JAKARTA: Tindakan Israel menahan ratusan aktivis dan wartawan antarabangsa yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza terus mencetuskan kecaman sejagat, dengan Indonesia dan beberapa negara Asia Barat menyifatkannya sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa dan maruah manusia.

Kes itu kembali menjadi perhatian selepas sembilan rakyat Indonesia yang ditahan Israel dalam misi, Global Sumud Flotilla 2.0 selamat tiba di Jakarta pada 24 Mei lalu selepas beberapa hari berada dalam tahanan pihak berkuasa Israel.

Mereka antara lebih 400 aktivis dari lebih 70 negara yang ditahan selepas tentera Israel memintas konvoi bantuan kemanusiaan menuju Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.

Kejadian itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan diplomatik, malah membuka semula perdebatan mengenai layanan terhadap wartawan, aktivis kemanusiaan dan tahanan Palestin di tengah konflik yang semakin berpanjangan di Gaza.

Seorang wartawan Indonesia yang menyertai misi itu, Encik Thoudy Badai, daripada akhbar Indonesia, Republika, berkata tekanan yang dialami mereka dalam tahanan Israel masih tidak setanding penderitaan rakyat Palestin yang dipenjarakan selama ini.

“Kami semua sudah kembali ke Jakarta. Apa yang kami alami akibat tekanan Zionis Israel tidak seberapa berbanding penderitaan 9,000 tahanan Palestin, termasuk kanak-kanak, ibu dan wanita hamil,” katanya.

Beliau berharap masyarakat antarabangsa terus bersuara mengenai isu Palestin supaya rakyat Gaza tidak terus dilupakan.

Sementara itu, seorang lagi wartawan Indonesia, Encik Andre Prasetyo Nugroho, daripada Tempo TV, didakwa dilayan dengan kekasaran semasa ditahan.

Bapanya, Encik Warsono, berkata beliau akhirnya dapat bercakap dengan anaknya menerusi panggilan video selepas tiga hari tanpa sebarang berita.

“Saya lega melihat dia selamat walaupun keadaannya agak teruk,” kata beliau.

Menurut Encik Warsono, Encik Andre memberitahu tangannya lebam akibat diikat terlalu ketat menggunakan pengikat plastik.

“Mereka melayan anak saya dengan sangat kasar sehingga Andre hampir pengsan kerana sesak nafas ketika digari dan dibawa keluar,” katanya.

Encik Warsono bagaimanapun percaya anaknya mungkin melawan secara lisan ketika ditahan.

“Saya kenal anak saya. Dia pasti membantah dan bercakap terus terang walaupun berisiko dipukul,” katanya.

Kontroversi kian memuncak selepas Menteri Keselamatan Nasional Israel, Encik Itamar Ben-Gvir, memuat naik video menunjukkan aktivis yang ditahan sedang berlutut dengan tangan terikat sambil diejek olehnya.

Rakaman itu mencetuskan kemarahan pelbagai negara dan pertubuhan hak asasi manusia yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai penghinaan terbuka terhadap tahanan awam.

Encik Ben-Gvir sendiri merupakan antara tokoh paling kontroversi dalam politik Israel.

Menurut laporan media antarabangsa, beliau terkenal dengan pendirian ultra nasionalis dan pernah disabitkan kesalahan berkaitan hasutan perkauman serta sokongan kepada kumpulan ekstremis Yahudi.

Beliau juga sering mencetuskan ketegangan melalui lawatan provokatif ke kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis.

Akibat pendirian tegar terhadap rakyat Palestin, beberapa negara termasuk United Kingdom, Canada, Australia dan New Zealand mengenakan sekatan perjalanan serta kewangan terhadapnya.

Perancis dan Poland turut menghalang kemasukannya ke negara mereka.

Indonesia bersama Mesir, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkey dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk tindakan Encik Ben-Gvir.

Kementerian Luar Indonesia menyifatkan tindakan itu sebagai “mengerikan, menghina dan tidak boleh diterima”.

“Menteri-menteri luar menegaskan penghinaan terbuka terhadap tahanan merupakan serangan terhadap maruah manusia dan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia,” ujar kenyataan itu.

Negara terbabit turut mendesak Encik Ben-Gvir dipertanggungjawabkan dan menggesa tindakan membina diambil bagi menghentikan provokasi berulang terhadap rakyat Palestin.

Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono, turut mengutuk keras tindakan Israel terhadap rakyat Indonesia yang ditahan ketika misi bantuan kemanusiaan itu.

“Kami mengutuk apa yang dilakukan Israel terhadap saudara-saudara kita. Ini adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa,” katanya.

“Mereka ialah orang awam yang menjalankan misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin.”

Beliau turut mendedahkan bahawa pemerintah Indonesia menggunakan saluran diplomatik di Ankara, Istanbul, Kahirah, Rome dan Amman bagi memastikan pembebasan semua rakyat Indonesia yang ditahan.

Menurut Encik Sugiono, Turkey memainkan peranan penting dalam usaha diplomatik tersebut.

Penahanan empat wartawan Indonesia dalam flotila itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan media dalam konflik Gaza.

Pengerusi Perikatan Wartawan Bebas (AJI) Bandar Lampung, Cik Dian Wahyu Kusuma, berkata wartawan sepatutnya dilindungi ketika menjalankan tugas.

“Perlindungan terhadap wartawan termaktub dalam pelbagai ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan konvensyen hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.

“Tindakan Israel jelas mengabaikan prinsip tersebut.”

AJI bersama pertubuhan masyarakat sivil lain turut menganjurkan demonstrasi serentak di Jakarta, Bandung, Surabaya dan Bandar Lampung bagi mendesak pembebasan semua tahanan.

Global Sumud Flotilla 2.0 merupakan usaha maritim awam antarabangsa untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza yang telah berlangsung hampir 19 tahun.

Lebih 40 kapal dan sekitar 1,000 aktivis menyertai konvoi itu bagi membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang terus berdepan krisis makanan, ubat-ubatan dan kemusnahan akibat perang.

Bagi ramai peserta, misi itu bukan sekadar penghantaran bantuan, tetapi lambang perpaduan sejagat terhadap rakyat Palestin.

Namun, tindakan Israel memintas konvoi tersebut di perairan antarabangsa menimbulkan persoalan besar mengenai hak kemanusiaan dan kebebasan pelayaran awam.

Penganalisis melihat kejadian itu turut mencerminkan bagaimana konflik Gaza kini bukan lagi isu serantau semata-mata, sebaliknya menjadi isu antarabangsa yang kian mempengaruhi hubungan diplomatik sejagat.

Bagi banyak pihak, episod flotila Gaza itu sekali lagi menunjukkan konflik Palestin-Israel bukan sekadar peperangan bersenjata, malah melibatkan pertarungan naratif, hak asasi manusia dan maruah kemanusiaan.

Walaupun aktivis Indonesia kini telah pulang dengan selamat, pengalaman mereka menjadi gambaran kecil terhadap apa yang dilalui ribuan tahanan Palestin setiap hari.

“Ia tidak setanding penderitaan rakyat Palestin,” kata Encik Thoudy.

Kenyataan itu menggambarkan bagaimana isu Gaza terus menyentuh emosi masyarakat antarabangsa, terutama di negara Islam seperti Indonesia yang sejak sekian lama menyokong perjuangan Palestin dan penyelesaian dua negara. – Agensi berita.