JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengumumkan rombakan Kabinet pada 8 September yang menyaksikan lima menteri digugurkan, termasuk tokoh teknokrat paling berpengaruh, Dr Sri Mulyani Indrawati, Menteri Kewangan yang telah berkhidmat lebih sedekad.
Pengganti beliau ialah ahli ekonomi Encik Purbaya Yudhi Sadewa, langkah yang menandakan perubahan besar dalam hala tuju ekonomi dan politik pentadbiran Prabowo.
Rombakan ini berlaku selepas gelombang protes besar-besaran melanda Indonesia sejak akhir Ogos. Protes yang pada awalnya tercetus akibat pakej elaun baharu untuk anggota Parlimen bertukar menjadi kemarahan umum terhadap elit politik. Kekacauan itu membawa kepada rusuhan, pembakaran, pemusnahan harta benda, dan sekurang-kurangnya 10 kematian.
Salah satu insiden paling mengejutkan ialah kediaman Cik Sri Mulyani di kawasan elit Bintaro, Tangerang Selatan, yang dipecah masuk oleh perusuh. Seorang jiran memaklumkan: “Rumah itu diceroboh dua kali, pertama oleh kumpulan bermotosikal, kemudian disusuli lebih 150 orang yang merompak televisyen, barangan hiasan dan pakaian.”
Insiden ini menimbulkan spekulasi bahawa beliau mahu berundur. Walaupun khabar angin itu pernah dinafikan pada awal 2025, gelombang protes, tekanan politik dan serangan peribadi akhirnya mendorong kepada perubahan besar dalam Kabinet yang menyaksikan pengguguran beliau.
Cik Sri Mulyani, 63 tahun, pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Bank Dunia dan diiktiraf sebagai antara teknokrat kewangan paling berpengaruh di Asia Tenggara. Beliau memimpin reformasi percukaian, memperkukuh fiskal negara dan mengemudi ekonomi Indonesia ketika krisis kewangan global serta pandemik Covid-19.
Namun, kedudukannya semakin rapuh sejak awal 2024 apabila dilaporkan berlaku ketegangan dengan Encik Prabowo, ketika itu Menteri Pertahanan.
Penganalisis kewangan, Encik Mohit Mirpuri dari SGMC Capital, menilai: “Pemergian Sri Mulyani menandakan berakhirnya era kredibiliti fiskal. Namun, asas yang ditinggalkan masih kukuh, dan Indonesia mempunyai ramai calon teknokrat berpengalaman yang boleh mengisi kekosongan.”
Pengganti beliau, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, 61 tahun, bukan nama baru dalam pentadbiran. Beliau pernah mengetuai Lembaga Penjamin Simpanan (LPS) sejak 2020, memegang jawatan Timbalan Menteri di Kementerian Maritim dan Pelaburan, serta mengetuai syarikat broker milik negara, Danareksa Securities.
Encik Purbaya memiliki ijazah sarjana dan doktor falsafah dalam bidang ekonomi dari Universiti Purdue, Amerika Syarikat. Beliau juga lulusan kejuruteraan elektrik dari Institut Teknologi Bandung. Semasa angkat sumpah, beliau berkata: “Pertumbuhan ekonomi 8 peratus bukan sesuatu yang mustahil. Kita akan mencari cara untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.”
Pernyataan ini memberi gambaran bahawa beliau akan mengutamakan strategi pertumbuhan pantas, walaupun cabaran inflasi dan ketidakstabilan sosial masih menghantui.
Selain portfolio kewangan, rombakan turut melibatkan Kementerian Politik dan Keselamatan, yang sebelum ini diterajui Encik Budi Gunawan, walaupun penggantinya masih belum diumumkan.
Beberapa kementerian lain turut berubah, termasuk Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, kini diterajui Encik Mukhtarudin. Kementerian Koperasi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), diambil alih Encik Ferry Joko Juliantono manakala Kementerian Belia dan Sukan, Encik Dito Ariotedjo digugurkan, namun penggantinya belum diumum.
Paling mencuri perhatian ialah penubuhan Kementerian Haji dan Umrah, dengan Encik Mochamad Irfan Yusuf sebagai menteri pertama dan Encik Dahnil Anzar Simanjuntak sebagai timbalan. Langkah ini dianggap sebagai isyarat kepada kepentingan politik dan agama dalam agenda nasional.
Menteri Sekretariat Negara, Encik Prasetyo Hadi, menjelaskan: “Berdasarkan pelbagai perkembangan dan penilaian, Presiden memutuskan untuk membuat perubahan Kabinet. Semoga keputusan ini membawa kebaikan kepada negara dan rakyat.”
Pasaran kewangan segera memberi reaksi. Saham Indonesia yang pada mulanya mencatatkan keuntungan harian bertukar jatuh, manakala rupiah melonjak selepas berita pengguguran Cik Sri Mulyani diumumkan. Reaksi bercampur ini mencerminkan ketidakpastian pelabur terhadap hala tuju fiskal di bawah pimpinan baharu.
Menurut Encik Agung Baskoro, Pengarah Eksekutif Trias Politika Strategis: “Rombakan ini adalah respons Presiden terhadap desakan rakyat selepas protes besar-besaran. Kini, terpulang kepada menteri baharu untuk membuktikan keupayaan mereka. Harapan rakyat sangat tinggi untuk melihat perubahan bermakna.”
Dalam konteks politik, rombakan ini memperlihatkan usaha Encik Prabowo untuk mengukuhkan semula cengkaman kuasa dan memulihkan kepercayaan awam. Ia juga menandakan keberanian Presiden untuk menggugurkan tokoh besar walaupun berisiko mencetuskan kebimbangan dalam pasaran global.
Dengan latar belakang protes ganas, krisis sosial, serta tekanan ekonomi, barisan baharu Kabinet ini akan diuji dalam tempoh singkat. Sebagaimana ditegaskan seorang penganalisis politik: “Rakyat tidak sekadar mahu wajah baharu, mereka menuntut hasil nyata.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg