JAKARTA: Unit antipengganasan elit Indonesia, Densus 88, telah menahan seorang remaja berusia 18 tahun di wilayah Sulawesi Selatan kerana disyaki menyebarkan propaganda ekstremis dan menghasut tindakan pengganasan dalam talian, kata polis pada 25 Mei.
Suspek, seorang remaja tempatan, yang hanya dikenali dengan huruf awalan MAS, ditahan pada 24 Mei sekitar 5.20 petang waktu tempatan di Kabupaten Gowa, menurut Pejabat Penerangan dan Dokumentasi Densus 88.
“MAS didapati aktif dalam talian komunikasi digital yang menyebarkan kandungan berkaitan ideologi ISIS, termasuk gesaan untuk melakukan pengeboman di tempat ibadat,” kata Penolong Pesuruhjaya Mayndra Eka Wardhana dalam satu kenyataan.
Remaja itu didakwa mengendalikan kumpulan WhatsApp bernama ‘Daulah Islamiah’ sejak Disember 2024.
Menerusi platform tersebut, dia berkongsi imej, video, rakaman suara dan tulisan yang mempromosikan kumpulan pengganas itu.
Kumpulan WhatsApp berkenaan juga menganjurkan perbincangan yang mewajarkan pengeboman bunuh diri dalam konteks perang, mencerminkan pandangan ekstremis yang sejajar dengan ISIS.
“Nombor telefon yang digunakan MAS telah dikenal pasti sebagai pentadbir utama kumpulan WhatsApp itu,” katanya sambil menyatakan polis telah merampas telefon bimbitnya.
MAS kini kekal dalam tahanan untuk soal siasat lanjut.
Densus 88 berikrar untuk terus membanteras rangkaian pengganas, termasuk mereka yang mengeksploitasi platform digital.
“Penyebaran kandungan berkaitan penolakan toleransi, radikalisme, ekstremisme dan pengganasan di media sosial masih berleluasa,” kata Encik Mayndra sebelum ini pada 14 Mei.
Tangkapan berkaitan pengganasan merosot sejak mencapai angka tertinggi 370 orang pada 2021, kepada 55 orang pada 2024 dan tiada tangkapan direkodkan setakat ini bagi 2025.
Tiada serangan dilaporkan dalam dua tahun kebelakangan ini, namun menurut Encik Mayndra, kandungan radikal dan pengganasan di media sosial berpotensi mencetuskan kemunculan pelaku ‘lone wolf’ atau tindakan individu secara sendirian terutama dalam kalangan anak muda yang kurang pendedahan terhadap ideologi tersebut.
Data yang dikumpul oleh pasukan itu pada 2024 menunjukkan terdapat 168,058 kandungan sebegitu, dengan hampir 85,000 daripadanya ditemui di Instagram, iaitu wadah media sosial paling meluas digunakan di Indonesia.
Facebook berada di tempat kedua dengan 43,242 kandungan berkaitan ekstremisme, diikuti TikTok dan platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter) yang masing-masing dengan 23,594 dan 9,535 kandungan yang menyebarkan fahaman radikal dan pengganasan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg