Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dewan solat runtuh ketika ratusan pelajar pesantren di Jawa tunai rakaat kedua

Sep 30, 2025 | 1:05 PM
Sidoarjo, Jawa Timur, Pondok Pesantren Al-Khoziny,
Sanak saudara berdiri di hadapan bangunan runtuh sementara operasi menyelamat dijalankan di sebuah sekolah pondok Islam di Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia, 30 September. Puluhan pelajar cedera dan sebahagian lagi dikhuatiri terperangkap selepas sebuah dewan solat runtuh ketika para pelajar sedang menunaikan solat asar di Pondok Pesantren Al-Khoziny, Jawa Timur, pada 29 September. - Foto EPA

SIDOARJO (Indonesia): Jeritan panik, debu tebal dan lantai yang bergegar sekelip mata menukar suasana solat Asar di Pondok Pesantren Al-Khoziny, Buduran, Sidoarjo, Jawa Timur, menjadi detik penuh ngeri pada 29 September.

Sekurang-kurangnya tiga pelajar maut, puluhan cedera dan puluhan lagi dilaporkan hilang apabila bangunan dewan solat di lantai dua tiba-tiba runtuh menimpa lebih 100 pelajar.

Seorang pelajar kelas tujuh, Wahid, menggambarkan detik cemas itu.

“Ketika masuk rakaat kedua, bahagian hujung musala mula bergoyang, kemudian runtuh dan meruntuhkan keseluruhan bangunan,” katanya dengan suara masih bergetar.

Wahid sempat menyelamatkan diri dan mengajak beberapa rakan keluar dari timbunan konkrit yang retak.

Menurut saksi, dewan tersebut ketika itu penuh dengan pelajar lelaki berusia antara 12 hingga 17 tahun yang sedang solat berjemaah.

Pelajar perempuan berada di bahagian lain dan berjaya menyelamatkan diri.

Pelajar yang terselamat menceritakan suasana kelam kabut sejurus bumbung runtuh.

“Kami lari tapi banyak kawan tertinggal. Ada yang menjerit minta tolong dari bawah runtuhan,” kata Ahmad, 15 tahun, yang mengalami luka di dahi.

Sejurus kejadian, pasukan penyelamat bertungkus lumus mengeluarkan mangsa.

Jurucakap Polis Jawa Timur, EncikJules Abraham Abast, berkata sehingga malam, 79 mangsa berjaya dikeluarkan, sebahagian besar cedera dengan patah tulang dan kecederaan kepala.

Beliau menambah, sehingga pagi 30 September, 65 pelajar masih belum ditemui dan operasi mencari diteruskan tanpa henti.

Petugas membawa tabung oksigen dan bekalan air ke dalam runtuhan bagi menyelamatkan pelajar yang terperangkap.

Sebahagian mangsa ditemui dalam keadaan lemah selepas lebih 8 jam tertimbus.

Bunyi palu besi dan mesin pemotong silih berganti dengan jeritan ahli keluarga yang menunggu penuh harapan di luar pagar sekolah.

Ketua Pondok Pesantren, Encik Raden Abdus Salam Mujib, memaklumkan bangunan itu sedang melalui kerja penambahan tingkat tanpa kebenaran rasmi.

“Bangunan asal dua tingkat, kami rancang empat tingkat. Hari itu baru selesai menuang konkrit tingkat tiga. Nampaknya struktur tak mampu menampung beban,” katanya.

Menurut Encik Abdus Salam, bahagian bawah sudah lama digunakan sebagai musala manakala tingkat atas dirancang sebagai dewan dan bilik aktiviti.

Namun kerja pengukuhan asas bangunan belum lengkap sepenuhnya.

“Ini musibah besar. Kami tidak sangka boleh jadi begini ketika pelajar sedang beribadah,” katanya sebak.

Ramai ibu bapa berkumpul di pos kawalan dan hospital daerah Sidoarjo, menunggu berita anak mereka.

Suara tangisan bergema setiap kali senarai mangsa dikeluarkan.

Seorang ibu, Cik Siti Aminah, merayu sambil menggenggam telefon: “Tolong selamatkan anak saya, dia baru tingkatan dua, baru seminggu di sini.”

Tragedi ini menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan struktur pendidikan agama di Indonesia, terutamanya apabila pengubahsuaian dilakukan tanpa pemantauan ketat.

Polis mengesahkan siasatan awal mendapati kerja penambahan tingkat dilakukan tanpa permit sah.

“Kami akan menyiasat punca dan menilai tahap keselamatan bangunan sekolah agama di kawasan ini. Keselamatan pelajar mesti diutamakan,” tegas Encik Jules.

Indonesia sering berdepan isu keselamatan bangunan.

Awal September, sekurang-kurangnya tiga maut dalam kejadian runtuhan bangunan semasa majlis agama di Jawa Barat.

Pada 2018, tujuh remaja terkorban di Cirebon akibat bumbung dewan runtuh.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan bantuan tentera, polis, pasukan bomba dan sukarelawan tempatan.

Lampu sorot menerangi kawasan yang dipenuhi serpihan konkrit, kitab-kitab berselerakan, dan kasut pelajar yang tertimbus.

“Kami tidak akan berhenti sehingga semua pelajar ditemui,” janji seorang anggota penyelamat yang enggan namanya disiarkan.

Bagi ramai keluarga, harapan tetap ada walaupun masa berlalu. “Kami hanya mahu anak-anak kami selamat, itu sahaja,” kata seorang bapa sambil memegang tasbih erat di tangannya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg