Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gabenor Jawa Barat dikritik hantar pelajar ‘bermasalah’ ke berek tentera

Pertahan program, dakwa persekitaran dan rumah keluarga tidak lagi tempat mesra untuk golongan muda
May 26, 2025 | 5:30 AM
Dedi Mulyadi, Indonesia, Jawa Barat
Gabenor Jawa Barat, Encik Dedi Mulyadi (kanan), bersama pelajar yang dihantar ke berek tentera bagi menjalani kem disiplin diri. - Foto INSTAGRAM DEDIMULYADI71

Gabenor Jawa Barat, Encik Dedi Mulyadi, kerap menjadi tajuk utama media nasional sejak beliau memegang jawatan awal 2025 kerana kenyataan dan tindakannya yang kontroversial tular di media konvensional dan media sosial.

Ramai pengkritik menyamakan beliau dengan mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo yang mula dikenali dari pentas daerah sebagai wali kota Solo sebelum melonjak ke peringkat nasional sebagai Gabenor Jakarta.

Kedudukan tersebut akhirnya membuka jalan kepada beliau untuk menjadi Presiden Indonesia selama dua penggal.

Kontroversi terkini melibatkan Encik Dedi, yang juga dikenali dengan KDM iaitu singkatan kepada Kang – panggilan untuk ‘abang’ dalam bahasa Sunda – Dedi Mulyani.

Ia melibatkan rancangannya menghantar pelajar bermasalah ke berek tentera khusus bagi mengikuti program pendidikan karakter, menanam disiplin dan menangani masalah kelakuan mereka yang diumumkan awal Mei.

Rancangan itu segera menerima kritikan dan mencetus perdebatan awam tentang keperluannya, terutama di sebuah wilayah yang sering dibelenggu masalah samseng dan pemerasan di kawasan perindustriannya.

Ia menyebabkan pelabur menjauhkan diri, selain mengekang pertumbuhan ekonomi serta penciptaan pekerjaan di wilayah paling padat penduduk di Indonesia.

Encik Dedi menghantar pulang 273 pelajar pada 6 Mei setelah menjalani latihan selama 18 hari di berek tentera di Bandung Barat dan dikatakan telah berubah menjadi lebih baik.

Mereka akan terus dipantau oleh pihak berkuasa selama 12 bulan akan datang.

“Sehingga hari ini, terdapat ribuan orang yang sedang menunggu giliran untuk menyertai program pendidikan karakter kebangsaan,” kata Encik Dedi dalam ucapan berapi-api semasa upacara Hari Kebangkitan Nasional di Bandung, di acara pelajar ditugaskan sebagai pembawa bendera dan berarak bersama anggota tentera dan polis.

Beliau menambah, setiap pelajar yang menyertai upacara tersebut menerima hadiah wang tunai 25 juta rupiah ($1,975) yang dikeluarkan daripada poketnya sendiri.

Encik Dedi mendakwa ia diperoleh daripada penjanaan kandungan media sosial miliknya.

“Mereka kata saya ini gabenor kandungan, tapi saya fikir lebih baik jadi gabenor yang hasilkan kandungan yang boleh dijana dan dikembalikan kepada rakyat daripada jadi gabenor yang malas bekerja,” ujarnya.

Beliau turut mempertahankan programnya dengan menyatakan bahawa kekurangan ruang awam untuk anak muda dan kanak-kanak bermain dan berkembang, yang telah dikorbankan demi pembangunan dan keuntungan ekonomi, telah menyebabkan “persekitaran kita dan rumah keluarga kita tidak lagi menjadi tempat yang mesra untuk mereka”.

Namun, pengkritik berpandangan pendekatan ala ketenteraan untuk menangani pelajar bermasalah berpotensi melanggar hak asasi kanak-kanak dan memberi kesan psikologi yang buruk kerana ditempatkan di berek tentera.

Menurut pakar undang-undang kanak-kanak dari Universiti Airlangga Surabaya, Cik Zendy Wulan Ayu Widhi Prameswari, berek tentera bukanlah tempat mesra kanak-kanak.

“Kemudahan seperti ini berisiko melanggar hak kanak-kanak untuk hidup, bertahan dan berkembang.

“Apabila kanak-kanak ditempatkan dalam persekitaran yang tidak menyokong pertumbuhan fizikal dan emosi mereka, ia boleh meningkatkan risiko tekanan fizikal dan psikologi dengan ketara,” katanya.

Kumpulan hak asasi manusia, Imparsial, pula menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya tidak membenarkan pihak tentera terlibat dalam usaha gabenor menangani pelajar bermasalah, dengan berhujah ia melanggar peranan asas ketenteraan.

“Sebagai pemimpin awam, Dedi seharusnya memahami garis pemisah yang jelas antara urusan awam dengan ketenteraan.

“Cadangan dasar ini mencerminkan satu bentuk ketundukan pemimpin awam terhadap institusi ketenteraan yang pada tahap tertentu boleh mengancam kelangsungan kehidupan awam dan prinsip demokrasi,” kata Pengarah Eksekutif Imparsial, Encik Ardi Manto Adiputra.

Namun begitu, Encik Dedi tidak berdiam diri terhadap kritikan yang diterimanya, dan menegaskan tidak ada disiplin ala tentera yang memaksa pelajar bangun seawal 4 pagi.

Ahli Parlimen dari Suruhanjaya Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang bertanggungjawab dalam isu kebajikan kanak-kanak, Encik Bonnie Triyana, berkata mendisiplinkan pelajar bermasalah secara ketenteraan tidak membentuk karakter kerana masalah anak muda memerlukan pendekatan menyeluruh, mengambil kira latar belakang keluarga, persekitaran sosial dan kegiatan persekolahan.

“Melibatkan ahli psikologi dan psikiatri untuk membantu pelajar bermasalah adalah jauh lebih sesuai daripada menghantar mereka ke berek tentera,” tambah Encik Bonnie.

Menurut kenyataan rasmi Pemerintahan Wilayah Jawa Barat, program tersebut turut merangkumi pembangunan bakat dalam seni dan sukan, serta menggalakkan gaya hidup sihat melalui pembentukan rutin makan pada waktu yang tetap dan larangan penggunaan dadah serta merokok.

Bagi menyertai program itu, pelajar di bawah umur juga perlu mendapat izin ibu bapa.

“Ini sebahagian daripada usaha bersama kita untuk melindungi anak-anak daripada bahaya pergaulan bebas, penggunaan gadget yang tidak sihat dan kekurangan zat makanan akibat tabiat makan yang tidak teratur,” kata Encik Dedi.

Data pergaduhan pelajar yang dikumpul oleh Badan Pusat Statistik (BPS) pada 2021 menunjukkan bahawa jumlah pergaduhan pelajar tertinggi di Indonesia berlaku di Jawa Barat, dengan sebanyak 37 lokasi dikenal pasti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg