JAKARTA: Kes keracunan makanan secara besar-besaran berkaitan program makanan berkhasiat percuma dilaporkan terus meningkat sepanjang minggu lalu sedang pemerintah menegaskan bahawa inisiatif utama tersebut akan diteruskan.
Dalam masa yang sama tuntutan awam supaya program itu dihentikan atau disemak secara menyeluruh semakin lantang kedengaran.
Kes terkini berlaku pada 15 Oktober apabila hampir 500 pelajar dari sekolah rendah, sekolah menengah rendah dan sekolah vokasional di kawasan Cisarua, daerah Bandung Barat, Jawa Barat, dihantar segera ke hospital berhampiran akibat muntah-muntah teruk dan pening selepas memakan makanan percuma.
Majoriti mangsa terdiri daripada pelajar, tetapi beberapa orang guru turut terjejas iaitu guru yang telah mencuba makanan terlebih dahulu sebagai langkah pemeriksaan keselamatan.
“Jumlah orang yang datang ke pos kesihatan sudah perlahan-lahan menurun.
“Namun kami akan terus berjaga-jaga kerana belum ada arahan untuk menutup pos tersebut,” ujar Encik Aep Kunaefi, penyelaras pos kesihatan Sekolah Menengah Pertama (SMP) 1 Cisarua, pada 15 Oktober dipetik dari TribunNews.com.
Sebelumnya, pada awal Oktober, sekurang-kurangnya 331 orang di wilayah Timor Tengah Selatan, Nusa Tenggara Timur (NTT) termasuk bayi dan wanita hamil dilaporkan keracunan makanan secara beramai-ramai selepas memakan pek makanan percuma, lapor Kompas.id.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, lebih 1,000 kanak-kanak di seluruh negara telah dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas memakan pek makanan yang diedarkan di sekolah sebagai sebahagian daripada program utama Presiden Prabowo Subianto.
Program itu menyasarkan 82 juta pelajar sekolah, kanak-kanak kecil, wanita hamil dan ibu menyusu dalam usaha menentang masalah bantut dan kerdil serta kekurangan zat makanan.
Kenaikan kes keracunan terkini muncul selepas pemerintah sebelum ini menjanjikan piawaian kebersihan program itu akan dipertingkat, menyusuli lonjakan kes pada Ogos.
Ketika itu, pihak berkuasa mengakui hanya segelintir dapur yang terlibat memiliki sijil kebersihan dan sanitasi dari Kementerian Kesihatan.
Sejak pelaksanaan pertama pada Januari, Rangkaian Pemantau Pendidikan Indonesia (JPPI) merekodkan sekurang-kurangnya 11,566 mangsa keracunan makanan berkaitan program makanan percuma iaitu lebih 1,000 daripadanya berlaku dalam dua minggu terakhir sahaja.
Wilayah Jawa Barat mencatat jumlah tertinggi, dengan kira-kira 4,125 kes daripada jumlah keseluruhan.
Sementara itu, Badan Gizi Nasional (BGN), agensi pemerintah yang mengetuai pelaksanaan program makanan percuma, mendakwa telah mencatat lebih 6,500 kes keracunan pada 1 Oktober.
Lonjakan kes keracunan yang berterusan mencetuskan gelombang bantahan daripada pelbagai kumpulan masyarakat.
Satu sekutu yang menamakan diri sebagai “Gabungan Rakyat Menentang Makanan Berkhasiat Percuma, telah mengadakan demonstrasi di hadapan Istana Presiden awal Oktober.
Pada 11 Oktober sebuah gabungan wanita turut berhimpun di depan pejabat BGN di Jakarta Pusat, menuntut program tersebut digantung atau dihentikan agar penyemakan menyeluruh dapat dilaksanakan.
“Situasi ini semakin mendesak. Program ini telah gagal menjamin keselamatan, kesihatan dan keterangkuman kanak-kanak.
“Malah ia telah menimbulkan krisis kesihatan, krisis kebertanggungjawapan dan krisis moral dalam tadbir urus negara,” kata aktivis Cik Olin Monteiro, penyelaras bantahan, pada 15 Oktober.
Cik Nada Arini, 45 tahun, seorang suri rumah dari Jakarta Selatan, turut menyertai tunjuk perasaan.
Beliau menyatakan bahawa pemerintah lebih fokus dalam memastikan program terus berjalan berbanding memastikan keselamatan kanak-kanak dengan menghentikannya buat sementara waktu.
“Saya tidak melihat kesungguhan pemerintah dalam memperbaiki program ini.
“Semua piawaian dan langkah kesihatan kelihatan seperti sekadar formaliti,” ujar ibu dua anak itu kepada The Jakarta Post.
Apabila ditanya reaksi terhadap protes di hadapan pejabatnya, Ketua BGN, Encik Dadan Hindayana, menjawab:
“Setiap pendapat mempunyai asasnya sendiri, jadi kami menghormati (pendapat mereka).”
“Kami mengakui insiden di Cisarua sebagai kegagalan teknikal yang sangat malang.”
Organisasi alam sekitar berpusat di Jakarta, Madani Berkelanjutan, turut menyuarakan keperluan mendesak supaya program itu digantung.
Mereka membangkitkan pertanyaan terhadap beberapa keputusan tadbir urus yang dianggap kontroversi dalam pelaksanaan program.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg