KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, sebagai sahabatnya yang setia, sentiasa ada dekat dengannya ketika senang dan susah.
Datuk Anwar berkata tidak ramai yang berada bersama beliau ketika dalam kesusahan, namun Encik Probowo tidak pernah meninggalkannya walaupun ketika mempunyai kedudukan.
“Dalam masa duka lara saya, tidak ramai (yang ada). Kita boleh cakap keikhlasan dan kehebatan mereka.
“Saya senaraikan Probowo antara yang terkecuali kerana kedekatan dan kesungguhan sehingga menimbulkan ketidaksenangan serta kemarahan daripada sesetengah pihak.
“Bagaimanapun, tentunya setiap kali mempunyai kesempatan, beliau tidak pernah meninggalkan walaupun semasa itu ada jawatan dan kedudukannya,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Encik Prabowo di sini, pada 27 Januari.
Presiden Indonesia itu berada di Malaysia bagi lawatan negara selama sehari, atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Sementara itu, Encik Probowo merakamkan penghargaan atas sambutan negara yang diberikan kepada beliau dan delegasi di Istana Negara pagi 27 Januari, termasuk dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama daripada Sultan Ibrahim.
Katanya, beliau dan Kesultanan Johor mempunyai hubungan erat dan sangat lama, menjangkau 45 tahun sejak beliau dan keluarganya menetap di Malaysia.
“Saya dan Yang di-Pertuan Agong pernah bersekolah bersama di Amerika, jadi hubungan ini lama.
“Jika ke Malaysia, saya merasa seperti pulang ke kampung kerana saya membesar dan bersekolah di Malaysia.
“Orang tua saya sangat dekat dengan pengasas Malaysia moden, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak. Jadi kita banyak hubungan emosi dengan Malaysia,” katanya.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan itu adalah lawatan negara pertama oleh seorang ketua negara asing ke Malaysia, selepas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Ia juga lawatan negara pertama oleh Encik Prabowo ke negara Asia Tenggara sejak pelantikannya sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober 2024.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara itu mencatat RM106.06 bilion ($32.6 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg