JAKARTA: Tragedi karamnya feri, KMP Tunu Pratama Jaya, di Selat Bali pada 3 Julai sekali lagi mengundang persoalan besar tentang keselamatan maritim Indonesia.
Kejadian yang mengorbankan sekurang-kurangnya lapan nyawa, dengan puluhan lagi masih hilang itu, mencerminkan keperluan meningkatkan sistem pemantauan, penguatkuasaan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan pengangkutan laut negara kepulauan itu.
Kapal malang itu berlepas dari Pelabuhan Ketapang pada 2 Julai.
Namun hanya 24 minit selepas berlepas, ia menghantar isyarat kecemasan akibat kebocoran di bilik enjin.
Tidak lama kemudian, kapal tersebut hilang kuasa dan terbalik, lalu hanyut ke selatan.
Pasukan penyelamat giat menjalankan operasi mencari lebih 29 mangsa yang masih belum ditemukan.
Dalam usaha tersebut, 34 penyelam khas dan lebih 600 anggota dikerahkan.
Ahli Parlimen daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Cik Irine Yusiana Roba Putri, lantang menyuarakan kekecewaan terhadap keadaan keselamatan maritim Indonesia.
“Ada yang sangat tidak kena dengan sistem kita, sama ada dari aspek teknikal, lebihan muatan, protokol cuaca yang lemah, atau pengawasan yang longgar.
“Dalam hanya 11 hari, tiga kemalangan kapal berlaku di Selat Bali,” katanya.
Menurut Cik Irine, tragedi seperti itu seharusnya tidak berlaku jika sistem pemantauan dilaksanakan dengan tegas.
Beliau menggesa Kementerian Pengangkutan menjalankan audit menyeluruh ke atas semua feri yang beroperasi di Selat Bali, termasuk semakan ke atas protokol keselamatan dan latihan kru kapal.
“Setiap kapal membawa puluhan nyawa. Pemerintah tidak boleh hanya bertindak selepas tragedi. Tindak balas selepas kejadian tidak mencukupi,” tegasnya.
Ahli Parlimen Parti Gerindra, Encik Bambang Haryo Soekartono, turut mengkritik kelemahan dalam sistem rekod penumpang.
Di bawah peraturan semasa, hanya kenderaan yang dikenakan tiket, manakala penumpang tidak direkodkan secara individu.
“Setiap orang di atas kapal mesti mempunyai tiket dan direkodkan. Kita perlu tahu bukan hanya bilangan penumpang, malah identiti mereka,” katanya.
Bukti kelemahan sistem itu jelas apabila dua mayat yang ditemui tidak tersenarai dalam daftar penumpang, dan beberapa mangsa terselamat juga tidak tersenarai.
Beberapa keluarga mendakwa anggota keluarga mereka turut berada di atas kapal tetapi nama mereka tidak dicatatkan secara rasmi.
Tragedi itu turut menyerlahkan satu lagi masalah besar operasi feri yang telah melebihi jangka hayat teknikalnya.
Dalam banyak kes, kapal lama ini masih mendapat sijil kelayakan pelayaran meskipun tidak lagi selamat digunakan.
Pengerusi Forum Pengangkutan Laut Masyarakat Indonesia, Cik Hafida Fahmiasari, berkata:
“Pemeriksaan sering kali menjadi urusan kertas kerja semata-mata. Kapal lama tetap diluluskan.
“Tidak ada tekanan terhadap pengendali untuk memperbaiki keadaan kerana tidak wujud sistem yang menghubungkan prestasi keselamatan dengan hukuman atau insentif.”
Beliau menegaskan: “Ini bukan hanya isu teknikal. Ini isu budaya pentadbiran yang mengutamakan murah berbanding selamat.
“Tiket feri murah, tetapi pada akhirnya penumpang membayar dengan nyawa mereka.”
Pengerusi Persatuan Pengusaha Pengangkutan Danau dan Perairan (Gapasdap), Encik Khoiri Soetomo, pula mengusulkan agar pemerintah menyediakan insentif fiskal dan pembiayaan mampu milik untuk membantu pengendali menggantikan kapal usang.
“Industri pembinaan kapal tempatan juga perlu diperkasa agar dapat membina kapal bermutu tinggi dengan lebih cepat dan kos yang berdaya saing,” katanya.
Pemilik feri, PT Raputra Jaya, tampil memohon maaf secara rasmi dalam satu sidang media di Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, pada malam 5 Julai.
Wakil syarikat, Encik Uliluddin, menyatakan: “Izinkan kami merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada keluarga mangsa. Semoga Tuhan Yang Maha Esa menempatkan mereka dalam kalangan orang yang dirahmati.”
Beliau turut mengakui tanggungjawab syarikat terhadap aspek keselamatan dan keselamatan feri tersebut.
Namun permintaan maaf sahaja tidak mencukupi.
Ini adalah kali ketiga dalam tempoh kurang sedekad sebuah feri karam di Selat Bali.
Pada Mac 2016, feri Rafelia 2 karam mengorbankan tujuh nyawa, dan pada Disember 2021, feri Yunicee turut karam, mengorbankan tujuh nyawa dan 18 penumpang masih hilang sehingga ke hari ini.
Satu punca utama kegagalan sistemik itu ialah ketiadaan kepimpinan yang jelas dalam hal ehwal keselamatan maritim.
Tanggungjawab terbahagi antara pelbagai agensi dari Kementerian Pengangkutan ke pihak berkuasa pelabuhan, syarikat milik pemerintah dan pemerintah tempatan – masing-masing bekerja secara terpisah.
Akibatnya, tiada satu pihak pun benar-benar bertanggungjawab.
Kajian Allianz Safety and Shipping Review 2025 meletakkan Indonesia antara negara paling tinggi kehilangan kapal di peringkat sejagat.
Menurut Yayasan Lloyd’s Register, Indonesia menduduki tempat kedua tertinggi dalam kemalangan pengangkutan laut sejak 2017.
Jawatankuasa Nasional Keselamatan Pengankutan (KNKT) merekodkan lebih 190 kejadian besar dengan lebih 787 kematian antara 2015 dengan 2025.
Menurut Cik Hafida, sudah tiba masanya Indonesia melaksanakan perubahan menyeluruh terhadap sistem keselamatan maritim.
Ini termasuk memberikan kuasa lebih besar kepada Kementerian Pengangkutan untuk memimpin perubahan merentas agensi.
Sistem penarafan prestasi keselamatan harus diperkenal untuk memberi ganjaran atau hukuman kepada pengendali berdasarkan prestasi sebenar.
Di samping itum struktur tambang juga perlu dikaji semula agar mencerminkan kos operasi yang selamat.
Subsidi boleh diberikan untuk melindungi golongan rentan, tetapi tidak boleh menjejas pelaburan dalam keselamatan.
“Data penumpang perlu dipantau secara digital dan masa nyata.
“Ketidakpadanan antara jumlah penumpang sebenar dengan data rasmi menjadi penghalang utama dalam misi menyelamat.
“Audit pada 2021 mendapati 70 peratus tragedi feri utama melibatkan data yang tidak tepat,” tambah Cik Hafida.
Indonesia tidak boleh lagi menerima tragedi feri sebagai perkara biasa.
Setiap tiket yang dijual hari ini tidak sepatutnya menjadi taruhan senyap terhadap sistem yang terus gagal melindungi rakyatnya.
“Soalnya sekarang, berapa ramaikah lagi perlu terkorban sebelum kita benar-benar bertindak?
“Hanya apabila kita menganggap setiap nyawa bernilai, barulah perubahan boleh berlaku?” tanya Cik Hafida. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg