JAKARTA: Polis telah menamakan 14 orang sebagai suspek dalam serangan dan vandalisme di ibu pejabat Polis Sektor Jatinegara semasa rusuhan di Jakarta Timur pada 30 Ogos.
Pihak berkuasa juga mengesahkan bahawa tiada anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) terlibat, menolak laporan awal yang menunjukkan askar telah menghasut penunjuk perasaan bagi mencetuskan suasana cemas.
Ketua Polis Metro Jakarta Timur, Encik Alfian Nurrizal, berkata kesemua 14 suspek telah ditahan.
Seramai 10 daripada mereka merupakan orang dewasa dengan pelbagai pekerjaan, manakala empat lagi pelajar sekolah menengah.
“Tiada anggota TNI terlibat. Kesemua 14 suspek adalah orang awam,” kata Encik Alfian kepada pemberita pada 8 September.
Menurut polis, suspek memainkan peranan berbeza dalam serangan yang merosakkan kemudahan di ibu pejabat polis di Jatinegara itu.
Dua daripada mereka, dikenali sebagai AR, 23 tahun; dan RR, 27 tahun, kedua-duanya pekerja stesen minyak, didakwa terlibat dalam menyediakan koktel Molotov.
Alat pembakar itu dipasang di depan sebuah stesen minyak di Cawang sebelum digunakan untuk menyerang balai polis, menyebabkan tiga motosikal terbakar.
Suspek lain yang bertindak sebagai penghasut, menjerit “bakar balai polis” semasa mereka merakam kebakaran.
Penyiasat berkata sasaran asal penyerang adalah Markas Briged Bergerak (Brimob) di Kwitang, Jakarta Pusat.
Bagaimanapun, serangan itu dihalakan semula ke Jatinegara.
“Mereka pada mulanya menuju ke Kwitang, tetapi disebabkan provokasi, serangan beralih ke Jatinegara,” jelas Encik Alfian.
Polis masih menyiasat motif utama dan mereka yang mendalangi serangan tersebut.
Pihak berkuasa juga sedang menyemak rakaman media sosial bagi mengenal pasti pelaku tambahan.
Kesemua 14 suspek bakal dihadapkan dengan pelbagai pertuduhan, termasuk vandalisme, pembakaran dan memiliki bahan letupan buatan sendiri yang membahayakan keselamatan awam.
Ibu pejabat polis Jatinegara diserang sekitar 11.30 malam pada 30 Ogos, dengan tiga motosikal dilaporkan dibakar.
Encik Alfian menegaskan kes itu layak dikategorikan sebagai kesalahan jenayah berat.
Suspek akan didakwa mengikut Kanun Jenayah berkaitan dengan serangan terhadap pegawai yang bertugas.
“Hukuman maksimum boleh mencecah sembilan tahun penjara,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg