeluarkan dengan tepat menggunakan kamera halus dan peralatan mikro.

Ini membolehkan saraf yang tertekan dilegakan tanpa menjejas struktur tulang belakang yang lain.

Di samping itu, doktor turut menasihati Encik Fidaus agar melakukan perubahan gaya hidup bagi mengelakkan kecederaan berulang.

Ini termasuk menguatkan otot teras dengan senaman seperti plank, amalkan postur duduk yang betul, dan mengelak daripada mengangkat beban berat secara tiba-tiba.

Setelah mendengar penjelasan tersebut, Encik Fidaus membuat keputusan menjalani pembedahan endoskopi minggu seterusnya.

“Saya dah tak sanggup hidup dengan sakit macam ni. Apabila doktor terangkan dengan jelas, saya yakin ini jalan terbaik untuk kembali sihat,” ujarnya.

Kisah Encik Fidaus menjadi peringatan kepada orang ramai agar tidak memandang ringan terhadap sakit belakang, terutama jika ia disertai dengan rasa kebas atau kelemahan pada kaki.

Rawatan awal dan penilaian pakar boleh mencegah kerumitan lebih serius selain memulihkan mutu hidup pesakit dalam tempoh singkat.

“Dulu saya fikir sakit belakang perkara biasa.

“Tapi sekarang saya tahu, jangan tunggu sampai lumpuh baru nak cari rawatan,” katanya menutup perbualan, sambil tersenyum kecil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg