Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia tumpu isu Palestin ketika anjur sidang negara OIC

May 14, 2025 | 12:57 PM
OIC, jakarta
Para delegasi dalam Persidangan Kesatuan Parlimen Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (PUIC) 2025 yang berlangsung di kompleks Dewan Perwakilan Rakyat, Senayan, Jakarta pada 12 Mei. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO

JAKARTA: Indonesia menganjurkan persidangan Kesatuan Parlimen Negara-negara Anggota OIC (Puic) dengan tumpuan khusus terhadap isu Palestin di Gaza.

Persidangan itu diadakan ketika Jakarta giat berusaha untuk mengatur strategi untuk rakyat Palestin dalam kalangan negara Islam.

Wakil daripada negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berada di Jakarta untuk Persidangan Puic Sesi ke-19, yang dihoskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia dari 12 hingga 15 Mei.

Antara negara yang menyertai persidangan tersebut termasuk Arab Saudi, Jordan, Malaysia, Maghribi dan Mesir.

PUIC merangkumi badan perundangan dari 54 daripada 57 negara anggota OIC.

OIC sendiri telah berulang kali mengecam tindakan agresif Israel terhadap rakyat Palestin, manakala Indonesia terkenal sebagai antara negara paling lantang menyokong perjuangan Palestin.

Dalam sesi tersebut, delegasi Arab Saudi turut menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan negara majoriti Islam, dengan menyatakan bahawa kekuatan kolektif OIC dan potensinya yang besar perlu dimanfaatkan untuk mempertahankan keadilan dan hak rakyat Palestin.

Perbincangan dalam persidangan tiga hari itu meliputi isu Palestin, khususnya di Gaza, yang dirundung perang selama 19 bulan.

Perang meletus ekoran serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh sekitar 1,200 orang dan lebih 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.

Serangan balas Israel sehingga kini telah membunuh lebih 67,000 rakyat Palestin dan memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.

Tel Aviv terus menyekat bantuan kemanusiaan daripada memasuki Gaza yang dilanda masalah kebuluran.

“Saya mengangkat Palestin sebagai salah satu topik utama semasa sesi pembukaan. Dan semua orang bersetuju untuk terus memperjuangkan kemerdekaan Palestin dan menghukum Israel atas kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai,” kata Encik Mardani Ali Sera, ketua Jawatankuasa Kerjasama Antara Parlimen (BKSAP) dalam satu kenyataan.

Tumpuan terhadap Palestin telah dibangkitkan dalam beberapa minggu sebelum persidangan itu oleh pegawai Indonesia, yang melihat pertemuan itu sebagai peluang untuk menyelaraskan tindakan secara kolektif.

“Kami semua di sini bercakap tentang situasi di Gaza, bagaimana kami boleh membantu rakyat Palestin dalam pelbagai aspek,” kata Timbalan Ketua BKSAP Encik Muhammad Husein Fadlulloh.

“Tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana kita boleh menyatukan strategi kita supaya masyarakat antarabangsa, di luar OIC, juga akan menyokong perjuangan ini,” tambahnya.

Sejak Israel memulakan serangan ke atas Gaza, rakyat Indonesia telah menunjukkan sokongan mereka terhadap Palestin melalui beberapa siri demonstrasi besar-besaran, boikot dan kempen perpaduan.

Menteri Kebudayaan Indonesia Encik Fadli Zon, yang menganjurkan majlis makan malam untuk delegasi menjelang permulaan persidangan itu, menggesa tindakan lebih lanjut ke atas Palestin, termasuk gencatan senjata kekal.

“Usaha kita juga mesti dipergiatkan untuk memperjuangkan kemerdekaan Palestin dan gencatan senjata kekal di Gaza,” katanya dalam ucapan di hadapan para perwakilan pada 12 Mei. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg