Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri arah siasat kejadian bangunan runtuh di Bogor

Sep 8, 2025 | 11:42 AM
Bogor, runtuh, majlis taklim
Pasukan penyelamat memeriksa sisa runtuhan yang roboh ketika jemaah wanita mengadakan pengajian sempena maulidur rasul di Bogor, Jawa Barat, pada 7 September 2025. - Foto AFP

BOGOR: Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, menegaskan keperluan siasatan menyeluruh terhadap bangunan yang runtuh di Desa Sukamakmur, Ciomas, Kabupaten Bogor, Jawa Barat.

Kejadian di Majlis Taklim Asohiziyah itu meragut tiga nyawa serta mencederakan puluhan anggota jemaah ketika acara sambutan maulidur rasul pada 7 September.

“Kita sedang menunggu hasil siasatan mengenai puncanya. Penilaian perlu dilakukan agar kejadian serupa tidak berulang di tempat lain,” kata Encik Nasaruddin selepas melawat mangsa di Hospital Kota Bogor, lapor agensi berita, Antara.

Menurut beliau, aspek teknikal bangunan perlu diberi perhatian khusus.

Walaupun tumpuan utama pemerintah kini ialah rawatan mangsa, hasil siasatan akan menjadi asas langkah pencegahan di masa depan.

“Yang penting sekarang kita beri tumpuan pada rawatan mangsa, termasuk anak-anak yang cedera.

“Namun punca runtuhan ini mesti didedahkan,” tambahnya.

Encik Nasaruddin turut mengingatkan masyarakat supaya menjadikan kejadian itu sebagai pengajaran bersama.

“Acara keagamaan mesti tetap mengambil kira faktor keselamatan bangunan dan kapasiti yang sesuai,” katanya.

Bupati (Ketua Daerah) Bogor, Encik Rudy Susmanto, sebelum ini mendedahkan bahawa runtuhan berlaku dipercayai akibat beban berlebihan.

Sekitar 150 anggota jemaah hadir ke majlis berkenaan, sebahagiannya berada di dalam bangunan, di luar, dan juga di teres yang terletak di pinggir tebing.

“Teras bangunan itu akhirnya tidak mampu menahan beban, lalu runtuh. Akibatnya, mangsa yang cedera mencapai lebih 80 orang,” kata Encik Rudy di Bogor.

Beliau turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Kami menyampaikan belasungkawa yang sedalam-dalamnya. Semoga keluarga mangsa diberi ketabahan,” ujarnya.

Encik Rudy menegaskan jumlah korban mungkin masih bertambah selaras dengan pengumpulan data yang sedang dijalankan oleh pasukan gabungan di lapangan.

“Kami terus menyelaras dengan BPBD (Badan Pengurusan Bencana Daerah) dan hospital bagi memastikan semua data mangsa disahkan,” katanya.

Data BPBD Bogor merekodkan tiga kematian. Mereka ialah Cik Irni Susanti, penduduk Sukamakmur yang dirawat di RS Medika Dramaga, serta Cik Ulan dan Cik Nurhayati yang meninggal dunia di RS PMI Bogor.

Puluhan lagi mengalami kecederaan serius, sederhana, atau ringan.

Mereka dihantar ke beberapa kemudahan kesihatan termasuk Hospital Kota Bogor, RS PMI, RS Ciawi, RS Karya Bhakti Pertiwi, RS Marzuki Mahdi, Klinik Sukamaju, Puskesmas Ciomas dan Klinik Arafah.

Tiga mangsa dilaporkan cedera parah, tujuh cedera sederhana, manakala 25 lainnya mengalami luka ringan.

Sebilangan mangsa dibenarkan pulang kerana keadaan stabil, namun kebanyakannya masih dirawat rapi.

BPBD memaklumkan kejadian berlaku sekitar 08.30 pagi dengan laporan pertama diterima pada 9.42 daripada ketua desa.

Pasukan Tindak Balas Cepat (TRC) BPBD bersama Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri), pasukan bomba serta sukarelawan segera dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan misi menyelamat.

“Petugas gabungan berjaya mengeluarkan puluhan anggota jemaah yang terhimpit runtuhan dan menghantar mereka ke hospital berdekatan,” kata BPBD dalam kenyataannya.

Menjelang tengah hari, proses pemindahan berjaya diselesaikan dan diteruskan dengan kerja pembersihan pada sisa runtuhan bangunan.

Polis turut memasang garisan keselamatan di lokasi kejadian serta membawa masuk pasukan pakar pembinaan bagi menyiasat kemungkinan kecuaian struktur bangunan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg