Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bilangan perokok muda di Indonesia naik tiga kali ganda

Jul 18, 2025 | 11:24 AM
Siti Nadia Tarmizi (kiri), Pengarah Penyakit Tidak Berjangkit di Kementerian Kesihatan, berucap dalam persidangan kawalan tembakau belia anjuran Majlis Belia Indonesia untuk Perubahan Taktikal (IYCTC) di Jakarta, Khamis, 17 Julai 2025. (Gambar edaran)
Siti Nadia Tarmizi (kiri), Pengarah Penyakit Tidak Berjangkit di Kementerian Kesihatan, berucap dalam persidangan kawalan tembakau belia anjuran Majlis Belia Indonesia untuk Perubahan Taktikal (IYCTC) di Jakarta, Khamis, 17 Julai 2025. (Gambar edaran) - Foto Majlis Belia Indonesia untuk Perubahan Taktikal

JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia memberi amaran tentang lonjakan ketara bilangan perokok termasuk dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, walaupun pelbagai peraturan kawalan telah dikuatkuasakan.

Pendedahan ini dibuat dalam sidang media maya anjuran Majlis Belia Indonesia untuk Perubahan Taktikal (IYCTC) pada 17 Julai.

Menurut Cik Siti Nadia Tarmizi, Pengarah Penyakit Tidak Berjangkit di Kementerian Kesihatan, seramai 70.2 juta rakyat Indonesia dewasa adalah pengguna tembakau, dengan 68.9 juta merupakan perokok aktif.

“Walaupun kadar prevalens merokok nampak menurun sejak 2013, jumlah sebenar perokok meningkat sebanyak 5 juta disebabkan pertambahan penduduk, daripada 57.2 juta pada 2013 kepada 63.1 juta pada 2023,” katanya.

“Kenaikan ini bersamaan dengan jumlah penduduk sebuah negara kecil seperti Singapura.”

Cik Siti Nadia berkata lebih membimbangkan ialah lonjakan drastik perokok dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 18 tahun iaitu daripada 2 juta pada 2013 kepada 5.9 juta pada 2023.

Kajian Kesihatan Indonesia 2023 mendapati 2.6 peratus kanak-kanak berumur 4 hingga 9 tahun; 44.7 peratus berumur 10 hingga 14 tahun, dan 52.8 peratus berumur 15 hingga 19 tahun pernah cuba merokok.

“Anak-anak bawah umur masih boleh membeli rokok walaupun kita sudah ada larangan jualan kepada individu bawah 18 tahun,” tegas Cik Siti Nadia. “Negara lain sudah guna pemantauan digital dan kawalan nikotin moden, tapi kita masih bergelut dengan penguatkuasaan asas.”

Cik Beladenta Amalia, ketua projek Kawalan Tembakau di Pusat Inisiatif Pembangunan Strategik Indonesia (CISDI), berkata Indonesia ketinggalan berbanding negara seperti Brazil dan Vietnam dalam mengaitkan cukai tembakau dengan kawalan jangka panjang. “Brazil menaikkan cukai eksais setiap tahun, manakala Vietnam mengenakan cukai tambahan 2 peratus di peringkat kilang untuk membiayai usaha kawalan tembakau,” katanya. “Di Amerika Latin, walaupun cukai tinggi, rokok seludup menurun.”

Pengerusi IYCTC, Encik Manik Marganamahendra, menyatakan kebimbangan bahawa syarikat tembakau kini menyasarkan golongan muda melalui saluran seperti acara muzik dan kerjasama dengan pempengaruh.

“Indonesia sedang cuba bertindak balas terhadap strategi ini, tetapi kita perlukan keberanian politik untuk laksana dasar, bukan sekadar dokumen teknikal,” ujarnya. “Menteri kesihatan harus mewakili suara kesihatan awam, bukan berkompromi dengan industri tembakau.”

Dr. Putu Ayu Swandewi Astuti dari Udayana Central menyarankan penggunaan pembungkusan polos atau tanpa bercorak bagi menguatkan mesej kesihatan bergambar.

“Bungkusan yang berwarna-warni menarik minat anak muda. Pembungkusan polos boleh membantu kurangkan tarikan tembakau,” katanya.

Shoim Shariati dari Yayasan KAKAK menegaskan bahawa komitmen pemimpin tempatan amat penting dalam menjayakan Kawasan Tanpa Rokok (KTR), dan dasar nasional perlu menyokong usaha ini. “Larangan penuh terhadap iklan, promosi dan penajaan tembakau di peringkat tempatan, dengan sokongan kerajaan pusat, adalah kunci lindungi kanak-kanak daripada bahaya rokok,” tegasnya.

Kementerian Kesihatan kini menggesa semua pihak bekerjasama menguatkuasakan larangan jualan rokok kepada individu di bawah umur 21 tahun dan memperluas pelaksanaan KTR, sebagaimana digariskan dalam Peraturan Pemerintah No. 28 Tahun 2024.
“Walaupun pelaksanaan masih berjalan, kita sudah larang iklan, bahan tambahan tertentu, dan jualan kepada bawah 21 tahun meskipun pelanggaran masih berlaku,” kata Cik Siti Nadia. “Penguatkuasaan sekarang jadi keutamaan.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg