JAKARTA: Sebuah van mini yang digunakan untuk menghantar makanan berkhasiat percuma kepada kanak-kanak sekolah telah melanggar sekumpulan pelajar di sekolah rendah negeri (SDN) Kalibaru 01 di Cilincing, Jakarta Utara, pada pagi 11 Disember, mencederakan sekurang-kurangnya 21 orang.
Ketua Polis Jakarta Utara, Pesuruhjaya Kanan, Erick Frendiz, berkata nahas itu berlaku pada 6.39 pagi waktu tempatan (7.39 pagi waktu Singapura), apabila van mini itu merempuh pintu pagar sekolah.
Van mini itu, yang memaparkan pelekat Unit Perkhidmatan Pemenuhan Pemakanan Agensi Pemakanan Kebangsaan (BGN), yang menyelia program makanan percuma utama Presiden Prabowo Subianto, tiba-tiba terbabas ke kawasan sekolah dan melanggar pelajar dan seorang guru.
Encik Erick melaporkan bahawa 19 mangsa, termasuk seorang guru, telah dibawa ke hospital berdekatan.
Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, kemudiannya melawat mangsa yang dimasukkan ke hospital dan mengemas kini angka mangsa kepada 21 orang, dengan memberi jaminan bahawa pentadbiran bandar akan menanggung semua kos perubatan.
Gabenor menjelaskan bahawa mini van itu, yang menghantar makanan percuma setiap hari, dipandu oleh pemandu pengganti yang hilang kawalan semasa cuba memasuki kawasan sekolah.
“Kenderaan itu memasuki (sekolah) dengan kelajuan yang tidak terkawal, melanggar pelajar dan guru yang hadir,” katanya.
Jurucakap Polis Jakarta, Pesuruhjaya Kanan, Budi Hermanto, mengesahkan bahawa pemandu itu telah ditahan sementara polis menyiasat punca kejadian itu.
Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, mengeluarkan permohonan maaf bagi pihak pemerintah susulan kejadian itu dan menyeru rawatan perubatan yang komprehensif untuk semua mangsa yang terjejas.
“Saya juga telah mengarahkan agar siasatan menyeluruh, penguatkuasaan undang-undang penuh, dan penilaian komprehensif dijalankan untuk memastikan kejadian sedemikian tidak berulang,” tambah Encik Gibran.
Secara berasingan, Institut Bantuan Guaman Jakarta (LBH Jakarta) berkata nahas Cilincing mencerminkan “pengurusan program yang huru-hara dan tidak profesional yang mengabaikan keselamatan awam, terutamanya keselamatan kanak-kanak”.
Kumpulan hak asasi itu menyatakan bahawa program makanan percuma sebelum ini telah menyebabkan insiden keracunan makanan besar-besaran di beberapa wilayah, yang menjejaskan lebih 11,000 orang antara Januari dengan Oktober, menurut data Kementerian Kesihatan.
LBH Jakarta berkata dua peristiwa itu menunjukkan kegagalan pemerintah melaksanakan program dengan betul dan menyeru penilaian dasar yang menyeluruh segera dijalankan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg