Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hukuman 1.5 tahun curi sandal mewah di Sumatera cetus debat keadilan dan rasuah

Aug 5, 2025 | 11:40 AM
Nefri Zaldi, 32 tahun, didapati bersalah oleh Mahkamah Negeri Medan  pada 29 Julai lalu atas kesalahan mencuri sepasang sandal jenama Hermes bernilai sekitar 15 juta rupiah ($1,178) dari kediaman bekas majikannya dalam kejadian yang berlaku pada 28 Disember 2024.
Nefri Zaldi, 32 tahun, didapati bersalah oleh Mahkamah Negeri Medan  pada 29 Julai lalu atas kesalahan mencuri sepasang sandal jenama Hermes bernilai sekitar 15 juta rupiah ($1,178) dari kediaman bekas majikannya dalam kejadian yang berlaku pada 28 Disember 2024. - Foto Instagram #MalingSandal#

MEDAN: Seorang lelaki dari Deli Serdang, Sumatera Utara, dijatuhi hukuman penjara selama satu tahun enam bulan kerana mencuri sepasang sandal mewah milik bekas majikannya, mencetuskan gelombang kecaman masyarakat yang melihat keputusan itu sebagai simbol ketidakadilan dalam sistem perundangan Indonesia.

Tertuduh, Nefri Zaldi, 32 tahun, didapati bersalah oleh Panel Hakim Mahkamah Negeri Medan atas kesalahan mencuri sepasang sandal jenama Hermes bernilai sekitar 15 juta rupiah ($1,178) dari kediaman bekas majikannya dalam kejadian yang berlaku pada 28 Disember 2024.

Ketua Hakim Sarma Siregar ketika membacakan keputusan pada 29 Julai berkata: “Tertuduh didapati bersalah secara sah dan meyakinkan kerana melakukan kesalahan jenayah mencuri, sebagaimana diperuntukkan di bawah Pasal 362 Kitab Undang-Undang Hukum Jenayah.”

Dalam hujahnya, hakim turut menyebut bahawa perbuatan Nefri telah merugikan mangsa dan mengganggu ketenteraman masyarakat, namun hukuman diringankan kerana beliau bersikap sopan di mahkamah, tidak memiliki rekod jenayah lampau, dan mengaku bersalah serta menyesal atas perbuatannya.

“Tertuduh merupakan pencari nafkah tunggal bagi keluarganya dan memohon agar diberikan keringanan hukuman,” kata Hakim Sarma.

Nefri tidak diwakili peguam dan selepas keputusan dibacakan, beliau menyatakan masih mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan dalam tempoh tujuh hari yang diberikan mahkamah.

Kes ini segera menjadi tular di media sosial, apabila ramai netizen membandingkan hukuman berat yang diterima Nefri dengan hukuman ringan yang dijatuhkan ke atas pesalah rasuah.
Seorang pengguna menulis di Twitter: “Mencuri sandal mewah dipenjara 1.5 tahun, tapi mencuri ratusan juta duit negara hanya kena 1 tahun. Di mana keadilan?”

Dalam kes lain yang dilaporkan media sebelum ini, tujuh pegawai daerah Bintan hanya dijatuhi hukuman 1 tahun penjara kerana menyalahgunakan dana pelancongan Sungai Sebong sebanyak 860 juta rupiah.Begitu juga dengan seorang penjawat awam di Berau, Kalimantan Timur, yang hanya dihukum penjara setahun dan didenda kerana menyeleweng 1.2 bilion rupiah menerusi rekod gaji palsu.

Ketua Bahagian Jenayah Am Pejabat Pendakwa Raya Negeri Medan, Encik Deny Marincka, mengakui bahawa hukuman terhadap Nefri mungkin kelihatan berat memandangkan barang curian hanyalah sepasang sandal. “Memang terlihat tidak sepadan, tetapi nilai kerugian mangsa agak besar,” katanya.

“Kita juga sering lihat pencuri motosikal dijatuhi hukuman dua tahun, walaupun nilai motor itu kadang-kadang lebih rendah daripada sandal mewah.” Menurut beliau, pihak pendakwaan juga masih mempertimbangkan sama ada mahu mengemukakan rayuan, sambil mengambil kira faktor kemanusiaan.

Apabila ditanya mengapa pesalah rasuah sering menerima hukuman lebih ringan berbanding pesalah seperti Nefri, Deny hanya menjawab: “Itu kesalahan yang berbeza,” dan enggan mengulas lanjut.

Encik Zaenur Rohman, penyelidik dari Pusat Kajian Antirasuah Universiti Gadjah Mada berkata bahawa meskipun hukuman ke atas Nefri selaras dengan undang-undang, ia tetap menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Ketidakseimbangan hukuman seperti ini menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan negara,” katanya kepada The Jakarta Post. “Pesalah rasuah seharusnya dikenakan hukuman yang jauh lebih berat, khususnya melalui denda yang tinggi dan perampasan aset, bukannya sekadar hukuman penjara yang ringan.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg