Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Deklarasi Jakarta’ tanda kesepaduan dunia Islam terhadap isu Palestin

May 16, 2025 | 12:48 PM
Maharani, OIC, Indonesia, Palestine, PUIC
Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, Puan Maharani (tengah tanpa tudung), bersama perwakilan dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kesatuan Parlimen Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (PUIC) di Jakarta. - Foto INSTAGRAM PUAN MAHARANI

JAKARTA: Persidangan Kesatuan Parlimen Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (PUIC) ke-19 yang berakhir pada 15 Mei telah melahirkan Deklarasi Jakarta – sebuah dokumen politik yang bukan sahaja menegaskan pendirian tegas terhadap isu Palestin, bahkan juga menandakan permulaan usaha menyatukan hala tuju Parlimen dunia Islam dalam menghadapi cabaran sejagat.

Dalam sidang media penutup, Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, Puan Maharani, menyatakan bahawa deklarasi tersebut merupakan hasil konsensus negara anggota PUIC yang hadir, termasuk sembilan Speaker Parlimen, 14 Timbalan Speaker serta sembilan organisasi pengamat antarabangsa.

Deklarasi Jakarta menzahirkan sokongan kepada semua usaha diplomatik dan perdamaian dalam menyelesaikan konflik serantau yang melibatkan negara anggota, khususnya menyuarakan komitmen terhadap kemerdekaan Palestin,” jelas beliau.

Wakil dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berada di Jakarta untuk Persidangan PUIC Sesi ke-19 yang dihoskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia dari 12 hingga 15 Mei.

Antara negara yang menyertai persidangan tersebut termasuk Arab Saudi, Jordan, Malaysia, Maghribi dan Mesir.

PUIC merangkumi badan perundangan 54 daripada 57 negara anggota OIC.

Deklarasi Jakarta menegaskan kembali kedudukan isu Palestin sebagai pusat perjuangan bersama negara-negara Islam.

Ia menuntut penghentian segera serangan ketenteraan Israel, pembebasan tahanan Palestin serta menyokong penuh usaha dua negara sebagai jalan penyelesaian.

Deklarasi tersebut menolak sekeras-kerasnya penaklukan wilayah Palestin dan pemindahan rakyat Palestin secara paksa oleh rejim Israel.

Tidak cukup dengan itu, negara anggota PUIC turut digesa agar mendesak kerajaan masing-masing untuk menggunakan pengaruh diplomatik bagi mengasingkan Israel di arena antarabangsa, serta mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat jenayah perang yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel.

Presiden Prabowo Subianto, yang merasmikan pembukaan persidangan sehari sebelumnya, tampil lantang dan tegas dalam ucapannya.

Beliau menegaskan bahawa dunia Islam tidak boleh lagi sekadar mengulang resolusi lama tanpa tindakan konkrit.

“Saya ulangi di forum ini, sudah tiba masanya kita tidak hanya berbincang dan merangka resolusi. Rakyat Palestin telah menjadi mangsa terlalu lama. Mereka perlukan tindakan nyata,” tegas Encik Prabowo.

Encik Prabowo menyeru negara Islam agar mengetepikan perbezaan dalaman dan bersatu sebagai kuasa kolektif yang mewakili satu perempat penduduk dunia.

Menurut beliau, dunia Islam tidak akan dihormati jika terus kekal lemah dan berpecah.

Beliau turut mengaitkan kekuatan umat Islam dengan pembasmian kemiskinan, kemajuan teknologi dan tadbir urus yang bersih.

“Kita tidak boleh kuat jika rakyat kita miskin. Tiada negara miskin yang kuat.

“Untuk itu, kita mesti perangi kemiskinan dan hanya dengan pemerintahan yang bersih, kemakmuran boleh dicapai,” katanya sambil mengingatkan bahawa negara-negara Islam mesti terlebih dahulu menyelesaikan masalah dalaman sebelum dapat membantu Palestin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg