Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas menteri kewangan Sri Mulyani diberi hanya satu jam notis sebelum digugurkan

Sep 10, 2025 | 5:12 PM
Bekas Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati merakam swafoto bersama wartawan selepas majlis penyerahan tugas kepada penggantinya, Purbaya Yudhi Sadewa di Kementerian Kewangan di Jakarta pada 9 September 2025. 
Bekas Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati merakam swafoto bersama wartawan selepas majlis penyerahan tugas kepada penggantinya, Purbaya Yudhi Sadewa di Kementerian Kewangan di Jakarta pada 9 September 2025.  - Foto AFP

JAKARTA: Menteri Kewangan Indonesia, Dr Sri Mulyani Indrawati, digugurkan secara mengejut daripada Kabinet Presiden Prabowo Subianto ketika sedang mempengerusikan mesyuarat penting di kementeriannya, sekali gus menamatkan era lebih satu dekad beliau sebagai penjaga disiplin fiskal negara.

Menurut dua sumber yang rapat kepada Reuters, Dr Sri Mulyani menerima panggilan daripada pejabat Presiden selepas jam 2.30 petang Isnin, 8 September memaklumkan bahawa beliau akan digantikan dalam tempoh kurang daripada sejam.

“Beliau dijadualkan mempunyai agenda pertemuan dengan presiden pada pagi itu, tetapi ia dibatalkan. Kemudian, panggilan masuk semasa mesyuarat berlangsung. Tidak sampai sejam, pengumuman rasmi dibuat,” kata salah seorang sumber yang dekat dengan beliau.

Tidak lama kemudian, pengumuman rasmi dikeluarkan Dr Sri Mulyani digantikan oleh ahli ekonomi Dr Purbaya Yudhi Sadewa, bekas ketua Lembaga Penjamin Simpanan (LPS).

Pengguguran mengejut ini mencetuskan kebimbangan pelabur. Indeks Komposit Jakarta susut 1.78 peratus pada 9 September, selepas jatuh 1.28 peratus sehari sebelumnya. Nilai rupiah turut merosot manakala bon antarabangsa Indonesia melemah.

“Indonesia baru sahaja kehilangan suara ekonomi paling dipercayai,” kata Emcik Arbianto Setiawan, Ketua Pegawai Kewangan Maersk JV Company. “Pengunduran beliau menimbulkan kebimbangan disiplin fiskal akan longgar, dan belanjawan boleh diregangkan terlalu nipis oleh program sosial yang bercita-cita tinggi.”

Dr Sri Mulyani, yang dikenali berhati-hati dan konsisten menegakkan had defisit fiskal 3 peratus Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK), dilihat sering berbeza pendapat dengan Presiden Prabowo. Prabowo mahu melaksanakan program besar seperti makan percuma untuk 82.9 juta rakyat, dengan bajet AS$20.7 bilion ($28 bilion) pada 2026 hampir dua kali ganda daripada tahun ini.

“Sejak awal, beliau hanya dilantik kerana desakan bekas presiden-presiden dan untuk menenangkan pasaran,” kata seorang lagi sumber. “Tetapi gaya berhati-hati Sri Mulyani bertembung dengan gaya agresif Prabowo.”

Pengguguran ini berlaku selepas dua minggu protes besar-besaran yang berakhir dengan keganasan dan penjarahan rumah ahli politik, termasuk kediaman Dr Sri Mulyani di Bintaro. “Presiden sempat bertanya dalam mesyuarat Kabinet sama ada beliau baik-baik saja selepas kejadian itu. Beliau kata ya, dan terus bekerja seperti biasa. Semua tampak normal hingga Isnin (8 September),” kata seorang sumber kementerian.

Sebelum ini, Dr Sri Mulyani menjadi sasaran kritikan awam selepas video pemalsuan mendalam (deepfake) tular menunjukkan beliau kononnya menghina guru. Ucapannya mengenai cukai yang disamakan dengan zakat turut menimbulkan kontroversi.

Pada 9 September, suasana hiba menyelubungi lobi Kementerian Kewangan apabila ratusan pegawai berhimpun sambil membawa bunga dan menyanyikan lagu popular Bahasa Hati. Dr Sri Mulyani kelihatan mengesat air mata sambil mengucapkan terima kasih.

“Kerja ini tidak pernah mudah. Saya mohon maaf atas segala kekurangan. Mulai hari ini, hormatilah saya sebagai rakyat biasa,” katanya dalam ucapan perpisahan yang disiarkan secara langsung.

Dalam upacara rasmi, beliau menyerahkan jawatan kepada Dr Purbaya. “Saya berharap pengurusan kewangan negara kekal berdisiplin, demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Indonesia,” katanya.

Dr Sri Mulyani, 63 tahun, pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Bank Dunia (2010–2016) dan menjadi menteri kewangan sejak 2005 di bawah tiga presiden – Susilo Bambang Yudhoyono, Joko Widodo, dan Prabowo. Di peringkat antarabangsa, beliau dikenali sebagai teknokrat yang berdisiplin.

“Pengunduran beliau bukan sekadar perubahan individu, tetapi kejutan kredibiliti,” tulis bekas pegawai bank pusat, Harry Baskoro. “Apabila sauh fiskal paling dipercayai ditarik keluar, pasaran bukan sekadar goyah mereka mula persoalkan arah kompas itu sendiri.”

Dr Purbaya, 61 tahun, berjanji akan mengekalkan kesihatan fiskal sambil mempercepat pertumbuhan. “Kedudukan fiskal kita sihat. Tetapi kita akan pastikan dasar kewangan menyokong ekonomi tanpa mengganggu sistem kewangan,” katanya selepas angkat sumpah.

Dr Purbaya, lulusan Institut Teknologi Bandung dan doktor falsafah ekonomi dari Universiti Purdue, Amerika Syarikat, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai penasihat ekonomi kepada Susilo Bambang Yudhoyono dan Joko Widodo.

Namun, cabaran menanti beliau amat besar. Penganalisis dari Tellimer, Hasnain Malik, berkata: “Sri Mulyani adalah pengawas disiplin fiskal. Pemergiannya menimbulkan ketakutan defisit akan melebar, terutama dengan tekanan politik selepas protes besar-besaran.”

Bagi ramai pemerhati, pengunduran Dr Sri Mulyani menandakan perubahan haluan ekonomi Indonesia di bawah Prabowo. “Seperti Jokowi menjadi pedal minyak, Sri Mulyani adalah brek yang menjaga keseimbangan,” kata seorang penganalisis di Jakarta. “Kini, brek itu sudah tiada.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg