HALMAHERA: Gunung Ibu di Pulau Halmahera, Maluku Utara kembali meletus pada malam 26 Macu, memuntahkan lava dan debu panas setinggi 1,000 meter ke langit. Letusan berlaku sekitar jam 9.45 malam waktu Indonesia Timur dan disifatkan sebagai antara yang paling aktif sepanjang tahun 2025 ini.
Menurut petugas Pos Pemantauan Gunung Ibu, Encik Axl Roeroe, letusan kali ini menghasilkan kolum abu tebal berwarna kelabu yang menjulang sehingga 2,300 meter dari aras laut dan bergerak ke arah timur. “Letusan ini turut memancarkan lava panas setinggi 300 meter dari puncak kawah,” katanya ketika dihubungi Kompas.
Tambahnya lagi, data seismik menunjukkan gegaran maksimum mencecah 14 milimeter dan letusan berlangsung selama 1 minit 15 saat. Bunyi letusan yang kuat turut dapat didengar dari Pos Pemerhatian yang terletak di Kampung Gam Ici, kira-kira 9 kilometer dari kaki gunung.
Walaupun belum ada arahan pemindahan terbaru, pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai dan pelancong supaya tidak mendekati kawasan sejauh 4 hingga 5 kilometer dari puncak gunung. Penduduk juga disaran memakai pelitup muka dan cermin mata keselamatan bagi melindungi diri daripada hujan abu yang berkemungkinan turun.
Status Gunung Ibu kekal di Tahap III atau “Siaga” — tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi Indonesia.
Gunung Ibu memang terkenal sebagai salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia. Pada Januari lalu sahaja, ia direkodkan meletus lebih 1,000 kali. Letusan besar pada 16 Januari memaksa Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) memindahkan puluhan penduduk dari enam kampung dalam radius 6 kilometer dari puncak.
Dalam masa yang hampir sama, Gunung Ile Lewotolok di Nusa Tenggara Timur turut menunjukkan peningkatan aktiviti. Pada 22 Mac, gunung tersebut meletus sebanyak 179 kali dengan dentuman kuat yang menakutkan penduduk sekitar.
Menurut Encik Stanislaus Ara Kian dari pos pemantauan gunung tersebut, letusan berlangsung antara 27 hingga 225 saat, dengan gegaran seismik antara 17 hingga 38 milimeter. “Kami mengesan kolum abu putih-kelabu setinggi 200 hingga 300 meter dan lontaran material vulkanik sejauh 500 meter dari pusat letusan,” jelasnya.
Beliau juga mengingatkan penduduk di kampung Jantona, Lamatokan, Todanara dan Amakaka supaya berwaspada terhadap batu jatuh dan tanah runtuh akibat aktiviti gunung. Penduduk yang tinggal berhampiran sungai turut diingatkan bersiap sedia menghadapi aliran lahar, terutamanya kerana musim hujan masih berterusan.
Minggu lalu, Gunung Lewotobi Laki-laki yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur, turut meletus sehingga memaksa pemindahan sekitar 5,000 penduduk. Awan debu tebal setinggi 8 kilometer menyebabkan puluhan penerbangan ke dan dari Bali dibatalkan.
Seorang petani yang terkena kesan letusan itu mengalami melecur serius dan disahkan meninggal dunia pada 27 Mac selepas menerima rawatan.
“Kami sangat khuatir jika hujan turun semasa aliran lahar masih panas. Penduduk perlu berjaga-jaga dan mendengar arahan pihak berkuasa,” kata Encik Stanislaus. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg