Dari tanah berasid ke ladang nanas: Transformasi kampung di Sulawesi
Dari tanah berasid ke ladang nanas: Transformasi kampung di Sulawesi
Di sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian geologi yang ekstrem seperti Indonesia, penduduknya sering berdepan cabaran daripada bentuk muka bumi dan keadaan tanah yang mereka diami.
Pulau Jawa misalnya terkenal dengan tanahnya yang sangat subur untuk pertanian hasil daripada abu dan aliran lava gunung berapi yang membentuk tulang belakang dari timur ke barat pulau tersebut.
Namun di Tabarano, sebuah kampung kecil di pesisir Tasik Matano di Luwu Timur, Sulawesi Selatan, keadaan tanah yang sangat berasid sejak sekian lama menjadi cabaran besar.
Kampung seluas 221,000 meter persegi yang dihuni kira-kira 3,400 penduduk itu terletak bersebelahan tasik terdalam di Asia Tenggara.
Selama bertahun-tahun, penduduk kampung bergelut untuk memanfaatkan hektar tanah yang tidak produktif, sangat berasid dan kaya silika.
Mereka mencuba menanam pelbagai jenis tanaman tetapi tidak berhasil, sehinggalah mereka menghidupkan kembali tradisi lama menanam nanas yang semakin dilupakan.
Mereka kemudian menyedari kearifan tempatan yang diwarisi turun-temurun sebenarnya telah lama menyediakan jawapan.
“Kami cuba tanam cengkih dan koko, tetapi tidak tumbuh, atau kalau tumbuh pun hasilnya tidak baik. Sehinggalah saya teringat untuk cuba tanam nanas kerana buah itu dahulu menjadi ikon kawasan kami, seperti tercermin pada nama kecamatan Wasuponda yang bermaksud nanas di atas batu, kerana dahulu nanas memang tumbuh di atas batu di sini,” kata Ketua Kampung Tabarano, Cik Rimal Manuk Allo, kepada Berita Harian ketika kunjungan pada awal Februari.
“Saya masih ingat ketika kecil, pokok nanas ada di mana-mana. Kami malah menggunakannya sebagai pagar semula jadi rumah,” katanya.
Di Wasuponda, terdapat tanah kritikal yang sangat berasid dan kekurangan nutrien penting untuk diserap akar tanaman.
Tanah seperti itu juga menghasilkan ketoksikan logam yang tinggi dan beracun kepada tanaman.
Kandungan silika yang tinggi menyebabkan struktur tanah menjadi lebih longgar dan kurang bahan organik, sekali gus mengurangkan keupayaannya untuk menahan air serta nutrien.
Naib Presiden syarikat perlombongan nikel, Vale Indonesia (VI), Encik Abu Ashar, menjelaskan bahawa Luwu Timur mempunyai kepelbagaian geologi yang ketara.
“Wilayah Luwu Timur sangat pelbagai dari segi geologi. Kawasan tempat kampung di dominasi tanah berasid, manakala pesisir Tasik Matano pula mengalami pembentukan karst, dan kawasan kami kaya dengan nikel,” katanya dalam satu temu bual.
Beliau merujuk kepada blok perlombongan Sorowako seluas 70,566 hektar, di mana syarikat itu beroperasi sejak 1968 untuk melombong nikel secara terbuka.
Nikel digunakan dalam penghasilan keluli tahan karat, aloi dan bateri, khususnya bateri kenderaan elektrik.
Menurut Cik Rimal, tanah yang kaya silika itu juga sangat mudah terbakar sehingga puntung rokok yang dibuang boleh mencetuskan kebakaran dengan cepat.
Kebakaran tanah berlaku sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali setahun, terutama pada musim kemarau, dan kos memadamkannya membebankan dana kampung.
“Kami mahu jadikan tanah ini produktif, jadi kami cuba tanam nanas dengan benih dari Subang, Jawa Barat.
“Hasilnya sangat baik. Isinya sangat manis, malah di Subang pun tidak semanis ini, dan setiap buah boleh mencecah tujuh hingga lapan kilogram,” katanya.
Cik Rimal bersama penduduk kampung mula menanam 2,000 pokok nanas pada 2022 menggunakan dana terhad kampung untuk membeli benih.
Tidak lama kemudian, mereka menerima bantuan daripada Vale Indonesia.
“Kami membantu penduduk membangunkan produk berasaskan nanas dan memanfaatkan hasil sampingannya,” kata Encik Abu.
Ladang nanas itu kini meliputi kira-kira lima hektar tanah kritikal yang terletak dalam lingkungan radius 10 kilometer dari kawasan berkenaan.
Sebanyak 36,000 pokok telah ditanam di atas 3.5 hektar tanah, namun setakat ini hanya 2,000 pokok yang berjaya dituai.
Pada 2025, ladang tersebut menghasilkan dua tan nanas yang ditanam menggunakan baja organik buatan sendiri daripada rumput kompos dan sisa kayu.
Isi buah diproses menjadi jem, jus dan snek, manakala kulitnya dijadikan kompos. Daunnya pula diproses menjadi serat untuk fabrik tenunan dan pelbagai kraf tangan.
Daripada jualan produk ini kepada pelanggan di Wasuponda, kampung tersebut menjana pendapatan 7,250,000 rupiah untuk dana kampung.
“Tiada yang dibazirkan. Kami jadikan ini ekonomi kitaran. Ia mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkasa penduduk, kebanyakannya berisiko miskin, sambil menjana pendapatan untuk badan usaha milik kampung dan pentadbiran kampung,” kata Cik Rimal.
Beliau menambah bahawa hasil tersebut membantu membiayai program pembangunan fizikal dan modal insan di tengah langkah pengetatan bajet pemerintah.
Penyelaras kanan hubungan luar VI, Encik Laode Muhammad Ichman, berkata syarikat itu telah membantu kampung tersebut selama tiga tahun untuk membangunkan model ekonomi mampan yang sesuai dengan keadaan setempat.
“Kami menilai bersama produk berasaskan nanas yang boleh dibangunkan dalam jumlah lebih besar berdasarkan ketersediaan bahan mentah,” katanya.
“Ini pada dasarnya projek inkubasi kami, di mana kami mencari idea dan pendekatan yang paling sesuai dengan budaya tempatan.”
“
“Kami cuba tanam cengkih dan koko, tetapi tidak tumbuh, atau kalau tumbuh pun hasilnya tidak baik. Sehinggalah saya teringat untuk cuba tanam nanas kerana buah itu dahulu menjadi ikon kawasan kami, seperti tercermin pada nama kecamatan Wasuponda yang bermaksud nanas di atas batu, kerana dahulu nanas memang tumbuh di atas batu di sini.”
