Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hubungan rapat secara peribadi perkuat ikatan Indonesia-M’sia

Namun, isu pekerja migran Indonesia di M’sia kekal isu sensitif antara dua negara
Aug 4, 2025 | 5:30 AM
perdana menteri malaysia, Anwar Ibrahim, prabowo subianto
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri), dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, bertemu sebelum bermulanya mesyuarat dua hala mereka di Istana Presiden di Jakarta pada 29 Julai. - Foto PASUKAN MEDIA PRABOWO

Hubungan kejiranan yang erat serta kedudukan dalam rantau yang sama membolehkan Indonesia dan Malaysia saling berkongsi pandangan yang seiring dalam pelbagai isu.

Ini meskipun sesekali berlaku perselisihan kecil dan sindiran antara rakyat kedua-dua negara yang sering diperbesar-besarkan di media sosial.

Namun, perjalanan politik yang hampir serupa antara Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim – kedua-duanya pernah tersingkir daripada arus perdana politik sebelum kembali bangkit, menyatukan mereka dalam jawatan tertinggi eksekutif negara.

Datuk Anwar malah menyifatkan Encik Prabowo sebagai sahabat “setia” semasa lawatan pemimpin Indonesia itu ke Malaysia pada Januari, dengan menyatakan bahawa Encik Prabowo terus berdiri teguh menyokongnya dalam suka dan duka.

“Anwar dan Prabowo pernah sama-sama dipinggirkan dalam politik.

“Pengalaman pahit mereka sebenarnya telah mendekatkan hubungan peribadi dan negara masing-masing,” kata ahli sosiologi yang juga pakar hubungan Indonesia-Malaysia, Encik Musni Umar, kepada Berita Harian.

Datuk Anwar membalas lawatan tersebut pada 29 Julai sempena Konsultasi Tahunan Malaysia–Indonesia ke-13, yang diadakan semula selepas tujuh tahun sejak pertemuan terakhir berlangsung pada 22 November 2017 di Kuching, Sarawak.

Dalam kenyataan bersama selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menyatakan mereka bersetuju dan berkongsi pandangan yang sama dalam banyak perkara, termasuk isu Palestin dan sokongan kedua-dua negara terhadap perjuangan negara Palestin.

Encik Prabowo dan Datuk Anwar menyambut baik peningkatan sokongan sejagat terhadap pengiktirafan Negara Palestin, dengan menyifatkannya sebagai “langkah positif ke arah merealisasikan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat”, selain menggesa semua negara yang masih belum berbuat demikian supaya segera mengiktirafnya.

Mereka turut berkongsi pandangan bahawa tindakan kolektif antarabangsa sangat penting dalam mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap isu Palestin, dan mengulangi keperluan untuk meneruskan sokongan bersama dalam mendesak gencatan senjata kekal dan tanpa syarat di Gaza.

Sebagai dua pengeluar minyak sawit utama dunia, Indonesia dan Malaysia turut bersetuju untuk terus bekerjasama bagi mempromosikan minyak sawit lestari dan menangkis kempen negatif terhadapnya.

Mereka menekankan bahawa kerjasama erat sebagai pengasas Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) adalah penting untuk menangani pelbagai cabaran dalam industri itu.

Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono, berkata konsultasi tahunan itu penting untuk para pemimpin kedua-dua negara mengemas kini isu di antara mereka, kerana mekanisme tersebut membolehkan pertukaran maklumat secara berkala dan mengukuhkan hubungan peribadi antara kedua-dua pemimpin.

“Prinsip kami ialah menyelesaikan sesuatu isu melalui rundingan, perbincangan dan musyawarah. Latar belakang kami pun serupa dari segi budaya dan agama. Kita berkongsi warisan yang sama,” kata Encik Prabowo.

Meskipun kenyataan bersama sepanjang 39 perenggan itu merangkumi pelbagai isu dua hala, serantau dan sejagat, penganalisis hubungan antarabangsa dari pusat pemikir Synergy Policies yang berpangkalan di Jakarta, Cik Dinna Prapto Raharja, berpendapat masih terdapat ruang mempertingkat ketelusan maklumat, terutama berkaitan hasil sebenar pertemuan tersebut.

“Kita perlu meneliti dengan lebih mendalam apakah perkara baru yang dicapai dalam pertemuan ini dan mengapa sebahagian maklumat dirasakan kurang diakses oleh umum,” katanya kepada Berita Harian

Selain menemui kesepakatan dalam isu serantau dan antarabangsa, hubungan rapat antara Encik Prabowo dengan Datuk Anwar turut membantu dalam menyelesaikan beberapa isu sensitif seperti pekerja migran dan penahanan nelayan di perairan masing-masing, yang kerap menjadi penghalang dalam hubungan dua hala.

Mereka turut mengakui iltizam kedua-dua negara untuk memperbaiki perlindungan hak asasi, kebajikan dan kehidupan pekerja migran Indonesia di Malaysia serta meneruskan usaha mengatasi halangan dalam memudahkan pengambilan pekerja domestik dari Indonesia.

“Mereka turut membincangkan penubuhan pusat pembelajaran masyarakat untuk kanak-kanak dan pelajar di Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak supaya anak-anak pekerja migran Indonesia dapat bersekolah di sana,” kata Encik Sugiono.

Encik Musni, yang juga Profesor Pelawat di Asia E University, Malaysia, berkata isu pekerja migran kekal sebagai salah satu perkara paling penting dalam hubungan antara Indonesia dengan Malaysia.

Ini kerana sebilangan besar warga Indonesia dianggarkan sekitar 36,000 individu bekerja di Malaysia, khususnya dalam sektor domestik dan perladangan.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun jumlah itu memberikan sumbangan besar kepada ekonomi kedua-dua negara, namun kesilapan kecil atau salah faham, khususnya melibatkan layanan terhadap pekerja, boleh mencetuskan ketegangan besar.

Beliau merujuk kepada beberapa kejadian keganasan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan di Malaysia, yang sering kali menimbulkan kemarahan awam dan memberi kesan kepada hubungan diplomatik dua hala.

Namun menurut Cik Dinna, penubuhan pusat pembelajaran untuk anak pekerja migran Indonesia telah lama dirancang.

Apa yang lebih perlu diberi perhatian, katanya, ialah usaha menyelesaikan isu lama berkaitan pekerja migran Indonesia di negeri Semenanjung Sabah dan Sarawak di pulau Borneo, yang berkongsi sempadan darat dengan wilayah Kalimantan Barat dan Kalimantan Utara di Indonesia.

“Akan lebih bermakna sekiranya isu ini diberikan penekanan khusus dalam kenyataan bersama, memandangkan ia merupakan salah satu perkara paling kompleks dan sensitif dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara sejak sekian lama,” ujar Cik Dinna.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg