MALUKU: Ratusan penduduk telah dipindahkan dari kawasan sekitar Gunung Ibu di Pulau Halmahera, wilayah Maluku Utara, selepas peningkatan aktiviti gunung berapi yang dilaporkan pada 15 Januari.
Keadaan ini memaksa pihak berkuasa tempatan mengarahkan pemindahan lebih 3,000 penduduk yang tinggal di kawasan terdekat dengan gunung tersebut.
Letusan Gunung Ibu pada 15 Januari mengeluarkan asap setinggi 4 kilometer ke udara, menyebabkan pihak Agensi Geologi Indonesia menaikkan status amaran gunung berapi itu ke tahap tertinggi.
Menurut jurucakap agensi pengurusan bencana tempatan, Encik Irfan Idrus, pemindahan penduduk yang terjejas dijadualkan akan dilakukan secara berperingkat bermula pada petang 15 Januari.
“Sehingga pagi ini (15 Januari), seramai 517 penduduk dari kampung yang paling hampir dengan gunung telah dipindahkan, dan kami menjadualkan pemindahan selebihnya pada petang ini,” kata Encik Irfan dalam kenyataannya.
Proses pemindahan yang dimulakan pada 15 Januari pada 6 petang itu terpaksa ditangguhkan sementara kerana masalah logistik dan pentadbiran.
Lebih mencabar, hujan lebat yang turun sejak pagi turut menambah kesulitan dalam operasi pemindahan.
Seorang penduduk, Cik Rista Tuyu, 32 tahun, berkongsi bahawa walaupun terdapat rasa takut dan kebimbangan, mereka sudah biasa dengan keadaan seperti ini.
“Tentunya ada rasa takut, tetapi kami sudah biasa dengan letusan di sini. Dalam seminggu, letusan boleh berlaku tiga hingga empat kali. Namun, letusan yang terbesar berlaku minggu ini,” katanya.
Menurut Cik Rista, beliau berharap agar keadaan kembali tenang supaya kehidupan harian penduduk dapat diteruskan seperti biasa.
“Kami berharap gunung berapi ini akan reda agar kami boleh kembali meneruskan kehidupan sehari-hari,” tambahnya.
Letusan ini bukanlah kejadian pertama yang berlaku di Gunung Ibu sejak beberapa bulan lalu.
Sejak Jun 2024, gunung ini telah menunjukkan peningkatan ketara dalam aktiviti gunung berapi selepas berlaku beberapa siri gempa bumi di kawasan tersebut.
Pada awal Januari 2025, Gunung Ibu telah meletus sembilan kali, menjadikannya antara gunung berapi yang paling aktif di Indonesia.
Penduduk yang tinggal berhampiran dengan Gunung Ibu serta pelancong yang berkunjung telah diingatkan supaya mengelakkan kawasan dalam radius 5 hingga 6 kilometer dari puncak gunung dan untuk memakai pelitup bagi mengelakkan kesan debu abu yang boleh membahayakan kesihatan.
Dalam kejadian sebelum ini, Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores meletus lebih 12 kali dalam masa seminggu, menyebabkan sembilan nyawa terkorban.
Begitu juga dengan Gunung Ruang di Sulawesi Utara yang menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan akibat letusan berulang pada 2024.
Dengan populasi sekitar 700,000 orang di Pulau Halmahera, pihak berkuasa terus memantau perkembangan letusan Gunung Ibu bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg