Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawatan Prabowo ke Timur Tengah bincang isu kemanusiaan, strategi geopolitik

Kunjungi Amiriah Arab Bersatu (UAE), Turkey, Mesir, Qatar dan Jordan
Apr 19, 2025 | 5:30 AM
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto (dua dari kiri) berbincang bersama pemimpin yang menghadiri Forum Diplomasi Antalya, di Turkey, pada 11 April, yang turut disertai Presiden Sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa (kanan); Presiden Turkey, Encik Tayyip Erdogan (tiga dari kanan); dan Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan (kiri).
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto (dua dari kiri) berbincang bersama pemimpin yang menghadiri Forum Diplomasi Antalya, di Turkey, pada 11 April, yang turut disertai Presiden Sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa (kanan); Presiden Turkey, Encik Tayyip Erdogan (tiga dari kanan); dan Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan (kiri). - Foto REUTERS

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, telah kembali ke tanah air selepas menyempurnakan lawatan rasmi selama enam hari ke lima negara Timur Tengah — Amiriah Arab Bersatu (UAE), Turkey, Mesir, Qatar dan Jordan.

Lawatan itu, yang bermula pada 9 April dan berakhir pada 15 April, disifatkan sebagai usaha diplomatik yang menyentuh pelbagai aspek daripada sudut perpaduan kemanusiaan untuk Palestin hingga ke perjanjian strategik dalam bidang pelaburan, tenaga, pertanian dan pertahanan.

Salah satu matlamat utama lawatan itu adalah menyuarakan pendirian tegas Indonesia terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.

Lawatan itu, yang pada dasarnya bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala serta mendapatkan sokongan bagi isu Palestin, menerima sambutan hangat daripada pemimpin rantau tersebut.

Di setiap destinasi, Encik Prabowo mengangkat isu Gaza sebagai keutamaan, menyuarakan keprihatinan Indonesia terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Dalam setiap pertemuan dengan pemimpin negara Islam, Encik Prabowo menegaskan bahawa Indonesia tidak akan berdiam diri terhadap penindasan yang berlaku terhadap rakyat Palestin.

Di Ankara, beliau menyampaikan ucapan berani di Parlimen Turkey dengan menegaskan:

“Banyak negara sering bercakap mengenai demokrasi dan hak asasi manusia, tetapi membisu ketika wanita dan kanak-kanak menjadi korban di Gaza. Dunia tidak boleh terus berpaling daripada penderitaan ini.”

Beliau turut membangkitkan hasrat Indonesia memindahkan buat sementara 1,000 rakyat Palestin dari Gaza ke Indonesia untuk rawatan perubatan.

Walaupun langkah itu mendapat pujian negara Islam, ada juga pihak yang ragu-ragu dan mempersoal sama ada langkah tersebut akan disalah tafsir sebagai sokongan terhadap cadangan Amerika Syarikat untuk ‘mengosongkan’ Gaza secara perlahan.

Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono, menjelaskan pendirian Indonesia kekal teguh dalam menolak sebarang bentuk pemindahan yang bersifat memaksa.

“Kami menyokong hak rakyat Palestin untuk hidup bermaruah di tanah air mereka. Evakuasi ini bersifat kemanusiaan, bukan penyelesaian politik,” katanya.

Lawatan Encik Prabowo tidak hanya tertumpu kepada isu kemanusiaan, bahkan juga menjurus kepada kerjasama strategik yang berpotensi memacu ekonomi dalam negara.

Di sebalik mesej kemanusiaan yang tegas, lawatan itu turut memberi tumpuan kepada jalinan hubungan dua hala dalam sektor strategik.

Di Qatar, Encik Prabowo mengumumkan iltizam pelaburan AS$2 bilion ($2.63 bilion) ke dalam Danantara, dana kekayaan negara baru Indonesia.

Walaupun belum ditandatangani secara rasmi, Encik Prabowo menyifatkannya sebagai perkembangan positif.

“Saya sangat optimis. Komitmen ini satu petanda baik. Komitmen ini mencerminkan keyakinan pelabur luar terhadap potensi jangka panjang ekonomi Indonesia,” ujar beliau.

Di Jordan, Encik Prabowo dan Raja Abdullah II menandatangani beberapa perjanjian dalam bidang pertahanan, pendidikan dan pertanian – memperlihat hubungan dua hala yang kian erat.

Kerjasama dalam sektor baja mendapat perhatian khusus.

“Kami membeli banyak fosfat dari Jordan untuk baja pertanian. Jordan menawarkan harga yang sangat berdaya saing, dan ini penting demi menjamin keselamatan makanan negara,” jelasnya.

Selain Jordan, pelbagai Memorandum Persefahaman (MOU) turut dimeterai di UAE berkaitan tenaga suria, iklim dan maritim, manakala Turkey menandatangani kerjasama dalam mengurangkan bencana, perhubungan dan kebudayaan.

Di Mesir, hubungan dua hala ditingkatkan kepada “kerjasama strategik”, dengan pelbagai sektor baru diperkenal termasuk pertahanan, tenaga dan perdagangan.

Setibanya di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma pada pagi 15 April, Encik Prabowo, disambut Naib Presiden Encik Gibran Rakabuming Raka, serta beberapa pegawai kanan pemerintah.

Menteri Penyelaras Politik dan Keselamatan, Encik Budi Gunawan, mengesahkan hasil lawatan tersebut, termasuk perjanjian pelaburan dari UAE dan Qatar, serta penubuhan dialog strategik dengan Mesir.

Dari satu sudut, lawatan ini menunjukkan hasrat Encik Prabowo meletakkan Indonesia di barisan hadapan dalam diplomasi kemanusiaan dan keamanan sejagat.

Pendekatannya yang menekankan hubungan dengan negara Islam, serta usaha menjadikan Indonesia sebagai jambatan antara kuasa besar dunia, menunjukkan visi luar negara yang lebih aktif dan berdikari.

Namun, kritikan daripada penganalisis menunjukkan perlunya keseimbangan antara idealisme dengan keperluan dalam negara.

Dalam suasana dunia yang semakin tidak menentu, Indonesia perlu memastikan bahawa dasar luarnya bukan sahaja bersifat berprinsip, bahkan juga pragmatik dan berorientasikan hasil.

Seperti kata Encik Budi sewaktu menyambut kepulangan Encik Prabowo:

“Diplomasi kita mesti bermakna, bukan sekadar acara simbolik. Kita mahu memastikan setiap langkah luar negara membawa pulangan nyata untuk rakyat.”

Sesetengah penganalisis menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan dan keutamaan lawatan itu.

Dr Ahmad Rizky M. Umar dari Universiti Aberystwyth berpandangan bahawa waktu lawatan itu kurang sesuai, terutama ketika Indonesia sedang berhadapan tekanan perdagangan dari Amerika berikutan tarif baru yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

“Dengan isu tarif yang semakin hangat, ramai menjangka Prabowo akan memperkukuh diplomasi serantau melalui mekanisme Asean seperti Sidang Kemuncak Asia Timur.

“Sebaliknya, beliau memilih laluan Timur Tengah yang kesannya masih belum jelas,” kata beliau.

Pendapat itu turut dikongsi Dr Dafri Agussalim dari Pusat Kajian Asean, Universiti Gadjah Mada.

Menurutnya, pergerakan Encik Prabowo boleh dilihat sebagai menyimpang daripada strategi ‘hedging’ iaitu melindungi atau keseimbangan kuasa yang selama ini diamalkan oleh Indonesia.

“Kita memang harus kurangkan kebergantungan kepada Amerika dan China, tapi ia perlu dilaksanakan secara bertahap.

“Lawatan ini mungkin terlalu awal untuk menunjukkan peralihan paksi dasar luar,” ujarnya.

Namun, penyokong Encik Prabowo pula melihat misi itu sebagai sebahagian daripada usaha awal beliau meletakkan Indonesia sebagai kuasa diplomatik yang berprinsip dan aktif.

Bagi mereka, pendekatan yang menekankan nilai kemanusiaan dan kerjasama dunia Islam adalah kesinambungan kepada aspirasi Indonesia sebagai jambatan antara Timur dengan Barat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg