Harga makanan serata Indonesia naik jelang Ramadan
JAKARTA: Harga makanan di Indonesia menunjukkan peningkatan menjelang Ramadan 2026, mencerminkan corak musiman yang lazim berlaku setiap tahun.
Namun, pakar ekonomi mengingatkan bahawa kelemahan struktur dalam rantaian bekalan boleh menjadikan kenaikan kali ini lebih sensitif terhadap inflasi.
Data Pusat Informasi Harga Pangan Strategik Nasional (PIHPS) Bank Indonesia setakat 17 Februari menunjukkan pergerakan harga yang bercampur antara wilayah, terutama bagi barangan hortikultur dan protein haiwan yang lazimnya mengalami turun naik menjelang musim perayaan.
Harga bawang merah sederhana dicatat sekitar 44,150 rupiah ($3.30) sekilogram dan bawang putih 40,650 rupiah.
Harga beras pula berada dalam julat 13,900 rupiah hingga 16,550 rupiah bergantung kepada gred.
Cili merah besar hingga cili padi merah mencecah sekitar 80,700 rupiah, manakala ayam segar dicatat pada 42,600 rupiah sekilogram dan daging lembu antara 130,000 rupiah dengan 141,550 rupiah.
Telur pula sekitar 32,250 rupiah sekilogram.
Gula premium dijual pada 20,100 rupiah dan minyak masak antara 19,450 rupiah dengan 22,850 rupiah.
Penyelidik Pusat Reformasi Ekonomi (Core) Indonesia, Encik Yusuf Rendy Manilet, berkata peningkatan itu masih dalam lingkungan biasa.
“Dari sudut ekonomi, ini adalah kejutan permintaan bermusim.
“Permintaan meningkat serentak dalam tempoh singkat, sedangkan bekalan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri kerana kekangan pengedaran, kos logistik dan gangguan cuaca,” katanya.
Menurut beliau, harga lazimnya meningkat sekitar 5 hingga 10 peratus pada pertengahan Februari, namun, bekalan nasional masih mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mac.
Bagaimanapun, jika campuran pasaran tidak dilaksanakan secara berkesan, inflasi tahunan yang kini sekitar 3.55 peratus boleh meningkat kepada 4 hingga 5 peratus pada suku pertama.
“Selagi kestabilan bekalan dan jangkaan inflasi dapat dikawal, pertumbuhan ekonomi Indonesia boleh kekal sekitar 5 hingga 5.1 peratus.
“Ramadan dan Aidilfitri juga merangsang perdagangan serta penggunaan domestik,” katanya.
Ketua Ekonomi, Permata Bank, Encik Josua Pardede, turut mengakui bahawa makanan, minuman dan tembakau menjadi pemacu utama inflasi pada penghujung 2025, didorong oleh kenaikan harga cili, beras, ayam, telur, bawang dan minyak masak.
“Kenaikan paling ketara biasanya melibatkan cili padi dan cili merah, diikuti beras, bawang dan protein haiwan.
“Bekalan komoditi ini sangat sensitif terhadap cuaca, jurang musim tuaian, kos makanan ternakan dan logistik antara wilayah,” jelasnya.
Beliau menegaskan kawalan berkesan memerlukan jaminan bekalan, pelancaran semula saluran pengedaran serta perlindungan kuasa beli rakyat, termasuk bantuan makanan bersasar pada awal Ramadan.
Sementara itu, pakar ekonomi Lembaga Penyelidikan Ekonomi dan Masyarakat, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Indonesia, Encik Teuku Riefky, berkata tekanan harga bukan sahaja terhad kepada makanan.
“Permintaan Ramadan juga boleh menaikkan harga pengangkutan, pakaian dan emas.
“Ia menambah tekanan inflasi jangka pendek, tetapi pada masa sama menyokong kegiatan ekonomi keseluruhan,” kata Encik Teuku Riefky.
Namun, isu struktur kekal menjadi kebimbangan.
Penyelidik Core Indonesia, Cik Eliza Mardian, berkata kenaikan harga berulang bagi cili, bawang dan ayam berpunca daripada jangka hayat simpanan yang pendek serta kekurangan kemudahan rantaian sejuk.
“Jika terdapat kemudahan penyimpanan sejuk yang mencukupi, komoditi boleh disimpan ketika musim tuaian puncak dan dilepaskan secara terkawal,” katanya sambil menegaskan pelaburan swasta amat diperlukan kerana dana pemerintah sahaja tidak mencukupi.
Beliau memberi amaran harga makanan tinggi boleh menghakis kuasa beli golongan berpendapatan rendah yang membelanjakan antara 50 dengan 60 peratus pendapatan untuk makanan.
Dalam usaha mengekang tekanan inflasi, Bank Indonesia (BI) memperkenalkan Gerakan Pengendalian Inflasi Pangan untuk Kesejahteraan (GPIPS), yang memperkukuh pendekatan terdahulu melalui strategi lebih menyeluruh.
Timbalan Gabenor BI, Encik Ricky P. Gozali, berkata kestabilan harga makanan penting untuk melindungi inflasi dan kuasa beli rakyat.
“Kerjasama erat antara pemerintah pusat dengan daerah, kementerian, institusi, perniagaan serta penggubal undang-undang adalah kunci mengekalkan kestabilan harga dan memperkukuh keselamatan makanan,” katanya.
GPIPS dibina atas tiga strategi utama iaitu meningkatkan pengeluaran makanan melalui benih tahan cuaca dan teknologi adaptif; memperkukuh pengedaran antara wilayah bagi mengurangkan turun naik harga; serta memperkukuh sinergi pusat dan daerah melalui penggunaan data imbangan makanan dan peranan perusahaan makanan milik daerah sebagai pembeli tetap.
Menteri Pertanian, Encik Andi Amran Sulaiman, memberi jaminan bekalan bahan asas mencukupi sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri.
“Kami memastikan harga siling runcit dan harga rujukan pengeluar dikekalkan sepanjang Ramadan dan selepas Aidilfitri,” katanya.
Menurutnya, bekalan beras nasional mencecah 3.3 juta tan dan rizab minyak masak sekitar 700,000 tan di bawah agensi logistik negara.
Inflasi Indonesia berada pada 2.92 peratus sepanjang 2025 sebelum meningkat kepada 3.55 peratus pada Januari 2026, sebahagian besarnya dipacu kategori makanan tidak stabil.
Secara keseluruhan, penganalisis melihat kenaikan harga kali ini masih terkawal.
Namun, disiplin bekalan dan pematuhan harga akan menjadi penentu sama ada lonjakan bermusim ini kekal sementara atau berkembang menjadi tekanan inflasi yang lebih berpanjangan. – Agensi berita.

