JAKARTA: Presiden Indonesia Encik Prabowo Subianto menyambut Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Merdeka, Jakarta, pada 29 Julai bagi menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 yang kembali diadakan selepas lapan tahun tertangguh.
Konvoi rasmi Datuk Anwar tiba di Kompleks Istana Merdeka sekitar 10:10 pagi waktu tempatan dan disambut mesra Presiden Prabowo yang turut mengiringi beliau memasuki bangunan utama.
Kedua-dua pemimpin dilihat berjabat tangan dan beramah mesra bersama wakil media sebelum meneruskan ke bilik khas untuk sesi bergambar rasmi dan menandatangani buku pelawat kenegaraan.
Rundingan pada 29 Julai menandakan kali pertama Datuk Anwar dan Encik Prabowo mempengerusikan sesi konsultasi tertinggi dua hala sejak masing-masing memegang tampuk kepimpinan negara.
Kali terakhir rundingan tahunan tersebut berlangsung adalah pada 22 November 2017 di Kuching, Sarawak, melibatkan Presiden Joko Widodo dan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Perbincangan empat mata antara kedua-dua pemimpin bertujuan memperhalusi penyelesaian isu-isu dua hala yang belum dimuktamadkan, termasuk sempadan maritim, perlindungan pekerja migran dan kerjasama ekonomi rentas sempadan.
“Rundingan ini memberi ruang kepada kami membina persefahaman lebih kukuh dan menambah baik kerjasama yang sedia ada,” kata Datuk Anwar dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.
Selepas sesi perbincangan tertutup, kedua-dua pemimpin mempengerusikan rundingan bersama delegasi masing-masing yang disusuli dengan majlis pertukaran empat Memorandum Persefahaman (MoU). MoU tersebut meliputi bidang pengurusan sempadan darat, kesihatan, dan teknologi maklumat serta komunikasi.
Antara anggota kabinet Indonesia yang turut hadir termasuk Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Encik Airlangga Hartarto; Menteri Luar Negeri Encik Sugiono, Menteri Sekretariat Negara Encik Prasetyo Hadi; Menteri Dalam Negeri Encik Tito Karnavian dan Menteri Kesihatan Encik Budi Gunadi Sadikin.
Delegasi Malaysia pula diwakili oleh Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz serta Menteri Pendidikan Cik Fadhlina Sidek.
Lawatan dua hari Datuk Anwar ke Indonesia bermula pada malam 28 Julai apabila beliau tiba di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma sekitar jam 8 malam. Presiden Prabowo kemudian menjadi hos dalam majlis makan malam eksklusif di kediamannya di Jalan Kertanegara, Jakarta Selatan.
Majlis makan malam itu merupakan acara pertama dalam lawatan rasmi Datuk Anwar ke Indonesia.
Gambar yang dikongsi menunjukkan suasana mesra antara kedua-dua pemimpin dan keakraban delegasi mereka.
Selepas rundingan tahunan, Datuk Anwar melawat Sekretariat Asean di Jakarta Selatan atas jemputan Setiausaha Agung Asean, Dr Kao Kim Hourn. Dalam lawatan itu, beliau menyampaikan ucapan dasar sempena Kepengerusian Asean oleh Malaysia pada tahun 2025.
“Doakan lawatan kerja kali ini membawa manfaat yang terbaik buat rakyat kedua-dua negara sahabat,” tulis Datuk Anwar ringkas di media sosial. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg