Masjid di Yogyakarta ubah barang buangan jadi sumber bantuan kewangan
Masjid di Yogyakarta ubah barang buangan jadi sumber bantuan kewangan
Jika ada contoh nyata yang membuktikan pepatah, ‘sampah seseorang adalah harta orang lain’, ia dapat dilihat melalui usaha sekumpulan sukarelawan yang mengumpul barang buangan di sebuah masjid di pinggir Yogyakarta, Indonesia.
Mereka berjaya menukar barang buangan yang dikumpulkan setiap dua minggu daripada penduduk menjadi sumber bantuan kemanusiaan, malah sebahagiannya disalurkan hingga ke Palestin untuk membantu penduduk Gaza yang dilanda perang.
Daya usaha kecil yang bermula pada 2013 itu kini berkembang apabila sekumpulan sukarelawan yang setiap hari berdepan barangan buangan berbau berjaya mengumpul dana dengan menjual bahan buangan selepas ia diasingkan mengikut jenis.
Hasil jualan tersebut kemudian digunakan untuk pelbagai tujuan kebajikan.
“Pada 2024, kami menganjurkan program, ‘Sedekah Barang buangan untuk Palestin’.
“Daripada jualan barang buangan yang dikumpulkan, kami berjaya mengumpul kira-kira 9 juta rupiah ($750) dan menyumbangkannya.
“Idea ini agak luar biasa. Malah penyelidik yang datang melawat ke sini berkata mungkin hanya ada satu inisiatif seperti ini di dunia,” kata Pentadbir Masjid Al Muharram, Encik Ananto Isworo, kepada Berita Harian (BH) ketika lawatan ke masjid tersebut di Kampung Brajan, Bantul, pada 1 Mac.
Pagi Ahad merupakan jadual tetap pengumpulan barang buangan yang diadakan setiap dua minggu.
Sekitar 9 pagi, seorang sukarelawan, Encik Muflih Akbar, keluar dengan motosikal yang dilengkapi troli sampah dan berulang-alik beberapa kali di sekitar kampung untuk mengumpul bahan buangan daripada penduduk.
Setiap kali kembali ke masjid, troli itu dipenuhi pelbagai jenis barang buangan seperti botol plastik, kotak kadbod terpakai, kertas dan barangan lain yang tidak lagi digunakan oleh penduduk.
Seorang lagi sukarelawan, Cik Suprih, seorang wanita tempatan, datang ke masjid dengan menunggang basikal sambil membawa beg plastik besar berisi barang buangan.
Beliau kemudian menyertai lima sukarelawan lain, termasuk Encik Ananto, untuk mengasingkan bahan buangan yang dikumpulkan di bahagian belakang masjid.
Selain bahan kitar semula biasa, Encik Ananto berkata penduduk juga pernah menyumbangkan pelbagai barangan yang tidak dijangka seperti peralatan rumah yang rosak, barangan elektronik, malah sebuah piano dan beberapa motosikal yang masih boleh dibaiki dan dijual semula.
“Kami pernah menerima kira-kira 14 motosikal rosak.
“Malah, ada seorang lelaki yang menyumbangkan motosikal yang masih agak baharu kerana anaknya mencederakan seseorang dalam kemalangan ketika menunggang motosikal itu.
“Kami hanya melakukan sedikit pembaikan sebelum menjualnya dan hasilnya menambah dana kebajikan kami,” katanya.
Menurut Encik Ananto, perbezaan utama antara program sedekah barang buangan itu dengan program bank barang buangan adalah nilai dan tujuan barang buangan tersebut.
Dalam sistem bank barang buangan, bahan tersebut mempunyai nilai kewangan dan orang ramai biasanya mengharapkan pulangan apabila menghantar barang buangan mereka.
Oleh itu, harga bahan seperti botol plastik terpakai dan jenis sisa lain perlu dipantau serta dikemas kini secara berkala.
Namun. dalam program sedekah barang buangan, ia disumbangkan sebagai amal sejak awal.
Setelah diserahkan, ia tidak lagi dianggap sebagai simpanan individu, dan tanggungjawab sukarelawan adalah mengurusnya secara telus serta menggunakan hasil jualan untuk kebajikan masyarakat.
Idea sedekah barang buangan itu tercetus pada Ramadan 2013 apabila Encik Ananto melihat banyak kotak makanan berbuka puasa ditinggalkan di masjid, sebahagiannya masih mempunyai sisa makanan.
Pada pagi berikutnya selepas solat subuh, beliau mula mengasingkan kotak tersebut kepada sisa organik, plastik dan kertas secara bersendirian.
“Saya tidak mendapat bantuan, dan sisa makanan itu berbau busuk pada waktu pagi.
“Ada masanya saya menangis kerana ia agak mencabar. Tetapi saya teruskan juga dan mengumpul sampah setiap hari,” katanya.
Kini, sistem pengurusan sisa makanan berbuka puasa telah diwujudkan dan beberapa sukarelawan membantu mengasingkan sampah sebaik sahaja ia dikumpulkan bagi mengelakkan sisa makanan mereput dan berbau.
Sebahagian sukarelawan membawa pulang sisa makanan untuk dijadikan makanan ternakan, sekali gus mengurangkan jumlah sampah yang perlu disimpan di masjid sebelum dibuang.
Menariknya, Encik Ananto menilai kejayaan program itu bukan berdasarkan jumlah barang buangan yang dikumpulkan atau jumlah wang yang diperoleh daripada jualan bahan kitar semula, tetapi melalui penurunan jumlah barang buangan yang diterima.
“Dulu orang ramai mengumpul banyak barang buangan di rumah, jadi jumlah yang kami kutip sangat besar.
“Lama-kelamaan, kesedaran pengurusan barang buangan dalam kalangan penduduk meningkat, jadi jumlah barang buangan berkurangan.
“Ini bermakna kami berjaya mendidik masyarakat agar mengurangkan penggunaan barangan sekali guna,” katanya.
Cik Marsiyah, 60 tahun, salah seorang sukarelawan yang terlibat sejak awal program itu turut menyedari perubahan tersebut.
“Nampaknya orang semakin sedar dan menghasilkan kurang barang buangan.
“Ada kawasan kejiranan yang kini menguruskan barang buangan mereka sendiri.
“Namun, kami masih menerima barang buangan dari kawasan lain,” katanya sambil mengasingkan kertas, plastik dan logam.
Menurutnya, kadangkala mereka terpaksa berdepan botol yang berbau sangat busuk, terutama jika terdapat cecair lama yang ditinggalkan terlalu lama.
“Jika baunya terlalu kuat, kami biasanya terus membuangnya sahaja,” katanya.
Walaupun jumlah barang buangan yang berkurangan mengurangkan pendapatan daripada jualan bahan buangan, Encik Ananto tetap menyifatkan keadaan itu sebagai tanda kejayaan.
Dahulu, satu sesi pengumpulan boleh menjana antara 1 dengan 2 juta rupiah.
Kini, walaupun dikumpulkan selama sebulan, jumlahnya masih belum mencukupi untuk dijual.
“Apabila kami menjualnya, kami mungkin hanya memperoleh sekitar 500,000 hingga 800,000 rupiah.
“Jika menunggu dua bulan, mungkin sekitar 1.5 juta rupiah.
“Tetapi ini menunjukkan misi kami berjaya kerana kesedaran meningkat dan barang buangan semakin berkurangan,” katanya.
Walaupun begitu, kesan program itu melangkaui usaha mengurangkan barang buangan.
Dana daripada jualan bahan tersebut juga pernah digunakan untuk membantu penduduk Gunungkidul yang dilanda kemarau teruk pada 2019 dan 2024.
Melalui dana tersebut, sukarelawan menghantar 19 lori tangki air ke sebuah masjid di Gunungkidul, dan pada 2024 pula menghantar 50 tangki air ke tiga daerah di wilayah itu.
“Kami juga menggunakan wang itu untuk membantu kanak-kanak kurang mampu dalam pendidikan; membantu penduduk yang sakit tetapi tidak mempunyai insurans kesihatan; serta memberi bantuan makanan asas kepada balu dan golongan memerlukan,” ujar Encik Ananto.

